Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MENYOROT PEMBENTUKAN WILAYAH AUTONOMI BANGSAMORO DI MUSLIM MINDANAO

Bangsamoro ukir masa depan

Masyarakat Muslim selatan Filipina meraikan Hari Penubuhan Bangsamoro ke-2 sejak kecapi autonomi pada 2019
Jan 26, 2021 | 05:30 AM



SELAMA seminggu, masyarakat Bangsamoro di selatan Filipina meraikan Hari Penubuhan Bangsamoro kedua, minggu lalu.



Lebih bermakna lagi, bendera rasmi Bangsamoro telah dikibarkan buat pertama kalinya pada 18 Januari lalu, seiring bendera negara Filipina - memberi isyarat berakhirnya konflik serta kesengsaraan yang dihadapi masyarakat Bangsamoro selama berdekad-dekad dalam usaha mengecapi autonomi politik dan pemerintahan sendiri menyusuli pungutan suara yang diadakan pada 21 Januari 2019.



Tema sambutan tahun ini - Tadbir Urus Moral: Membangun Asas Yang Kukuh untuk Bangsamoro yang Lebih Baik.



"Pemerintah kami sekarang ditadbir oleh Bangsamoro. Walaupun belum merdeka, kami nikmati kebebasan daripada pemerintah Filipina.



"Kawasan kami sekarang dianggap wilayah autonomi, dengan pemerintahan sendiri, kami punya parlimen sendiri yang diketuai ketua menteri dan punya barisan kementerian kami sendiri," kata Encik Suharto A. Abas, 51 tahun, Pengarah Agung, Kementerian Sains dan Teknologi di Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao (BARMM), yang dilantik ke jawatan itu sejak Oktober 2020.



BARMM dengan jumlah penduduk seramai lima juta orang meliputi wilayah dan kepulauan Lanao Del Sur, Maguindanao, Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi.



Secara am, Bangsamoro meliputi suku kaum Bajau, Banguingui, Illanun/Iranun, Kalagan, Kalibugan, Maranao, Maguindanao, Tausug, Samal, Sangil, Yakan, Molbog, Jama Mapun, Igaunen, Kolimbogan, Iranun, Tiroray dan Mansaca yang beragama Islam dan amalan budaya hampir serupa.



Menurut kajian ilmiah dan antarabangsa, Bangsamoro memiliki kawasan yang kaya hasil alam yang sebelum ini sukar dibangunkan kerana sengketa yang berpanjangan.



Presiden Rodrigo Duterte menandatangani Undang-Undang Pemerintahan Organik (BOL) Bangsamoro pada 26 Julai 2018 - sekali gus membuka lembaran baru kehidupan bagi masyarakat Muslim di selatan Filipina.



Dalam wawancara dengan Berita Harian baru-baru ini, dua karyawan Bangsamoro berkata, kejayaan mereka mengecapi pemerintahan sendiri sangat bermakna kerana undang-undang baru Bangsamoro lebih berkuasa berbanding Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) sebelum ini.



''Kami mempunyai parlimen, kuasa eksklusif yang sebelum ini dipegang Manila, serta pendapatan hasil tempatan lebih besar.



''Kami juga punya kuasa terhad dalam pelaksanaan undang-undang syariah, dalam undang-undang perseorangan dan keluarga. Undang-undang sivil masih dibawah sistem keadilan pusat,'' terang Encik Suharto yang menetap di Cotabato, Mindanao.



Terdapat dua puak pemberontak utama di Mindanao, yakni Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), pertubuhan yang ditubuhkan pada 1972 dan dipimpin Nur Misuari; dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang ditubuhkan pada 1989 kini dipimpin Encik Ahod ''Al Haj Murad'' Balawag Ebrahim, menyusuli kematian pengasasnya, Ustaz Salamat Hashim, pada 2003.



Haji Murad, 72 tahun, adalah ketua menteri BARMM.



Menyusuli penubuhan BARMM, tentera MILF telah dibubarkan.



Semasa berucap di majlis mengibarkan bendera Bangsamoro pada 20 Januari lalu, Haji Murad berkata, perjalanan menuju acara tersebut ''mengambil masa berdekad-dekad''.



''Kita memulakan perjuangan ini semasa kita semua lelaki muda yang percaya rakyat kita wajar menikmati keadaan lebih baik, bahawa orang kita tidak harus menghadapi penindasan sistemik dan orang kita berhak mengemudi masa depan berdasarkan keputusan mereka.



