Covid-19 cabar wibawa, upaya Modi tangani krisis, Berita Rencana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Rencana3

LINGKARAN DUNIA

Covid-19 cabar wibawa, upaya Modi tangani krisis

Gelombang kedua bantai India, hakis kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran Parti Bharatiya Janata
May 04, 2021 | 05:30 AM

LONJAKAN kes jangkitan di India bukan hanya meresahkan rakyat tetapi menimbulkan keprihatinan mendalam sedunia.

"Kami tidak punya hari yang baik. Pemerintah cuba mengekang suara rakyat, termasuk rintihan meminta tolong," ujar seorang warga India, Encik Rahit Menon, 42 tahun, dalam perbualannya dengan Berita Harian (28 Apr) baru-baru ini.

"Ini kerana mereka mahu melindungi imej parti pemerintah daripada menyelamatkan nyawa," kata karyawan yang berpangkalan di New Delhi itu dalam nada berbaur marah, kecewa dan tidak puas hati.

Kata-katanya mengingatkan penulis kepada resolusi Parti Bharatiya Janata, pimpinan Perdana Menteri Narenda Modi, pada Februari lalu, yang ketika itu dengan bangganya menyatakan:

"Ia boleh dikatakan dengan penuh bangga, India... menumpaskan Covid-19 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Modi yang berkeupayaan, beriltizam, bertekad dan berwawasan...

"Parti dengan sebulat suara menyokong kepimpinannya kerana memperkenalkan India kepada dunia sebagai sebuah negara yang bangga dan berjaya dalam memerangi Covid."

Kelihatannya, Encik Modi terlalu pantas dalam meraikan kejayaan tersebut - seakan terlupa bahawa langit tidak selalu cerah.

Dalam masa beberapa minggu sahaja, keadaan di India berubah.

Hari ini ia berdepan dengan keadaan cukup getir.

Hospital kekurangan katil dan bekalan oksigen. Unit Jagaan Rapi hanya tinggal nama.

"Pilihan raya negeri akan terus berlangsung. Sebab itulah mereka belum melaksanakan perintah berkurung. Modi ingin memastikan partinya menang negeri-negeri yang dianggap penting," kata Encik Rahit lagi

Tinjauan di rumah-rumah mayat mendapati jumlah kematian akibat Covid-19 mungkin dua hingga lima kali lebih tinggi dari angka rasmi sekitar 2,000 sehari.

Gelombang kedua penularan koronavirus menyaksikan jumlah kematian akibat Covid-19 di India mencecah lebih 200,000 kes dengan sekurang-kurangnya 300,000 kes jangkitan dalam sehari sepanjang minggu ini.

Bukan lagi satu rahsia akan keadaan mayat mangsa Covid-19 yang bergelimpangan di luar pusat pembakaran mayat sementara menanti giliran untuk menjalani upacara pembakaran.

Begitu menghibakan apabila pusat pembakaran tidak mampu menampung lambakan mayat, sehinggakan mayat terpaksa di simpan dalam kereta atau diletak tepi jalan berikutan semua pusat pembakaran mayat beroperasi melebihi kemampuan.

Seorang petugas yang menyelaras pembakaran mayat, Encik Jitender Singh Shanty, ditukil agensi berita AFP sebagai berkata, ketibaan mayat tidak putus-putus.

"Setiap hari lebih ramai yang mati akibat coronavirus ini dan jika ini berterusan, kita terpaksa membakar mayat di atas jalan kerana tiada tempat lagi.

"Saya tidak pernah jangkakan kita akan berdepan dengan malapetaka sebegini besar," katanya yang secara purata menguruskan pembakaran 100 mayat sehari.

Meskipun India dikenali sebagai 'farmasi dunia' kerana menjadi pengeluar ubat generik terbesar global, ia kini tidak mampu memenuhi permintaan bagi ubat anti viral seperti 'remdesivir'.

Meskipun sebahagian doktor berpendapat ubat itu tidak memberi kesan dalam merawat Covid-19 tetapi ia masih disyorkan di sebahagian besar hospital.

Disebabkan ketidakcukupan kemudahan pembakaran mayat secara moden, masyarakat kembali menjalankan upacara pembakaran mayat di tanah terbuka, dan ada pula terpaksa menanam mayat di halaman rumah sendiri.

Disebabkan keadaan yang tidak terkawal, negara-negara asing termasuk Singapura, Britain, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan banyak negara lain tampil menghulurkan bantuan.

Kotak-kotak berisi ventilator dan peralatan oksigen lain dari Britain adalah yang pertama tiba di lapangan terbang New Delhi minggu lalu manakala Amerika Syarikat berjanji menghantar jutaan dos vaksin AstraZeneca.

Singapura juga mengirim bekalan oksigen dan keperluan lain bagi membantu India.

Lonjakan kes jangkitan baru Covid-19 di India meningkatkan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 sedunia kepada 148 juta termasuk lebih 3 juta kematian.

Seperti dinyatakan Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, keadaan kini "lebih daripada menyayat hati".

Persoalannya, apalah strategi India dalam menangani krisis ini?

Memburukkan lagi keadaan, antara 2,000 hingga 3,000 orang yang disahkan positif Covid-19 'hilang' setelah mematikan telefon dan keluar dari rumah mereka di Karnataka, di barat daya India, lapor The Hindustan Times, Rabu lalu.

Ini menimbulkan kebimbangan yang amat sangat sehingga menteri hasil mahsul negeri itu, Encik R Ashoka "yang tidak tahu di mana mereka" dan menggesa rakyatnya agar tidak mematikan telefon mereka, dan melahirkan keprihatinan tentang padah lebih besar yang perlu dihadapi akibat tindakan warga yang tidak bertanggungjawab ini.

Hakikatnya, pemerintah India tidak terduga akan keadaan yang bakal dihadapi setelah melonggarkan sekatan sebaik keadaan mulai pilih.

Bak dinyatakan Encik Manoharlal Khattar, Ketua Menteri Haryana, sebuah negeri di utara India, yang ditukil agensi berita ANI pada Rabu lalu, "penyakit itu menular lebih pantas dari yang dijangkakan".

Seperti di kebanyakan tempat lainnya, prasarana kesihatan di Harayana makin dibebani dengan kekurangan oksigen, katil, ubat-ubatan dan pelbagai lagi.

Dalam segala hal, Encik Modi dan partinya kini berdepan dengan pilihan getir: kemenangan parti atau kesihatan rakyat?

Untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya dan parti, Encik Modi tiada pilihan lain - ketepikan segala yang lain dan tangani krisis Covid-19 sepenuhnya dengan segera.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map