Asean orak langkah rancakkan semula sektor pelancongan, Berita Rencana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:29
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana3

Asean orak langkah rancakkan semula sektor pelancongan

Nov 23, 2021 | 05:30 AM

SEJAK dua tahun ini sektor pelancongan Asean terjejas teruk sedangkan rantau ini diiktiraf sebagai antara pusat pelancongan terbaik dunia.

Bayangkan, pada 2019, kunjungan pelancong daripada kalangan rakyat negara Asean sahaja telah mencecah 51.57 juta, ini belum termasuk kunjungan warga dari luar rantau ini.

Sektor ini menikmati pertumbuhan memberangsangkan dua tahun lalu, dengan hampir 16 juta pekerjaan diwujudkan dalam sektor pelancongan di Asia Tenggara.

Menurut perangkaan yang dikongsi Statista, jumlah pekerjaan ini adalah hasil peningkatan secara langsung sektor pelancongan sejak 2010, yang mana hampir 10.9 juta pekerjaan diwujudkan ketika itu.

Namun, sekali air bah sekali pantai berubah.

Dilaporkan, Asia Tenggara mengalami kerugian 8.4 peratus bagi Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) untuk tahun ini sedang pelancong terus menangguhkan pelan liburan semasa pandemik Covid-19 ini, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malah, rantau ini diramalkan menyaksikan kemerosotan 82 peratus dalam perbelanjaan pelancong dalam negara tahun ini.

Laporan yang dihasilkan bersama oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB-WTO dan Persidangan PBB bagi Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) merasakan masalah akibat pandemik Covid-19 akan berlarutan untuk beberapa tahun mendatang.

Namun dengan kesungguhan negara-negara Asean merancakkan program vaksinasi dan membuka ruang udara bagi pelaksanaan Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL), harapan semakin menggunung bagi sektor pelancongan dirancakkan semula dan dengan kadar segera.

Thailand menjadi negara pertama, yang mana pada Julai lalu memperkenalkan skim 'sandbox' - yakni melancong dalam kawasan terhad untuk pelancong asing yang sudah divaksinasi sepenuhnya di pulau peranginan popular, Phuket.

Kejayaan daripada skim ini telah mendorong pihak berkuasa Thailand meluaskan program ini, setelah menikmati kedatangan 70,000 pelancong asing yang membelanjakan 2.14 bilion baht ($86 juta) di pulau itu.

Sejak 1 November lalu, pelancong dari 46 negara yang mahu memasuki negara itu tidak lagi perlu menjalani kuarantin.

Pada 14 Oktober lalu, Indonesia mengumumkan pelancong dari 19 negara yang mempunyai kadar positif jangkitan Covid-19 serendah lima peratus kini dibenarkan masuk ke Indonesia.

Di Malaysia pula, Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada 11 November lalu mencadangkan sempadan antarabangsa negara dibuka selewat-lewatnya pada 1 Januari depan.

Bagi penggerak industri pelancongan negara itu, ini keputusan tepat dan melegakan setelah sektor itu terjejas teruk akibat Covid-19.

Saranan MPN ini sekali gus membantu merancakkan pemulihan sektor pelancongan negara yang juga bergantung kedatangan pelancong antarabangsa.

Ia dibuktikan dengan sumbangan pendapatan daripada pelancong antarabangsa kepada negara sebanyak RM86.14 bilion ($28 bilion) dengan kemasukan 26.1 juta pelancong pada 2019.

Terbaru, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, bersetuju membuka sempadan udara antara Singapura dan Malaysia menerusi skim VTL.

Kedua-dua pemimpin juga berharap dapat memulihkan perjalanan merentasi sempadan darat antara dua negara berjiran dalam masa terdekat.

Singapura akan melancarkan VTL untuk Finland, Indonesia, Malaysia dan Sweden bermula 29 November ini dan telah pun membuka permohonan bagi Pas Perjalanan bagi Orang yang Divaksinasi (VTP).

Ia akan juga melancarkan VTL untuk Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu mulai 6 Disember ini dan membuka permohonan VTP mulai 29 November ini.

Singapura merancang melancarkan VTL dengan India untuk kemasukan ke Singapura mulai 29 November dan telah membuka VTP untuk itu.

Kesemua ini memberi perkembangan positif namun ia bukan satu yang tetap kerana akhirnya ia bergantung kepada keadaan pandemik Covid-19 itu sendiri.

Dalam ramalan terbarunya, PBB-WTO berkata adalah sukar untuk menganggarkan keadaan tahun depan kerana pandemik akan berkembang.

Ini bermakna, perjalanan antarabangsa akan mengekalkan sekatan oleh kedua-dua negara tujuan dan syarikat penerbangan demi memberi keselamatan 100 peratus kepada pelanggan.

Hakikatnya, sektor pelancongan akan menyaksikan ujian Covid-19 terus dilaksanakan, dua tahun selepas berlaku pandemik dan langkah pencegahan terus diutamakan.

Ini bererti, kos untuk melancong akan kekal tinggi dan risiko Covid-19 akan terus membayangi industri pelancongan sedunia, Asean tidak terkecuali.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map