Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Rencana

Bantu mereka yang alami isu mental selepas gangguan serupa diatasi

Ibu kini bertugas di Club Heal selepas jalani rawatan pemulihan bagi gangguan skizoafektif dan kemurungan
Oct 18, 2020 | 05:30 AM

KETIKA hamil dengan anak pertamanya pada 2010, pakar sakit puan yang merawat Cik Nur Hafizah Kamarulzaman mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan pesakitnya itu setelah beliau menjawab soal selidik yang diberikan.

"Beliau tanya saya, 'awak ada perasan apa-apa yang berbeza tak dengan mood awak?'" kongsi Cik Nur Hafizah.

Beliau mengakui sering menangis dan suka memencilkan diri daripada orang lain sehingga tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun, namun menganggapnya sebahagian pengalaman kehamilan.

Beliau lalu dirujuk kepada pakar psikiatri oleh doktornya itu.

"Saya ingat lagi, apabila saya nampak perkataan 'psikiatri' tu, saya terfikir 'saya tak gila'," katanya.

Cik Nur Hafizah, 28 tahun, didiagnosis mengalami kemurungan.

Beliau diberi ubat anti kemurungan, tetapi beliau tidak memakannya sama sekali kerana "pada masa itu saya menafikan (menghadapi kemurungan)".

Namun, keadaannya itu bertambah teruk setelah beliau melahirkan anak sulungnya itu.

Empat bulan setelah bergelar ibu, Cik Nur Hafizah mula melihat dan mendengar perkara-perkara yang tidak wujud di alam nyata.

"Saya nampak bayang-bayang di rumah, saya dengar suara-suara yang menyuruh saya pukul anak saya, lagi-lagi apabila anak saya tengah menangis atau meragam.

"Suara itu cakap 'anak inilah yang buat kehidupan kau susah', dan saya seolah-olah tak dapat kawal diri saya pada masa itu, dan saya akan lakukan apa yang suaru itu suruh.

"Saya rasa bingit asyik dengar perkara yang sama berulang-ulang kali dalam sehari," cerita beliau, yang menambah ibunya sehingga terkejut dengan perbuatan anaknya itu.

"Ibu saya sampai tanya, 'apa yang kau buat ni, kau nak bunuh anak kau ke?!'," kata Cik Nur Hafizah.

Sebagai seorang yang tidak gemar bercampur dengan orang sekeliling, beliau tidak suka berkongsi apa yang dilaluinya dengan orang lain, dan sehingga waktu itu, tiada siapa pun yang mengetahui tentang pengalamannya.

TIDAK MAHU PENTINGKAN DIRI SENDIRI

Namun, terdetik dalam hati Cik Nur Hafizah untuk mendapatkan bantuan.

"Saya beritahu diri saya bahawa saya tak boleh pentingkan diri sendiri, ibu saya perlukan saya.

"Saya pun terfikir, ini tak boleh berlaku dan ini bukan diri saya sendiri sebab saya suka dan sayang budak-budak dan bayi.

"Jadi, saya telefon pekerja sosial saya di NUH (Hospital Universiti Nasional) ketika itu dan memberitahunya saya perlukan bantuan," cerita Cik Nur Hafizah.

Keesokan harinya, beliau berjumpa dengan pakar psikiatri dan didiagnosis mengalami gangguan skizoafektif, kondisi di mana beliau akan mengalami halusinasi, delusi dan pemikiran yang tidak tenteram, di samping kemurungan.

Setelah memberitahu kisah sebenar, Cik Nur Hafizah terpaksa dipisahkan daripada anaknya itu demi keselamatan bayi tersebut. Anaknya kemudian diletakkan di wad kanak-kanak di NUH, sementara ibunya dirawat di wad psikiatri di sana.

Beliau akur rasa gelisah dan sering memikirkan anaknya yang masih menyusu badan ketika itu.

Oleh kerana anaknya itu memerlukan susu badan ibunya, Cik Nur Hafizah dibenarkan berjumpa bayinya, tetapi dengan syarat mesti ada orang ketiga - sama ada ibunya atau jururawat; beliau mesti berjumpa dengan pakar psikiatri; dan mesti memakan ubat-ubat yang diberikan.

Enam tahun lalu, Cik Nur Hafizah, yang kini merupakan ibu dua anak lelaki, membuat keputusan berjumpa kaunselor daripada Club Heal dan Khidmat Masyarakat Anglican Singapura (SACS) untuk mendapatkan bantuan bagi proses pemulihannya.

Mereka telah mengajarnya mengenal pasti apa yang boleh mencetuskan episod kemurungan dan gangguan skizoefektifnya itu.

Kini, Cik Nur Hafizah sendiri merupakan Pakar Sokongan Rakan (PSS) yang boleh membantu mereka yang mengalami isu kesihatan mental dan berkongsi pengalamannya sendiri.

"Meskipun saya mempunyai isu kesihatan mental dan klien pun ada isu kesihatan mental, kami semua melalui pengalaman yang berbeza.

"Apa yang saya boleh kongsi sebagai PSS ialah pengalaman yang saya lalui dan bagaimana saya dapat mendekati dan membantu mereka menangani masalah mereka," ujarnya.

Walaupun keadaannya sudah jauh lebih baik, cabaran tetap ada bagi dirinya, yang kini bertindak sebagai Eksekutif Program di Club Heal. Sudah lima tahun beliau menyandang jawatan tersebut dan mengendalikan program pemulihan.

JADI MANUSIA LEBIH BAIK

Apakan tidak, sambil terus berusaha memperbaiki dirinya sendiri, Cik Nur Hafizah juga perlu menjaga ibunya yang menghidap skizofrenia dan suaminya yang mengalami kemurungan.

"Dulu apabila saya baru-baru didiagnosis, saya selalu tanya Tuhan kenapa ini berlaku kepada saya, tapi lama-kelamaan saya sedar ada hikmah di sebaliknya.

"Sejujurnya, saya rasa saya telah jadi manusia yang lebih baik daripada pengalaman ini, saya lebih peka dari segi kerohanian... dan saya jadi lebih dekat dengan Allah," ujar Cik Nur Hafizah.


"Meskipun saya mempunyai isu kesihatan mental dan klien pun ada isu kesihatan mental, kami semua melalui pengalaman yang berbeza.
Apa yang saya boleh kongsi sebagai PSS ( Pakar Sokongan Rakan) ialah pengalaman yang saya lalui dan bagaimana saya dapat mendekati dan membantu mereka menangani masalah mereka.
Dulu apabila saya baru-baru didiagnosis, saya selalu tanya Tuhan kenapa ini berlaku kepada saya, tapi lama-kelamaan saya sedar ada hikmah di sebaliknya."

- Cik Nur Hafizah Kamarulzaman, ibu dua anak, yang telah didiagnosis mengalami gangguan skizoafektif, satu keadaan yang membuatnya antara lain, mengalami halusinasi dan kemurungan. Namun, enam tahun lalu, beliau berjumpa kaunselor untuk mendapatkan bantuan bagi proses pemulihannya.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian