Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Belang-belang si 'bahasa rimau'

Antara tersurat dengan yang tersirat

BERSAMA SUHAIMI MOHSEN

Jan 30, 2022 | 05:30 AM



BANYAK keluarga Cina dijangka berkumpul malam besok untuk menyambut Tahun Baru Cina.



Tahun ini ialah Tahun Harimau.



Kalendar lunar (bulan) Cina dihitung berdasarkan kitaran 12 tahun dengan setiap tahun dinamakan sempena nama 12 jenis haiwan.



Selain harimau, binatang ialah tikus, arnab, kambing (domba), naga, babi, lembu, kuda, anjing, monyet, ular, dan ayam jantan.



Menurut zodiak atau astrologi Cina kepercayaan Cina, setiap binatang itu mempunyai sifat dan tuah tersendiri.



Orang yang lahir pada tahun harimau antara lain dikatakan mempunyai ciri yang ada pada harimau seperti berani bertindak, bersemangat dan yakin diri.



HARIMAU DALAM BAHASA/BUDAYA MELAYU



Ciri dan sifat pelbagai binatang juga menjadi perhatian masyarakat Melayu.



Mungkin kerana suasana hidup di kampung berdekatan hutan, harimau antara binatang yang menjadi perhatian masyarakat Melayu hinggakan ciri dan sifat harimau dijadikan tamsil pelbagai gambaran kehidupan. Sebahagian pengaruh 'Pak belang' itu berlarutan hingga kini.



Jika pasukan bola sepak Singapura dikenali dengan gelaran pasukan Singa, sesuai dengan negara dan sejarah nama Singapura, pasukan Malaysia dikenali sebagai 'Harimau'.



Ciri harimau banyak terdapat dalam peribahasa Melayu.



Antara yang umum dan biasa didengar ialah terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau - menggambarkan keadaan seseorang yang terhindar daripada suatu bahaya atau kesusahan yang menakutkan, tetapi termasuk pula ke dalam bahaya atau kesusahan lain, kekadang bahaya yang lebih besar lagi.



Seseorang yang termasuk atau terperangkap dalam suatu bahaya besar pula disifatkan sebagai termasuk sarang harimau, sementara sudah masuk ke dalam mulut harimau menggambarkan keadaan orang dalam bahaya yang tidak dapat ditolong lagi.



Satu lagi yang biasa didengar ialah harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading (tulang), manusia mati meninggalkan nama - ungkapan yang menggambarkan tentang kesan yang ditinggalkan selepas kematian, orang baik meninggalkan nama baik dan disebut-sebut, orang jahat meninggalkan nama buruk.



Ungkapan hampir serupa makna ialah orang mati meninggalkan nama, harimau mati meninggalkan belangnya.



Ungkapan mati gajah tiada dapat belalainya, mati harimau tiada dapat belangnya menggambarkan keadaan orang yang membuat pekerjaan tidak baik atau jahat tahu menyembunyikannya.



Jika ungkapan harimau mati kerana belangnya menggambarkan keadaan seseorang yang mendapat kecelakaan kerana kelebihannya atau menunjuk-nunjuk kehebatannya; ungkapan gajah terdorong kerana gadingnya, harimau terlompat kerana belangnya ialah perlakuan atau melakukan sesuatu yang kurang baik kerana kelebihannya.



SIFAT GARANG DAN BERLAWANAN



Terdapat beberapa ungkapan yang khusus menggambarkan ciri bengis dan garang pada harimau yang dijadikan misal atau contoh pada sikap dan perangai manusia.



Harimau ditakuti sebab giginya misalnya menggambarkan orang besar yang ditakuti kerana kekuasaannya.



Seperti harimau lepas tangkap menggambarkan keadaan orang yang dalam keadaan marah lagi bengis; sebaliknya rupa harimau hati tikus menggambarkan orang yang rupa saja hebat dan garang tetapi pengecut.



Seperti harimau menyembunyikan (menyorokkan) kukunya menggambarkan orang yang menyembunyikan kelebihannya, ungkapan harimau memperlihatkan kukunya (atau belangnya) pula memberi gambaran sebaliknya - orang yang memperlihatkan kekuatan atau kekuasaannya.



Orang yang menggunakan kekuasaan orang lain untuk menakut-nakutkan orang disifatkan dengan ungkapan memakai kulit harimau. Ungkapan dengan makna serupa ialah mengepit kepala harimau.



Terdapat juga beberapa ungkapan yang menunjukkan sikap tetapi tidak sampai melakukan tindakan.



Antaranya ialah harimau bertempek (atau mengaum) tidak makan orang bermakna orang yang terlalu marah tidak sampai memukul atau orang yang mengancam dengan perkataan keras tetapi tidak sampai berbuat apa-apa.



Ungkapan takkan harimau makan anaknya ialah gambaran keadaan bapa yang marah terhadap anaknya tetapi tidak akan sampai membunuhnya.



Terdapat juga perbandingan harimau dengan sikap garangnya dengan binatang yang lemah.



Misalnya, seperti kambing dengan harimau menggambarkan orang yang lemah melawan orang yang kuat. Ia juga menggambarkan keadaan orang lemah yang takut kepada orang yang berkuasa.



Satu lagi ialah kalau si tua (harimau) menunjukkan belangnya, dah tentu kambing bertanggungan (menderita) adalah gambaran tentang orang yang lemah atau tidak berdaya berhadapan dengan orang yang kuat atau berkuasa yang lazim akan kalah akhirnya.



Namun ada juga sikap positif pada harimau yang dijadikan misal. Duduk seperti kucing, melompat seperti harimau menggambarkan orang pendiam yang tangkas bekerja dan berfikir.



PERMISALAN ANAK HARIMAU



Turut dijadikan permisalan dalam kehidupan ialah pemerhatian berhubung anak harimau.



Kecil-kecil anak harimau memberi gambaran meski kecil tapi berani sementara mengajar anak harimau bermakna mengajar anak yang lekas pandai.



Bagai harimau beranak muda menggambarkan wanita yang bengis.



Sikap manusia yang sukar berubah dimuatkan dalam ungkapan anak harimau takkan menjadi anak kambing yang bermakna orang yang berani tidak akan jadi penakut, dan sebaliknya anak kambing takkan menjadi anak harimau bermakna orang yang pengecut akan tetap pengecut.



Namun, perubahan sikap yang agak negatif diungkap dalam peribahasa malu kalau anak harimau menjadi anak kambing (kucing) yang bermakna tidak patut anak orang baik-baik menjadi sebaliknya, atau anak orang berani menjadi penakut; sementara anak kucing menjadi harimau menggambarkan keadaan orang miskin atau tidak berada menjadi kaya. Ia juga boleh menggambarkan orang atau rakyat biasa menjabat pangkat tinggi dalam pemerintahan.



Dalam memberi peringatan supaya berwaspada, terutama pada orang yang dianggap musuh, antara ungkapan ialah anak harimau jangan dibela pelihara yang bermakna jangan berbuat baik dengan orang yang cenderung atau suka berbuat jahat; menggedangkan (besarkan) anak harimau bermakna memelihara musuh yang kelak akan merugikan kita sendiri.



Anak harimau diajar makan daging memberi gambaran orang zalim diberi perangsang untuk membuat aniaya, maka itu anak harimau jangan diajak bertampar, ingat-ingat kukunya pula merupakan nasihat supaya jangan mencari musuh dengan orang yang lebih kuat dan lebih persediaan alat senjatanya.



YANG JARANG DIDENGAR



Terdapat banyak lagi peribahasa berkaitan harimau, namun kurang didengar. Antaranya:



Seperti harimau kena kucing pekak bermakna marah bercampur takut kerana bahaya yang menimpanya. Kucing pekak ialah istilah menggambarkan perangkap besi.



Menghendakkan cirit harimau tergantung di ekornya memberi gambaran tentang keinginan mendapatkan barang yang tidak mungkin diperoleh.



Menghilangkan jejak bagai harimau ialah berbuat sesuatu untuk menutup kesalahan atau perbuatan yang kurang baik.



Menolong orang (atau kerbau) ditangkap harimau bermakna menolong orang yang membuat kesalahan yang akhirnya menyusahkan diri sendiri.



Kuat gajah terdorong, kuat harimau terlompat-lompat ialah mengenai orang besar-besar yang membuat kesalahan kerana kekuasaannya.



Kambing menyusui anak harimau, besar dia dipatahkan tengkuknya menggambarkan padah atau akibat yang akan diterima kalau menolong orang jahat dalam kesusahan.



Harimau hendak menghilangkan jejaknya bermakna orang jahat hendak menyembunyikan kejahatannya.



Harimau tidak merendahkan dirinya untuk menangkap cicak sebagai mangsanya ialah gambaran orang-orang besar yang berkuasa atau berkedudukan yang tidak mahu bertindak dengan tindakan-tindakan yang merendahkan tarafnya.



Gajah harimau di hutan hendak diburu, pijat-pijat di bantal tak dapat dihapuskan bermakna kejahatan orang besar dan orang yang lebih kuat daripada kita hendak dibasmi, kejahatan anak buah sendiri di rumah tiada dapat diatasi.



Bagai bunyi orang dikoyak harimau menggambarkan teriakan atau melolong dengan kuat.



Biar mati ditangkap harimau, jangan mati digigit anjing menggambarkan keadaan seseorang yang rela kalah di tangan orang yang kuat daripada kalah di tangan orang lemah.



Dan satu ungkapan nasihat yang boleh diamalkan berhubung harimau ialah kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnya. Ia membawa maksud hendaklah periksa dengan saksama tentang sesuatu perkara itu sebelum membuat sebarang kesimpulan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >