Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: WIRA TANPA SANJUNGAN

Pak Morni curah bakti pada 11 badan atas dasar bantu sesama insan

Berbakti pada masyarakat juga satu ibadat sentiasa jadi pegangan mantan pegawai bank
Feb 20, 2022 | 06:52 AM



BERIBADAT pada Allah tidak terbatas di atas sejadah dan di masjid sahaja. Ia boleh dilakukan di mana-mana dan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk - asalkan niatnya satu kerana Allah.



Inilah yang menjadi pegangan Encik Morni Sulaiman, 78 tahun, mantan pegawai bank, dalam mencurahkan bakti kepada masyarakat sejak lebih 61 tahun lalu.



Bermula pada usia remaja tatkala berada di sekolah menengah pada 1961, beliau, yang mendapat panggilan Pak Morni dalam kalangan teman-teman lebih muda, telah mencurahkan khidmat kepada 11 badan dan persatuan.



Badan yang mula-mula disertai ayah dua anak dan dua cucu ini adalah Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Jamiyah Singapura, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan Persatuan Bawean Singapura (PBS).



Beliau kemudian menyertai dan menabur bakti kepada tujuh lagi badan daripada Yayasan Tsao, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), pertubuhan relawan warga emas RSVP Singapore, Taman Warisan Melayu (TWM), unit maklum balas Reach, sebagai duta warga emas dan bersama Pacific Activity Centre.



Menceritakan perkara yang mendorong beliau melibatkan diri dalam kesemua badan itu kepada Berita Minggu, Pak Morni, yang turut mendapat gelaran Cikgu Morni kerana pernah mendapat pendidikan di Kolej Latihan Perguruan (TTC) di Paterson Road pada tahun 1960-an dan mengajar di beberapa buah sekolah, berkata:



"Sebenarnya ibadat ini tidak terbatas di atas sejadah atau dengan duduk di masjid atau dengan berpuasa sahaja. Ramai yang menyempitkan konsep beribadat.



"Manusia disuruh menjaga hubungan dengan Allah swt dan juga sesama manusia. Selain solat, berpuasa, sedekah dan pergi haji, kita perlu berbuat baik dan menjaga hubungan dengan bukan sahaja orang di sekeliling kita, malah semua makhluk.



"Jadi, bagaimana seseorang itu dapat menunaikan ibadatnya dengan sempurna? Bagi saya, dengan menjaga kededuanya."



Pak Morni berkata beliau sentiasa terkenang pada peringatan yang tertulis dalam Al-Quran.



"Dalam surah Al-'Asr ada menyebut bahawa "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."



"Surah Al-Maidah pula menyuruh kita "...Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan."



"Inilah yang mendorong saya mencurahkan bakti kepada masyarakat.



"Agama menyuruh kita bersedekah. Kalau tak mampu sedekah dalam bentuk wang, kita juga boleh bersedekah dalam bentuk menyumbangkan tenaga. Malah, senyum dan membuat orang gembira juga satu bentuk sedekah. Jadi saya akan menyedekahkan tenaga setakat yang saya mampu," jelas beliau.



Menurut Pak Morni, pelibatannya dalam kerja sukarelawa bermula pada 1961 apabila seorang kawan sekolah memperkenalkannya kepada 4PM.



"Saya bermula dengan setakat tolong-tolong susun kerusi dan mengangkat peralatan yang diperlukan apabila 4PM menganjurkan acara.



"Selepas menyertai mereka sehingga 1963, saya menyertai Jamiyah Singapura pula pada 1964 semasa belajar di TTC. Ketika bersama Jamiyah, saya berpeluang mengikuti ceramah dan syarahan agama yang disampaikan ulama antarabangsa.



"Namun, pelibatan saya dalam kerja sukarela terhenti seketika apabila saya ditawarkan peluang bekerja di Overseas Union Bank di Raffles Place pada 1974 selepas saya sempat mengajar Bahasa Melayu di Newton Boys' School dan Sains di Sekolah Menengah Buona Vista. Saya juga diberi peluang mengajar Sains di Brunei selama dua tahun," cerita beliau.



Menurut Pak Morni, kesibukan dengan tugas di bank mengehadkan masanya meneruskan tugas sebagai sukarelawan, namun peluangnya mencurahkan bakti kepada masyarakat terbuka semula selepas beliau bersara pada 2003 pada usia 58 tahun.



"Selepas pergi haji setahun kemudian, saya memikirkan apa yang boleh saya lakukan untuk mengisi masa lapang saya selepas bersara.



"Ketika itu saya terfikir apa yang boleh saya lakukan selagi saya masih sihat kerana masa lapang dan kesihatan itu adalah antara dua bentuk nikmat yang akan dipersoal kepada kita bagaimana kita menggunakannya.



"Lagi pun, bagi pesara yang sudah memasuki usia senja, mereka perlu kekal aktif secara fizikal untuk memastikan kesihatan mental.



"Saya juga teringat pesan doktor yang menasihatkan warga senja supaya kekal melibatkan diri dalam kegiatan fizikal untuk mengelakkan penyakit dementia yang menyebabkan kita lupa-lupa.



"Inilah yang mendorong saya bergiat semula dalam kerja sukarela. Agama juga menyuruh kita agar membantu orang yang memerlukan.



"Saya juga tertarik dengan mutiara kata yang berbunyi: Rezeki akan melimpah jika dibahagi; Ilmu akan bertambah jika dikongsi; Kasih sayang akan bercambah jika diberi.



"Jangan kedekut... Jangan tamak dan tak perlu bimbang; Jika segalanya hanya kerana Allah...



"Inilah yang saya sematkan dalam hati," tambah beliau, yang kemudian diperkenalkan seorang jiran kepada MAEC di mana beliau berkhidmat selama lima tahun, dan PBS sebagai setiausaha agung dan anggota biasa sehingga sekarang.



Menurut Pak Morni lagi, tekad beliau untuk terus membantu orang lain semakin menebal selepas beliau pulih daripada penyakit kanser limfoma sejurus didiagnos pada 2013 dan setelah menjalani rawatan kemoterapi.



"Mujur ketika itu penyakit tersebut dikesan pada tahap awal. Saya mula berasa segar semula selepas menjalani enam pusingan rawatan kemoterapi.



"Pemulihan saya itu menguatkan tekad saya untuk terus berkhidmat membantu golongan memerlukan.



"Ia menambah rasa syukur saya atas nikmat kesihatan yang Allah berikan kepada saya. Ia mendorong saya supaya terus menyumbang sesuatu kepada orang lain," kata beliau.



Dengan semangat membantu yang semakin menebal, Pak Morni berkata beliau kemudian menyertai tujuh lagi badan.



"Apa yang saya dapat daripada semua ini? Kepuasan. Ia berbentuk dua hala - kepuasan memberi dan kepuasan menerima.



"Apabila kita menyumbangkan tenaga, kita memperoleh ilmu iaitu dalam bentuk latihan yang diberi untuk membolehkan kita memberi khidmat terbaik.



"Ia juga menimbulkan rasa insaf dalam diri kita apabila menyedari nasib orang yang lebih susah daripada kita yang menimbulkan rasa syukur dan empati.



"Dengan memberi dan bersedekah, walau dalam bentuk tenaga sebagai sukarelawan, kita juga dapat buat orang lain gembira," ujarnya.




RAMAI SEMPITKAN KONSEP BERIBADAT



"Sebenarnya ibadat ini tidak terbatas di atas sejadah atau dengan duduk di masjid atau dengan berpuasa sahaja. Ramai yang menyempitkan konsep beribadat."
- Morni Sulaiman, 78 tahun, yang lebih dikenali sebagai 'Pak Morni' dalam kalangan teman-teman.




PERSATUAN/PERTUBUHAN YANG DITUMPAHKAN KHIDMAT



1. 1961-1963

Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM)



  • Mula berjinak-jinak dalam bidang kesukarelawanan dengan menghulurkan bantuan dari segi logistik

2. 1964-1974

Jamiyah Singapura



  • Berpeluang ikuti ceramah dan syarahan agama yang disampaikan ulama antarabangsa, antaranya Kiai Anwar Musaddad

3. Sekitar 2003-2007

Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC)



  • Diperkenalkan oleh jiran dan pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi MAEC Yishun Central

  • Diberi sijil penghargaan sebagai pengiktirafan khidmat

4. 2006-sampai sekarang

Persatuan Bawean Singapura (PBS)



  • Pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung dan salah satu langkah awalnya adalah memperkemas operasi persatuan dengan memperkenalkan visi, misi dan budaya kerja PBS

  • bantu perluas rangkaian PBS dengan Malaysia dan Indonesia

  • dalam 2012, Taman Warisan Melayu (TWM) undang PBS buat pertama kali adakan ceramah interaktif mengenai 'Masyarakat Bawean di Singapura'

  • sumbang idea bagi konsep bagi tajuk pameran 'La-A-Obe: Warisan dan Budaya Bawean di Singapura'

  • masih berkhidmat selaku anggota biasa sampai sekarang

5. 2010-2012

Yayasan Tsao



6. 2011

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB)



  • main peranan sampaikan mesej amalkan gaya hidup sihat pada rakan-rakan sebaya menerusi road show dan penerangan di balai rakyat dan di Universiti Nasional Singapura (NUS)

7. 2011-sampai sekarang

RSVP Singapore



  • beri penerangan kepada warga emas mengenai kemudahan dan infrastruktur seperti di Hospital Khoo Teck Phuat selain menjadi fasilitator bimbing warga emas menerusi bengkel dan terlibat dalam pelbagai kegiatan lain

  • rasa lebih selesa berkhidmat di RSVP kerana berada dalam kalangan golongan sebaya

  • berpeluang ikuti pelbagai latihan kemahiran diri dan menyertai program mentor untuk pelajar sekolah

8. 2012-sampai sekarang

Taman Warisan Melayu (TWM)



9. 2014-2017

Unit maklum balas Reach



10. 2015-2019

Tampil sebagai duta warga emas



11. 2018-sampai sekarang

Pacific Activity Centre



  • bantu adakan ceramah dan kegiatan sosial dalam bahasa Melayu sebulan sekali




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >