ACG bantu keluarga agar tahanan tidak terganggu jalani proses pemulihan, Berita Rencana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana0

MEMPERINGATI 2 DEKAD PENANGKAPAN JI DI S'PURA: HULUR SOKONGAN PADA KELUARGA TAHANAN

ACG bantu keluarga agar tahanan tidak terganggu jalani proses pemulihan

Dec 06, 2021 | 05:30 AM

Dalam menangani ancaman yang ditimbulkan anggota Jemaah Islamiyah (JI) di Singapura, langkah menahan dan memastikan tahanan dikenakan Perintah Sekatan (RO) tidak memadai. Selain kerjasamanya dengan Kumpulan Pemulihan Agama (RRG), yang menjalankan program mendidik tahanan tentang ajaran dan tafsiran Islam yang tepat dan membetulkan kepercayaan agama yang sesat yang mungkin mereka pegang, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) juga bekerjasama dengan Kumpulan Jagaan Lanjut (ACG) Silang Agensi. AGC bekerjasama dengan bekas tahanah yang masih di bawah penyeliaan ISD dan keluarga mereka dengan mengambil pendekatan pemulihan jangka panjang yang holistik lagi intensif. Ini terdiri daripada pemulihan agama, psikologi dan sosial. Tambahan pula, sokongan itu juga dihulurkan kepada ahli keluarga tahanan. Dalam bahagian ketiga siri empat bahagian laporan khas 20 tahun sejak penahanan JI pertama, BERITA HARIAN (BH) bercakap dengan organisasi yang merupakan sebahagian daripada ACG dan rakan masyarakat lain yang telah menyumbang kepada proses integrasi semula bekas tahanan. BH turut menemu ramah anak bekas tahanan yang berkongsi tentang sokongan yang diterima beliau dan keluarganya.


KEPERLUAN untuk merangka pendekatan pemulihan yang lebih holistik, intensif dan boleh digunapakai dalam jangka masa panjang bagi individu yang terlibat dalam kegiatan berkaitan keganasan menjadi lebih ketara selepas penangkapan anggota Jemaah Islamiyah (JI) pada tahun 2000-an.

Menyedari bahawa ancaman pengganas tidak boleh ditangani hanya melalui usaha pemerintah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah menjalin kerjasama yang kukuh dengan badan-badan tertentu dalam masyarakat Melayu/Islam, untuk membantu dalam pemulihan anggota JI dan memastikan mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

Dengan penubuhan Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) dan Kumpulan Jagaan Lanjut (ACG) Silang Agensi, pihak ISD mempunyai dua rakan kongsi utama dalam usaha memerangi keganasan di sini.

Meskipun terdapat sumber yang dikhususkan untuk membantu para tahanan, campur tangan juga diperlukan untuk memastikan keluarga yang terjejas oleh penahanan dapat diberikan sokongan sewajarnya.

Halal Home Based Business
Lauk Malam Raya by ZaraRasya

Yang pasti puas hati! FREE DELIVERY & 1.5l bottled...

Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

PEMBENTUKAN ACG

Ditubuhkan pada 2002, menyusuli penahanan anggota JI di sini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Disember 2001, ACG terdiri daripada rangkaian organisasi Melayu/Islam (MMO), yang menyediakan sokongan emosi, sosial dan kewangan kepada keluarga tahanan.

Sokongan yang diberikan ini bertujuan untuk memastikan para tahanan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan mereka.

Pemimpin daripada lima MMO - terdiri daripada Taman Bacaan, Yayasan Mendaki, AMP, Masjid En-Naeem dan Masjid Khadijah - berkumpul untuk membincangkan bagaimana mereka boleh menangani isu serta keperluan yang dihadapi oleh tahanan dan keluarga mereka.

ACG menghulurkan pelbagai bantuan demi memastikan keluarga tahanan yang tiba-tiba kehilangan ketua keluarga dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Pendekatan mereka lebih tertumpu kepada aspek kesejahteraan dan keperluan keluarga di samping persekolahan anak-anak mereka.

Selain itu, ia turut berusaha mengesan sebarang kemunculan fahaman radikal yang mungkin ditonjolkan anggota keluarga tahanan dan menanganinya dengan baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, yang mula terlibat dalam usaha ini selepas menyertai Mendaki pada 2007 berkata:

"Niat kami pada mulanya adalah untuk memastikan keluarga dan tahanan tahu bahawa masyarakat mengambil berat tentang mereka, dan mereka tidak bersendirian dalam perjalanan ini.

"Ini penting kerana apabila kami memberikan sokongan seperti itu, keluarga, terutama anak-anak mereka, akan sedar dan tidak mempunyai perasaan benci dengan tindakan ini disebabkan penahanan pasangan atau bapa mereka."

PERKASA DIRI

Antara bantuan yang dihulurkan ACG termasuklah dari segi kewangan seperti membantu melunaskan yuran sekolah anak-anak para tahanan dan bil perbekalan awam yang tertunggak.

Mereka juga menawarkan kursus peningkatan diri untuk para isteri di samping membantu mereka mendapatkan pekerjaan dan menjadi pencari nafkah utama keluarga sementara suami mereka dalam tahanan. Pihak ACG turut menyediakan kaunselor dan pekerja sosial bagi mendampingi keluarga para tahanan JI.

Ini semua dilakukan menerusi program sedia ada badan-badan yang membentuk kumpulan itu.

"Matlamat jangka masa sederhana dan panjang adalah untuk memastikan mereka mampu menjadi lebih berdikari.

"Apa yang kami lakukan adalah untuk memastikan kami mempunyai pengasuh (caregiver) yang membantu setiap keluarga dan mereka menjadi titik hubungan untuk semua sokongan yang diperlukan," kata Cik Zuraidah.

Menurut beliau, setiap MMO yang terlibat mempunyai peranan mereka yang tersendiri. Seperti contoh, Mendaki menawarkan sokongan pendidikan bagi anak-anak para tahanan. Ini bagi memastikan pendidikan mereka tidak akan terganggu hanya kerana bapa atau ahli keluarga sedang ditahan.

Di samping itu, ia juga menyediakan peluang latihan dan pekerjaan kepada para isteri menerusi rangkaian Mendaki Sense.

Sementara itu, Taman Bacaan bertanggungjawab mengendalikan program jangkauan dan pendidikan masyarakat, khususnya untuk belia, tentang akibat radikalisasi diri serta bahaya keganasan.

AMP pula menyediakan sokongan sosial manakala Masjid En-Naeem dan Masjid Khadijah bekerja rapat dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) serta masjid-masjid lain untuk menyediakan khidmat kaunseling agama untuk keluarga dan para tahanan JI ini.

CABARAN DEKATI KELUARGA TAHANAN

Meskipun mempunyai niat murni untuk mendekati dan membantu keluarga ini, menurut Pengarah Pusat Hab Perkahwinan AMP, Cik Zaleha Ahmad, berkata terdapat keluarga yang menolak bantuan mereka.

Beliau yang merupakan antara kaunselor pertama yang dikerahkan oleh AMP untuk mendekati keluarga tahanan JI ini berkata:

"Pada awalnya, ramai diantara mereka agak keberatan untuk menerima kehadiran kami kerana mereka tidak minta untuk dibantu.

"Bagi mereka yang kehilangan suami, bukan atas sebab kematian, tapi ditahan pihak ISD, kami perlu memahami perasaan trauma dan kemarahan yang mereka rasa.

"Oleh itu, kami perlu terus bersabar dalam mendekati mereka."

Dengan masa yang berlalu, menurut Cik Zaleha, keluarga tahanan ini menjadi lebih terbuka untuk menerima bantuan.

USAHA PERLU DITERUSKAN

Walaupun sebilangan besar tahanan JI ini telah dibebaskan dan berjaya disatukan semula dengan keluarga mereka, kedua-dua Cik Zuraidah dan Cik Zaleha menganggap usaha mereka ini masih perlu diteruskan.

Mereka juga menekankan peranan penting yang dimainkan oleh pihak berkepentingan masyarakat dalam menyokong keluarga tahanan dalam bentuk kaunseling serta bimbingan.

Sepanjang usaha mereka, ACG juga telah bekerjasama dengan organisasi masyarakat lain dengan menganjurkan program-program untuk melibatkan keluarga tahanan.

"Matlamat kami adalah untuk memastikan mereka tahu bahawa ada bantuan di luar sana. Walau apa pun yang berlaku kepada mereka, kami tidak akan membiarkan mereka bersendirian, jadi kami akan datang dan membantu mereka apa jua sekali pun," ujar Cik Zaleha.


SOKONGAN TANDA MENGAMBIL BERAT

"Niat kami pada mulanya adalah untuk memastikan keluarga dan tahanan tahu bahawa masyarakat mengambil berat tentang mereka, dan mereka tidak bersendirian dalam perjalanan ini.
Ini penting kerana apabila kami memberikan sokongan seperti itu, keluarga, terutama anak-anak mereka, akan sedar dan tidak mempunyai perasaan benci dengan tindakan ini disebabkan penahanan pasangan atau bapa mereka."

- Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah.

PERLU BERSABAR DALAM DEKATI MEREKA

"Pada awalnya, ramai diantara mereka agak keberatan untuk menerima kehadiran kami kerana mereka tidak minta untuk dibantu.
Bagi mereka yang kehilangan suami, bukan atas sebab kematian, tapi ditahan pihak ISD, kami perlu memahami perasaan trauma dan kemarahan yang mereka rasa.
Oleh itu, kami perlu terus bersabar dalam mendekati mereka."

- Pengarah Pusat Hab Perkahwinan AMP, Cik Zaleha Ahmad.


KUMPULAN JAGAAN LANJUT (ACG) SILANG AGENSI

  • Dibentuk pada 2002, ACG menghulurkan bantuan kepada keluarga para tahanan Jemaah Islamiyah (JI) yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  • Terdiri daripada berapa badan Melayu/Islam seperti Yayasan Mendaki, Taman Bacaan, Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan Masjid Khadijah.
  • Ia menghulurkan pelbagai bantuan demi memastikan keluarga yang tiba-tiba kehilangan ketua keluarga dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
  • Kumpulan itu juga menganjurkan kempen tingkat kesedaran cegah ideologi ganas serta memainkan peranan penting mengadakan kaunseling keagamaan dan program jagaan lanjut menyeluruh bagi individu berfahaman radikal dan keluarga mereka.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map