Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Imbangi tugas akademik di NUS, bantu penduduk Sengkang

Wawancara dan Penyunting Halaman oleh,ADLI YASHIR KUCHIT

Apr 24, 2022 | 05:30 AM



DI sebalik gulungan ijazah, dari sarjana muda hingga ke PhD, laluan akademik Profesor Madya Dr Mohamed Elmie Nekmat sebenarnya tidak begitu lancar malah penuh dengan adangan dan rintangan.



"Saya bukan pelajar cemerlang," kata Dr Elmie, 40 tahun, secara berterus terang.



Bahkan, kali pertama beliau menduduki peperiksaan peringkat 'A', beliau gagal mendapat tempat ke mana-mana universiti setempat.



"Keputusan saya ketika itu sungguh teruk sekali," tambah beliau dalam wawancara bersama Berita Harian.



Biarpun bapanya, pesara teknisyen Singapore Airlines (SIA), dan ibunya, pengendali kantin, tidak banyak bersuara, raut wajah mereka jelas dibayangi rasa kecewa, kata Dr Elmie.



Dari raut wajah beliau sendiri, mengimbas kisah itu merupakan sesuatu yang sukar baginya.



Ini memandangkan sebagai anak sulung dalam keluarga empat adik beradik, beliau diharapkan sebagai satu-satunya dalam keluarga mereka yang berpotensi ke universiti.



Kekecewaan itu mendorong Dr Elmie mencuba lagi, seterusnya sebagai calon privet semasa menjalani perkhidmatan negara dalam pasukan polis.



Berkat kegigihannya, beliau berjaya mendapat tempat dan memulakan pengajian di Fakulti Kesenian dan Sains Kemasyarakatan (FASS) Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2003.



Di situ laluan akademiknya semakin cerah - satu persatu pintu peluang terbuka untuknya.



Ketika itu Internet mula berkembang dan kesannya menjejas ramai penduduk. Kepentingan bidang itu mendorong keinginan beliau mempelajari kesan Internet kepada warga.



Dan di situlah berputik minatnya untuk mendalami bidang perhubungan digital dan media baru.



Setelah tamat pengajian sarjana muda, beliau diberi peluang mengajar mahasiswa dan pada masa yang sama ditawar biasiswa mengambil sarjana di universiti itu.



"Pembimbing saya di NUS banyak mendorong saya melanjutkan pengajian supaya peluang mendapat jawatan tenur di universiti itu lebih cerah," kata Dr Elmie.



Dorongan itu membawa beliau ke Universiti Alabama, Amerika Syarikat untuk mengejar PhD pada 2010 dan seterusnya ijazah pascakedoktoran dalam jurusan perhubungan di Universiti California, Santa Barbara.



Setelah tamat pengajian pada 2014, beliau kembali mengajar di NUS dan pada Mac tahun lalu (2021) beliau ditawar jawatan tenur dan dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya di Jabatan Perhubungan dan Media Baru universiti tersebut.



Oktober lalu, beliau dilantik Penolong Dekan bagi penyelidikan FASS - difahamkan anak Melayu pertama yang dilantik sebagai anggota pasukan dekan fakulti tersebut.



Di sebalik kesibukan menyampaikan kuliah, membimbing calon PhD dan membantu menyelaraskan arah tuju penyelidikan di fakulti tersebut, Dr Elmie juga sempat berkhidmat pada masyarakat.



Antara lain beliau giat memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Jawatankuasa Penasihat Program Melayu di Penguasa Pembangunan Infokom dan Media (IMDA).



Dalam pada itu beliau turut meluangkan masa menyumbang kepada Jawatankuasa Media dan Perhubungan AMP Singapura, dan Jawatankuasa Forum Pemimpin Masyarakat bagi Skim Kepimpinan dan Dermawan Yayasan Mendaki.



Keinginan membantu masyarakat dilanjutkan lagi pada 2016 apabila beliau diundang menjadi relawan Parti Tindakan Rakyat (PAP).



Beliau bersetuju atas dorongan ramai di parti itu termasuk Profesor Madya Dr Yaacob Ibrahim yang ketika itu Menteri Perhubungan dan Penerangan.



Ditanya tentang pengalamannya dalam PAP, Dr Elmie berkata antara yang menarik beliau menyertai PAP adalah keyakinan bahawa ia parti terbaik yang boleh membawa Singapura ke hadapan.



"Sebagai relawan saya berpeluang membantu penduduk di kawasan undi Jalan Besar menghuraikan isu berkaitan penduduk flat sewa di sana," kata beliau yang juga kerap menerima nasihat tentang ehwal masyarakat Melayu/Islam daripada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Pada 2021 beliau diminta berpindah dan berkhidmat di Sengkang.



Dalam pilihan raya umum 2020, pasukan PAP yang bertanding di GRC Sengkang telah ditewaskan oleh pasukan Parti Pekerja yang terdiri daripada Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim, Encik Louis Chua dan Cik Raeesah Khan.



Bulan lalu, PAP mengumumkan perubahan kepimpinan di GRC Sengkang - Dr Elmie, Cik Theodora Lai, and Encik Ling Weihong menggantikan Encik Ng Chee Meng, Encik Amrin Amin dan Encik Raymond Lye untuk mempengerusikan cawangan parti di GRC itu.



Ia antara petanda muka-muka baru itu mungkin ditampilkan sebagai calon itu dalam pilihan raya umum akan datang.



Dr Elmie dilantik pengerusi cawangan PAP di Sengkang Central, Cik Lai dikerah ke Sengkang North dan Encik Ling pula ke Sengkang East.



Dr Lam Pin Min yang merupakan anggota pasukan PAP yang bertanding dalam pilihan raya lalu akan kekal di Sengkang West.



Dalam wawancara di hadapan sebuah tadika di Sengkang Central, Dr Elmie ditanya tentang aspirasi politiknya.



Memberikan respons, beliau berkata:



"Masih banyak anak tangga yang perlu dinaiki sebelum saya tiba di detik itu, buat masa ini saya mahu memberi tumpuan mengenali dan membantu penduduk Sengkang dan mempermudah usaha pemimpin akar umbi di sini meneroka program yang memberi manfaat kepada penduduk."



Diminta mengulas tentang kes bekas anggota parlimen GRC Sengkang Cik Raeesah Khan yang meletak jawatan setelah berbohong di Parlimen, Dr Elmie sekadar berkata:



"Ia kejadian yang kesali."



Beralih kepada usaha mendekati penduduk di situ beliau memerhatikan kawasan Sengkang Central mempunyai 116 blok flat HDB yang menjadi kediaman kepada sekitar 41,000 penduduk - 8 peratus penduduk di situ merupakan penduduk Melayu.



"Kebanyakan penduduk merupakan ibu-bapa muda, ramai yang tinggal dalam keluarga berbilang generasi.



"Justeru keperluan dan aspirasi mereka berbeza daripada penduduk flat sewa di Jalan Besar," kata Dr Elmie.



Apabila tiada kuliah atau tugas di fakulti, Dr Elmie akan meluangkan masa di Sengkang Central untuk mendekati penduduk.



Facebooknya penuh dengan foto-foto yang memaparkan beliau berinteraksi dengan penduduk atau membantu mengagihkan habuan.



Sebelum menemui wartawan bagi wawancara ini misalnya, beliau telah membantu mengedarkan pek pendidikan kepada murid-murid prasekolah di sebuah tadika berdekatan.



Memberikan gambaran tentang kawasan itu, beliau berkata flat paling lama di situ berusia sekitar 15 tahun.



Tempat ibadah berdekatan seperti Masjid Al-Mawaddah menjadi tumpuan bagi penduduk Muslim di Sengkang, Punggol dan juga Ang Mo Kio. Dalam bulan Ramadan ini beliau sering mengambil kesempatan bertarawih di masjid itu.



"Dalam perbualan dengan penduduk Melayu saya sering memperkenalkan diri sebagai cucu kepada penjual sate Jawa di Toa Payoh yang pernah tinggal di flat sewa dan gemar berdikir barat semasa di bangku sekolah," kata beliau.



Sebagai muka baru di kawasan itu, beliau akur perlukan sokongan pemimpin akar umbi serta 'penghulu-penghulu' di kawasan tersebut.



Justeru antara keutamaannya ialah mendekati para pemimpin di situ.



Dan baki masa lapangnya, beliau gemar menghabiskan masa dengan isterinya Cik Aishah Ng, 37 tahun, seorang jurulatih kecergasan bebas, dan empat putrinya yang berusia antara satu dan 11 tahun.



Dalam kiriman di media sosial, Dr Elmie sering di gambar berbasikal bersama keluarga dan teman, menjelajah tempat-tempat menarik di serata pulau.




BIODATA



Dr Mohamed Elmie Nekmat, 40 tahun



JAWATAN



  • Penolong Dekan (Penyelidikan) Fakulti Kesenian dan Sains Kemasyarakatan Universiti Nasional Singapura (NUS)

  • Profesor Madya Jabatan Perhubungan dan Media Baru NUS

  • Penyiasat Utama Pusat Internet dan Masyarakat Dipercayai (CTIC)

  • Rakan Penyelidik di Pusat Penyelidikan Keluarga dan Penduduk (CFPR)

  • Zamil Residen Ridge View Residential College NUS

PENDIDIKAN



  • Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dan Sarjana NUS

  • Penerima Biasiswa Siswazah Luar Negara NUS (NUS-OGS) PhD, Universiti Alabama

  • Penerima Anugerah Pascakedoktoran Luar Negara NUS (NUS-OPF), Universiti California, Santa Barbara

KHIDMAT MASYARAKAT



  • Pengerusi Cawangan PAP Sengkang Central

  • Anggota Jawatankuasa Pembelajaran dan Pengalakkan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC)

  • Anggota Jawatankuasa Media dan Perhubungan bagi AMP Singapore

  • Anggota Jawatankuasa Pemandu Forum Pemimpin Masyarakat Skim Kepimpinan dan Dermawan Yayasan Mendaki

  • Anggota Lembaga Jawatankuasa Pertapis

  • Anggota Lembaga Perpustakaan Negara (NLB)

  • Anggota Lembaga Majlis Sukan Singapura (SportSG)

  • Anggota Majlis, Majlis Literasi Media dan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Rangkaian Kesediaan Digital Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA)

  • Anggota Lembaga Politeknik Ngee Ann




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >