Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Faishal tagih masyarakat ambil peduli basmi dadah

Golongan muda di bawah usia 30 tahun bentuk 41 peratus dari keseluruhan penyalahguna dadah yang diberkas sepanjang 2020
Feb 09, 2021 | 05:30 AM



WALAU sudah lali dengan segala nasihat dan amaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah, masyarakat perlu sentiasa peka dan prihatin.



Mentelah lagi, golongan muda membentuk sebahagian besar - kira-kira tiga daripada lima penyalahguna baru yang diberkas sepanjang tahun lalu berusia di bawah 30 tahun.



Kepedulian ini penting dan genting memandangkan generasi muda adalah harapan nusa dan bangsa.



"Istilah yang kita selalu gunakan dalam bahasa Melayu ialah 'ambil peduli', kita perlu ahli keluarga memainkan peranan aktif melindungi remaja kita daripada terjebak dalam penyalahgunaan dadah.



"Kita bergantung kepada ibu bapa untuk menekankan bahayanya dadah. Belia adalah masa depan kita. Sebagai satu masyarakat, kita perlu terus memberi sokongan dan membimbing mereka, jadi mereka dapat menjalani kehidupan yang sihat dan bebas dadah untuk mengecapi potensi mereka yang sepenuhnya," kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa diwawancara Berita Harian baru-baru ini.



Ini selepas CNB mendedahkan perangkaan tahunan penyalahgunaan dadah untuk 2020 pada 3 Februari lalu.



Keprihatinan Dr Muhammad Faishal seharusnya memberi kesan mendalam kepada ibu bapa, kerana umum mengetahui, kadar anak Melayu dalam kancah dadah adalah tinggi dan lebih membimbangkan, golongan belia kita dalam lingkungan usia 20 hingga 29 tahun adalah besar.



Menurut perangkaan Statistica sehingga Jun 2019, jumlah remaja Melayu di sini berusia antara 20 hingga 24 tahun dianggarkan lebih 45,000 orang dan lebih 49,000 orang lagi berusia 25 hingga 29 tahun.



Benar, keadaan penyalahgunaan dadah di sini terkawal dan jumlah penyalahguna dadah baharu yang diberkas menurun daripada 1,460 pada 2019 kepada 1,143 tahun lalu - kemerosotan 24.36 peratus.



Bagaimanapun, jumlah penyalahguna dadah baru kekal tinggi, membentuk 38 peratus daripada keseluruhan yang ditangkap dan sekitar dua pertiga daripada mereka di bawah 30 tahun.



Dalam golongan muda ini, kebanyakan mereka berusia antara 20 dan 29 tahun - membentuk 41 peratus daripada kesemua penyalahguna dadah yang diberkas sepanjang tahun lalu.



"Ini adalah perkara-perkara yang memprihatinkan. Kita mesti terus mendekati golongan belia kita dan memberi amaran tentang bahaya bergantung kepada dadah dan kesannya ke atas mereka dan orang-orang yang mereka sayangi.



Secara keseluruhan, penyalahguna dadah yang diberkas tahun lalu adalah 3,014 orang berbanding 3,526 orang pada 2019 - kadar penurunan sebanyak 15.66 peratus.



Menyentuh tentang penurunan jumlah itu, Dr Muhammad Faishal berkata, ini mungkin disebabkan oleh langkah kawalan pergerakan rentas sempadan akibat pandemik Covid-19.



"Ini memberi kesan kepada kedua-dua bekalan dan permintaan dadah," ujarnya.



Sepanjang tahun lalu, CNB telah menumpaskan 24 sindiket dadah dan menjalankan lebih 500 operasi di pelbagai pusat pemeriksaan bagi memintas penyeludupan dadah ke negara ini.



"Dadah membawa kesan sangat buruk ke atas penyalahgunanya, keluarga mereka dan masyarakat secara keseluruhan jika ia tidak disekat," kata anggota parlimen GRC Nee Soon itu.



Nilai pasaran bagi keseluruhan dadah yang dirampas Biro Narkotik Pusat (CNB) sepanjang tahun lalu ditaksirkan mencapai $11.6 juta, dengan dadah jenis heroin, ganja dan 'Ice' membentuk jumlah dadah terbesar yang dirampas sepanjang 2020.



"Berat rampasan bagi ketiga-tiga dadah ini sahaja mencecah 156kg," dedah



Jumlah rampasan bagi dadah psikoaktif baru atau NPS bagaimanapun merosot tahun lalu.



Sedang kejayaan pihak berkuasa mengesan, merampas dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah dihargai, Dr Muhammad Faishal bagaimanapun menzahirkan keprihatinan terhadap keupayaan sindiket dan pengedar dadah membuat penyesuaian demi mengelak langkah mereka dihidu dan dijejaki pihak berkuasa.



"Beberapa tahun kebelakangan ini, sindiket dan pengedar dadah telah menyesuaikan taktik mereka dengan menjalankan operasi dalam pasaran gelap di laman-laman tertutup (dark web) dan sering merubah kaedah penyembunyian mereka.



"Walaupun sempadan ditutup dan adanya langkah kawalan pergerakan sepanjang pandemik Covid-19 ini, sindiket-sindiket ini terus berupaya mengemukakan kaedah baru untuk menyeludup dan mengedar dadah di Singapura," katanya dan mendedahkan bagaimana sindiket dan pengedar dadah memanfaatkan dron atau buah-buahan untuk membawa masuk dadah ke negara ini.



"Didorong oleh keuntungan, sindiket dan pengedar dadah sering mengambil kesempatan meningkatkan daya ketagihan dan kesengsaraan penyalahguna dadah," tambahnya.



Dalam perbincangan lanjut, Dr Faishal mendedahkan ramai warga muda punya salah tanggapan tentang ganja, bahawa ia sejenis dadah yang 'lembut' dan tidak menyebabkan ketagihan.



Ini menurutnya, "jauh menyimpang daripada keadaan sebenar".



Satu penyelidikan yang dilakukan oleh sepasukan ahli psikiatri dan penyelidik dari Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati ganja atau istilah Inggerisnya 'cannabis' adalah sesuatu yang menyebabkan ketagihan.



"Satu daripada setiap 10 penyalahguna ganja akan mengalami ketagihan, dan jumlah ini meningkat kepada seorang daripada setiap dua orang bagi mereka yang menyalahguna ganja setiap hari.



"Penyalahgunaan dadah menyebabkan perubahan kepada otak dan badan, dan lama kelamaan, akan memusnahkan keupayaan seseorang penyalahguna untuk mengawal diri dan keupayaan untuk menolak penggunaan dadah," katanya memberi amaran.



Satu kajian yang dibuat oleh Pasukan Bertindak Ke Atas Belia dan Dadah pada 2015 mendapat, golongan muda yang menghisap ganja didapati datang daripada isi rumah berpendapatan pertengahan atau status sosioekonomi yang tinggi, dengan ramai menyatakan mereka punya sokongan keluarga yang lebih baik semasa dalam usia belasan tahun, dan sebahagian besarnya juga mencatat keputusan akademik yang baik di sekolah.



"Penyalahgunaan dadah boleh menjejas sesiapa saja. Disebabkan itu, kita tidak boleh mudah berpuashati dan perlu terus secara proaktif mendekati remaja kita, memberitahu mereka tentang bahaya dadah, dan mencegah mereka daripada terjerumus ke lembah penyalahgunaan dadah," katanya yang mula menyandang portfolio Kementerian Ehwal Dalam Negeri sejak 27 Julai tahun lalu.



Dalam wawancara itu, Dr Faishal juga mendedahkan jalinan kerjasama serantau yang dilakukan bagi menangani masalah dadah.



"Melihat kepada keadaan serantau yang mencabar dan rampasan besar merentasi negara-negara jiran Asean, Singapura mesti terus berdiri teguh dalam pendekatan tegas ke atas dadah.



"Perdagangan dadah adalah satu ancaman serius ke atas masyarakat kita dan jika dibiarkan, ia akan menimbulkan kesan dahsyat kepada kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan warga kita," ujarnya mengakhiri wawancara.




HARAPAN



"Seperti orang lain, saya juga mengharapkan pandemik berakhir pada tahun ini tetapi buat masa ini, saya harap kita sebagai sebuah masyarakat, dan sebagai satu negara, akan terus menjaga satu sama lain dan beri perhatian kepada mereka di sekeliling kita, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik."



KEPRIHATINAN



"Kita mesti terus mendekati golongan belia kita dan memberi amaran tentang bahaya bergantung kepada dadah dan kesannya ke atas mereka dan orang-orang yang mereka sayangi."



KEBIMBANGAN



"Dadah membawa kesan sangat buruk ke atas penyalahgunanya, keluarga mereka dan masyarakat secara keseluruhan jika ia tidak disekat."



- Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >