AIR mata Encik Sahari Ani tidak dapat ditahan lagi semasa beliau menemui keluarga warga Ukraine yang terpaksa berpindah ke Poland sedang pergolakan di negara mereka bertambah teruk pada masa itu.

Keluarga tersebut, mempunyai seorang anak kecil yang mengalami penyakit Epidermolisis Bulosa (EB) - yang menyebabkan kulit menjadi begitu tipis dan senang melecet atau tekopek - telah melarikan diri dari Ukraine dan terpaksa menumpang di rumah sebuah keluarga warga Poland yang menerima mereka dengan baik hati.

Namun, bagi Encik Sahari, 59 tahun, air mata yang jatuh itu bukan kerana simpati tetapi disebabkan rasa kagumnya dengan semangat serta daya tahan yang dipaparkan keluarga tersebut, terutama sekali kanak-kanak kecil yang masih murah senyuman meskipun dalam keadaan sakit.

Kunjungan Encik Sahari itu merupakan sebahagian daripada operasi kemanusiaan pertubuhan Palang Merah Singapura yang bertujuan membantu warga Ukraine yang memerlukan dari segi keperluan asas atau perubatan.

"Semasa saya menemui mereka, saya terbayang bagaimana mereka dapat mengharungi perjalanan jauh dengan hanya menaiki kereta sendiri - mana nak jaga anak mereka yang sakit, mana nak bawa keperluan lain termasuk perubatan.

"Memang pada masa itu saya nangis, bukan hanya kerana kesiankan mereka tetapi kerana saya cukup menghargai semangat dan kecekalan mereka dan juga kasihnya ibu bapa kepada anak mereka," katanya yang pulang ke Singapura baru-baru ini sejak dikerah sebagai sebahagian daripada operasi kemanusiaan SRC selama empat bulan.

Operasi tersebut agak istimewa juga bagi Pengarah Kanan dan Dekan Akademi Palang Merah Singapura itu memandangkan ia menandakan ulang tahun ke-15 sumbangannya kepada usaha kemanusiaan melalui SRC.

Menurut Encik Sahari, antara bantuan yang disediakan SRC termasuk bagi keperluan asas, perlindungan, kesihatan, kebersihan dan sokongan psikososial untuk warga Ukraine.

"Kami juga menyediakan 'first aid kit' untuk warga Ukraine yang masih berada di sana, kerana mereka sering terdedah kepada serangan udara dan juga darat, dan kemungkinan mereka tercedera lebih tinggi.

"Hospital di Ukraine juga banyak yang terjejas dek persengketaan yang masih berterusan, justeru kami juga bekerjasama dengan rakan kongsi dan pertubuhan kemanusiaan lain untuk memberikan mereka perubatan dan perkakas yang diperlukan," katanya.

Persengketaan tersebut kini masih berterusan, memasuki bulan kelapan Oktober ini.

Respons kemanusiaan SRC selama empat bulan merangkumi kawasan Hungary, Lithuania, Poland dan Romania.

Sejauh ini, pertubuhan itu memperuntuk sekitar $6 juta termasuk bagi bantuan untuk pelarian dari Ukraine, keperluan asas dan perubatan, menurut kenyataan SRC.

Meskipun Encik Sahari telah menghabiskan hampir 20 tahun dalam bidang kemanusiaan, beliau berkata setiap operasi terdapat senario dan cabaran yang berlainan.

"Ini mengukuhkan lagi daya tahan dan keupayaan saya untuk menyesuaikan diri.

"Ia juga memberikan saya peluang agar terus melihat semangat yang dipaparkan individu berbeza. Ia menguatkan lagi kepercayaan saya terhadap kebaikan dalam diri manusia," katanya yang menghargai setiap peluang yang diberikan kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada operasi kemanusiaan seperti yang dikendalikan SRC.