''Kita sekarang dengan bangganya boleh menyatakan kita telah mencapai autonomi yang sebenar yang menggambarkan sejarah panjang masyarakat Bangsamoro - pengorbanan kami dan wawasan kami untuk generasi akan datang,'' ujarnya yang ditukil laman rasmi BARMM.



Mantan gabenor ARMM, Encik Nur Misuari, 82 tahun, tidak terlibat dalam pemerintahan sementara yang ada sekarang.



''Misuari tidak menyertai pemerintah autonomi ini. Pada 1996, beliau menandatangani perjanjian dengan pemerintah Filipina bagi mentadbir Wilayah Autonomi, tetapi apa yang dicapainya ketika itu telah gagal.



''Beliau kembali memimpin pemberontakan tetapi ditangkap oleh tentera Filipina di Malaysia dan dipenjarakan tetapi beliau dibebaskan oleh pentadbiran pemerintah yang ada sekarang,'' terangnya.



Encik Misuari adalah gabenor ARMM pada 1996, tetapi pemerintahannya berakhir dengan keganasan apabila pemberontakan ke atas pemerintah Filipina tewas pada November 2001, dan beliau melarikan diri ke Sabah, Malaysia.



Selepas dibebaskan daripada tahanan, Encik Misuari yang memilih untuk hidup dalam buangan, berdepan tuduhan pengganasan dan rasuah tetapi pada 2016, Presiden Duterte memutuskan untuk menggugurkan kesemua tuduhan yang dikenakan pemerintah terdahulu ke atas pejuang itu ''atas faktor usia''.



Pada Disember 2019, Encik Duterte melantik Encik Misuari sebagai Wakil Khas Ekonomi Filipina bagi Ehwal Islam ke Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi membantu dalam mencapai perjanjian keamanan antara pemerintah dan puak pemberontak.



Encik Suharto tidak menafikan konflik bersenjata masih kekal sebagai ancaman terbesar kepada BARMM - terutama Abu Sayyaf, kumpulan pengganas paling dikehendaki di rantau ini.



''Abu Sayaf terbatas di wilayah kepulauan Sulu, tempat lahirnya Misuari. Mereka adalah bekas anggota MNLF yang tidak menyertai Misuari selepas beliau mencapai perjanjian (keamanan) dengan pemerintah Filipina, dan mereka punya hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.



''Konflik bersenjata di tanah besar Mindanao dan wilayah kepulauan Basilan dan Tawi Tawi berhenti mendadak selepas perjanjian keamanan dimeterai tetapi di Sulu, konflik berterusan disebabkan Abu Sayyaf,'' ujar Encik Suharto lagi.



Tambah beliau, meskipun Sulu berada di bawah pentadbiran BARMM, soal Abu Sayyaf adalah rumit.



''Mereka beroperasi di pulau kecil tetapi tentera pemerintah tidak boleh mengawal mereka. Terdapat pelbagai andaian, secara diam-diam mereka menjalin kerjasama dengan pasukan tentera dalam tindakan penculikan untuk tujuan mendapatkan wang tebusan; menjadi boneka Amerika; dan, dinamika keadaan setempat yang memberi sokongan kepada Abu Sayyaf,'' terangnya.



Menyentuh tentang jumlah anggota Abu Sayyaf sekarang, Encik Suharto menganggarkan ''sekitar seribu orang tetapi pihak tentera berasa jumlahnya antara 300 hingga 500 orang sahaja dan mereka dilatih dalam perang gerila''.



Memandang ke depan, Encik Suharto berkata, di bawah kementeriannya, pentadbiran BARMM kini tertumpu kepada empat program utama:



  • Penyelidikan dan dan Pengembangan Sains

  • Menawarkan biasiswa kepada pelajar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik

  • Menawarkan sokongan pembangunan teknologi untuk usahawan mikro, kecil dan sederhana; dan

  • Menjalankan operasi makmal bersepadu bagi ujian mutu air, keselamatan makanan termasuk menjamin kehalalan makanan.

"Perbelanjaan bagi usaha-usaha ini dibiaya daripada Blok Geran yang disetujui pemerintah Manila.



"Blok Geran ini membentuk 5 peratus daripada jumlah kutipan cukai negara untuk tahun sebelumnya. Untuk tahun ini, kami menjangka menerima 73 bilion peso ($2.014 bilion) tetapi disebabkan Covid-19, saya rasa jumlah kutipan pemerintah adalah lebih rendah," katanya.



Generasi muda seperti Encik Mohammad Abqary Alon, 27 tahun, melahirkan rasa syukur menyaksikan pengibaran bendera rasmi wilayah autonomi itu - dua tahun selepas berlangsungnya peralihan kuasa dalam suasana bergelora.



"Perangkaan ekonomi terkini belum ada memandangkan pandemik Covid-19 melanda setahun selepas penubuhan BARMM.



"Petanda lain yang mengukur pembangunan wilayah adalah baik, kerana adanya ruang demokrasi yang lebih luas, dan suasana yang lebih tenang, adalah faedah yang cukup baik buat kami menyusuli kewujudan BARMM," kata Ketua Jurulatih untuk Kakitangan Pemerintah yang menetap di Cotabato City, Mindanao, itu.



Prestasi ekonomi 2019 BARMM adalah ketujuh terbaik di kalangan 17 rantau negara itu, mencatat pertumbuhan 5.9 peratus bagi hasil keluaran kasar serantau (GRDP).



Pertumbuhan terbesar dicatatkan dalam sektor perkhidmatan (40.4 peratus); sektor pertanian, perhutanan dan perikanan (34.5 peratus); dan, sektor perusahaan (25.1 peratus).



BARMM sumbang 0.1 peratus kepada pertumbuhan hasil dalam negara kasar (GDP) Filipina yang mencecah 6 peratus pada 2019 - dengan nilai penuh sumbangan kepada ekonomi negara adalah 1.3 peratus.



Bagi menangani cabaran ekonomi semasa, pemerintah wilayah katanya tidak lagi membiayai program menelan belanja besar yang hanya memanfaatkan ahli politik dan "memberi tumpuan kepada program yang benar-benar memanfaatkan rakyat di kawasan pendalaman dan terpencil".



Malah, perbelanjaan bagi perayaan sempena sambutan Hari Penubuhan Bangsamoro juga dikurangkan "tetapi sambutan tetap meriah", ujarnya.



Menyentuh tentang peluang pekerjaan bagi golongan muda, Encik Mohammad Abqary mendedahkan kepada akhbar ini, golongan muda kini menduduki jawatan kanan dalam birokrasi baru BARMM.



"Oleh kerana birokrat ARMM telah dihapuskan, jawatan kanan kini lebih terbuka dan generasi lebih tua tidak dapat bersaing kerana mereka lebih berdedikasi dalam perjuangan mereka, jadi yang muda lebih bersaing dan lebih mahir dalam kecekapan yang diperlukan," ujarnya.




"Kita memulakan perjuangan ini semasa kita semua lelaki muda yang percaya rakyat kita wajar menikmati keadaan lebih baik, bahawa orang kita tidak harus menghadapi penindasan sistemik dan orang kita berhak mengemudi masa depan berdasarkan keputusan mereka. Kita sekarang dengan bangganya boleh menyatakan kita telah mencapai autonomi yang sebenar yang menggambarkan sejarah panjang masyarakat Bangsamoro - pengorbanan kami dan wawasan kami untuk generasi akan datang."
- Encik Ahod "Al Haj Murad" Balawag Ebrahim, Ketua Menteri Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao (BARMM)



"Pemerintah kami sekarang ditadbir oleh Bangsamoro. Walaupun belum merdeka, kami nikmati kebebasan daripada pemerintah Filipina. Kawasan kami sekarang dianggap wilayah autonomi, dengan pemerintahan sendiri, kami punya parlimen sendiri yang diketuai ketua menteri dan punya barisan kementerian kami sendiri."
- Encik Suharto A. Abas, 51 tahun, Pengarah Agung, Kementerian Sains dan Teknologi, BARMM.



"Oleh kerana birokrat ARMM telah dihapuskan, jawatan kanan kini lebih terbuka dan generasi lebih tua tidak dapat bersaing kerana mereka lebih berdedikasi dalam perjuangan mereka, jadi yang muda lebih bersaing dan lebih mahir dalam kecekapan yang diperlukan."
- Encik Mohammad Abqary Alon, 27 tahun, Ketua Jurulatih untuk Kakitangan Pemerintah, BARMM.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >