Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Buku rakam pencapaian lima dekad CNB perangi dadah

Jan 31, 2022 | 05:30 AM



Sempena ulang tahun ke-50 penubuhan Biro Narkotik Pusat (CNB), sebuah buku telah diterbitkan. Buku itu menyingkap detik-detik penubuhan agensi yang ditugaskan untuk membanteras penyalah gunaan dadah di Singapura serta pencapaiannya sejak ia ditubuhkan pada November 1971. BERITA HARIAN menukil beberapa kisah serta pengalaman pegawai CNB yang terkandung dalam buku tersebut.



BAHAN dadah psikoaktif baru, trend global yang lebih mesra dadah, penagih yang semakin muda serta penularan pasaran siber darknet yang memudahkan penagih mendapatkan dadah.



Itulah antara cabaran yang dihadapi Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam usahanya membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.



Sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan CNB, sebuah buku telah diterbitkan, yang menyingkap pencapaian masa lalu serta cabaran di masa hadapan.



Buku bertajuk CNB The Bureau's Fight For A #DrugFreeSG (CNB Perjuangan Biro bagi SG Bebas Dadah) turut mengiktiraf pengorbanan dan usaha pegawai CNB dari zaman ke zaman dalam membanteras dadah.



Menyampaikan kata-kata aluan di bahagian depan buku itu, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong berkata Singapura mempunyai pengalaman panjang dengan masalah penyalahgunaan dadah.



"Bahkan, sehingga awal abad ke-20, penjualan dan penggunaan candu masih dibenarkan. Dalam zaman awal kemerdekaan, heroin muncul sebagai dadah pilihan. Budaya Hippie pada lewat 1960-an menyaksikan semakin ramai golongan muda menyalahgunakan ganja dan methaqualone.



"Namun pemimpin pengasas kita mengambil pendirian tegas menentang penggunaan dadah. Mereka bertekad menghalang budaya dadah daripada berakar di sini.



"Buku ini memberi penghargaan kepada semua pegawai CNB atas usaha gigih dan risiko yang mereka hadapi untuk membasmi dadah dan pengedar. Ia meraikan kisah-kisah kesungguhan, komitmen dan daya sumber dalam perang menentang dadah," kata Encik Lee.



CNB ditubuhkan pada November 1971 untuk menumpukan perhatian dalam perang menentang dadah.



Menerusi penguatkuasaan tegas dan usaha pendekatan yang berkesan, bilangan penagih bagi setiap 100,000 penduduk telah merosot daripada puncak sekitar 200 pada pertengahan 1990-an kepada 75 pada 2020.



Dalam mesejnya, Menteri Ehwal dalam Negeri merangkap Undang-Undang Encik K Shanmugam pula berkata CNB telah mengubah responsnya bagi menangani trend baru.



"Ia telah mengubah program pendidikan pencegahan. Ia telah melaksanakan kempen berprofil tinggi lagi kreatif dengan memberi tumpuan kepada saluran dalam talian. Ia telah memanfaatkan teknologi untuk menajamkan keupayaan penguatkuasaan dan keberkesanan operasi," kata Encik Shanmugam.



Buku setebal 107 muka surat itu antara lain mengimbas zaman awal penubuhan biro tersebut.



Salah satu detik bersejarah bagi CNB ialah perlaksanaan Operasi Ferret yang dijalankan pada 1977.



Operasi itu disifatkan sebagai detik peralihan dalam perang Singapura menentang penyalahgunaan heroin. Operasi itu berjaya mengawal masalah heroin dan mengganggu rangkaian edaran dadah tersebut di negara ini.



Mengimbas kembali, mantan Pengarah CNB (1978-1981) Encik Tee Tua Ba berkata:



"Apabila Operasi Ferret dilancarkan, 8,000 penagih telah diberkas dalam operasi yang berlangsung selama beberapa hari. Kesannya pada sekitaran dalam masa 48 jam adalah dramatik.



Nisbah penagih baru dengan penagih berulang merosot dengan mendadak, harga sestraw heroin meningkat dengan banyak menandakan terdapat kekurangan bekalan heroin di jalanan."



Buku itu juga menyusuri kenangan pahit manis, pencapaian lima dekad dekad selepas CNB ditubuhkan.



Ini termasuk usaha perintis memanfaatkan teknologi, mengembling tenaga masyarakat, kerjasama dengan pihak berkuasa luar negara serta badan dunia untuk memerangi dadah.



Buku itu juga padat dengan kisah-kisah dan pengalaman yang dikongsi mantan anggota dan pegawai masa kini biro tersebut.



Sebagai contoh, Superintenden Cindy Goh mengimbas pengalaman warga menggunakan alat komunikasi yang lama semasa bertugas.



Pada waktu itu, pegawai tidak diberikan telefon bijak sebaliknya mereka menggunakan alat kelui dan telefon berwayar.



Setiap kali saya terima isyarat di kelui saya terpaksa berlari mencari telefon awam," kata Superintenden Goh.



Set radio yang diberikan untuk operasi pula besar dan sukar disembunyikan.



Pegawai yang menjalankan operasi menyamar sering keberatan menggunakannya kerana set radio itu mudah dilihat orang ramai.



"Dari jauh orang boleh nampak set radio kami, lebih-lebih lagi apabila kami terpaksa menggunakan surat khabar untuk menyembunyikan alat tersebut," kata Penolong Pegawai Narkotik Ng Chin Beng.



Lima dekad sejak CNB ditubuhkan, biro itu kini boleh berbangga dengan pencapaiannya.



Antara hasil utama yang dicapai dalam perang menentang dadah, rakyat Singapura kekal sedar akan bahaya dadah. Tinjauan juga menunjukkan penduduk masih bersatu menyokong pendirian tegas negara menentang dadah.



Sekitaran Singapura juga kini lebih bebas dari dadah.



Selewat 1990-an penagih masih boleh pergi ke beberapa kawasan di Singapura untuk membeli dadah dari pengedar yang berlegar di situ.



Namun usaha gigih CNB telah menyebabkan kesukaran mendapatkan dadah di sini.



Urusan jual beli dadah kini dilakukan secara bersembunyi - tempahan dibuat menerusi telefon, jual beli berlangsung tanpa berjumpa dan pemindahan wang dilakukan menerusi ATM, kata CNB.



Biar demikian, usaha Singapura menentang dadah terus dibelenggu cabaran dari beberapa sudut.



Di medan antarabangsa misalnya, perkembangan luar negara yang semakin mesra dadah akan terus memberi hamparan kepada benteng Singapura.



Di tanah air pula, golongan warga yang lebih muda kian terjerumus dalam kancah dadah.



Kemunculan bahan psikoaktif dan pasaran jual beli menerusi ruang siber bawah tanah atau Darknet juga akan menguji keupayaan CNB.



Agar dapat bersiap untuk masa depan, CNB akur ia perlu terus memperbaharui keupayaan dan mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.



Bagi merealisasikan matlamat tersebut CNB sedang memupuk budaya peningkatan berterusan dan sentiasa meneliti serta menyemak pendekatan dan amalannya.



Memandang ke hadapan, Pengarah CNB Encik Ng Ser Song berkata jalan seterusnya memerlukan komitmen, ketabahan dan kegigihan setiap anggota bironya.



"Tidak kira dalam bidang penguatkuasaan, pendidikan pencegahan atau pejuangan dan pendekatan antarabangsa.



"Perjalanannya bukan mudah, namun saya yakin pegawai kami akan berjaya dan terus memastikan Singapura kekal selamat daripada ancaman dadah bagi 50 tahun akan datang dan selanjutnya," kata beliau.



TUKILAN DARI BUKU



"Pemimpin pengasas kita mengambil pendirian tegas menentang penggunaan dadah. Mereka bertekad menghalang budaya dadah daripada berakar di sini. Buku ini memberi penghargaan kepada semua pegawai CNB atas usaha gigih dan risiko yang mereka hadapi untuk membasmi dadah dan pengedar. Ia meraikan kisah-kisah kesungguhan, komitmen dan daya sumber dalam perang menentang dadah."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.



"Ia (CNB) telah mengubah program pendidikan pencegahan. Ia telah melaksanakan kempen berprofil tinggi lagi kreatif dengan memberi tumpuan kepada saluran dalam talian. Ia telah memanfaatkan teknologi untuk menajamkan keupayaan penguatkuasaan dan keberkesanan operasi."
- Menteri Ehwal dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmgam.



Tidak kira dalam bidang penguatkuasaan, pendidikan pencegahan atau perjuangan dan pendekatan antarabangsa. Perjalanannya bukan mudah, namun saya yakin pegawai kami akan berjaya dan terus memastikan Singapura kekal selamat daripada ancaman dadah bagi 50 tahun akan datang dan selanjutnya."
- Pengarah CNB, Encik Ng Ser Song.



KES-KES PELIK



SEPANJANG 50 tahun menangani pengedar dan penagih, pegawai Biro Narkotik Pusat CNB berdepan dengan pelbagai cabaran, serta karenah dan perangai suspek. Berikut antara pengalaman pelik yang pernah mereka lalui.



Lain dicari lain yang ditemui



Satu ketika, semasa serbuan, suspek didapati membuang dadah dari tingkap tingkat 11 flatnya.



Seorang pegawai CNB yang bertugas di bawah menemui sebuah bungkusan dan mengesyaki ada bungkusan lain yang mungkin jatuh di kawasan itu.



Inspektor Balai Muhammad Fardlie menceritakan: "Pegawai berkenaan ternampak beg plastik merah tersangkut atas pokok. Kami cuba macam-macam cara untuk mendapatkan beg plastik itu."



Setelah agak lama, akhirnya mereka berjaya.



Malangnya apa yang mereka jumpa hanyalah tuala wanita yang sudah digunakan.



"Semua orang terbahak-bahak dan pegawai itu menjadi bahan gelak di pejabat," katanya.



Kaki pengsan



Inspektor Ravichandran Ramu pernah berdepan dengan suspek yang suka pengsan. Kali pertama ini berlaku ialah semasa suspek berkenaan ditangkap kerana menghisap dadah.



Sebaik sahaja Inspektor Ravichandran bergerak untuk membuat tangkapan suspek terus pengsan. Ketua Pasukan Penguatkuasaan Divisyen A terpaksa memanggil ambulans kerana khuatir suspek menghidap serangan jantung.



Inspektor Ravichandran menceritakan:



"Pegawai ambulans kemudian membuat pemeriksaan namun mereka berkata suspek itu hanya berpura-pura. Doktor pun kemudian mendapati dia berpura-pura.



Biar begitu, suspek dimasukkan ke hospital dan kemudiannya dibebaskan atas ikat jamin.



Dua minggu kemudian Inspektor Ravichandran ditugaskan memberkas semula suspek tersebut. Sekali lagi suspek pengsan. Namun apabila dimasukkan ke hospital suspek melarikan diri. Inspektor Ravichandran kini terpaksa memburu suspek dan akhir berjaya mengesannya.



Apabila ditangkap semula dia pengsan lagi. Perkara yang sama berlaku beberapa kali lagi.



Akhirnya suspek ditangkap dengan jumlah dadah yang banyak dan setelah dibicarakan dia dikenakan hukuman gantung.



Buang bayi dengan dadah



Pada awal tahun 2000 Timbalan Superintenden (DSP) Xavier Lek sedang menjalankan pemeriksaan di flat sewa satu bilik di Hougang Avenue yang sering dikunjungi pengedar dadah.



Satu ketika beliau dan pasukannya memutuskan mahu naik tangga kerana pengedar sering elak naik lif. Sedang mereka naik DSP Lek ternampak seorang lelaki yang turun tangga membawa bayi dan bungkusan hitam di tangan kanan.



DSP Lek dan lelaki itu bertembung di tangga tingkat lima. Apabila DSP Lek memperkenalkan diri sebagai pegawai CNB, suspek terus mengayun tangan untuk membuang bungkusan itu dari tangga tersebut.



Oleh kerana kelam kabut mahu membuang bungkusan itu, suspek hampir-hampir terbuang bayi yang dipegangnya.



Bertindak cepat DSP Lek sempat menahan lelaki itu daripada membuang bayinya.



Pegawai lain tiba tidak lama kemudian untuk menggari suspek. Dadah kemudian ditemui dalam bungkusan tersebut dan suspek ditahan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >