Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

FOKUS BERITA: PROGRAM SIJIL POSSISWAZAH ISLAM DALAM MASYARAKAT KONTEMPORARI (PCICS)

Kian yakin dengan kerelevanan pengajian

Feb 03, 2022 | 05:30 AM



Seramai 56 asatizah dari kohort pertama dan kedua program Sijil Possiswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) telah menamatkan pengajian mereka baru-baru ini. Program setahun itu bertujuan memberi konteks pengamalan Islam di Singapura dan menambah keupayaan asatizah dalam bidang di luar sektor agama. BERITA HARIAN meninjau pengalaman pelajar valediktorian dua kohort tersebut serta cabaran mereka sebagai kohort awal program itu.



BELIAU akui merupakan salah seorang individu yang awalya meragui langkah memperkenalkan program Sijil Possiswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dan mempersoalkan kerelevenannya bagi asatizah semasa ia diperkenalkan sekitar dua tahun lalu.



Tambahan lagi, pelajar di bawah program tersebut bukan sahaja perlu mengimbangi tanggungjawab bekerja, keluarga dan juga belajar, tetapi sebagai kohort pertama, mereka juga merupakan 'subjek' yang perlu menjalani program baru tanpa sebarang rujukan.



Namun, setelah menamatkan pengajiannya di PCICS, Ustaz Muhammed Faheem Abdul Khalil, 30 tahun, akui beliau bukan sahaja meraih manfaat daripada program tersebut, malah kini mahu menggesa asatizah lain agar turut serta.



Tambahan pula, Ustaz Muhammad Faheem terpilih sebagai valediktorian kohort pertama PCICS dan telah menerima sijilnya dalam majlis tamat pengajian PCICS yang diadakan di Muzium Tamadun Asia pada Ahad lalu.



Menurutnya, yang kini bertugas sebagai ketua Darul Tafsir di Masjid Al-Khair, program tersebut membantu membentuk daya pemikiran kritikal dan kreatif, terutama sekali dengan keperluan terhadap huraian-huraian baru bagi isu-isu baru.



"Antara cabaran paling sukar yang dihadapi asatizah muda kini adalah untuk memastikan kandungan sesuai bagi konteks hari ini serta untuk terus berasa yakin dalam mencari huraian baru bagi isu-isu mendatang dalam abad ke-21.



"(Melalui program ini), kami dapat menajamkan pengamatan kami serta membentuk daya pemikiran kritikal dan kreatif dalam menghadapi isu moden. Kami pelajari cara untuk berfikir," kata lulusan Universiti Islam Madinah itu.



Sebagai kohort pertama program itu juga, pelbagai maklum balas telah diberikan semasa beberapa bulan pertama program itu untuk memperbaiki dan menyelaraskannya bagi kohort seterusnya.



Ustaz Muhammad Faheem berkata program tersebut menghimpunkan pelajar yang telah menuntut di universiti berbeza di luar negara untuk membincangkan konteks negara dan meneroka cara terbaik bagi mempertimbang isu-isu agama.



Menyentuh tentang usaha mengimbangi tanggungjawabnya, bapa dua anak kecil berusia tiga dan enam tahun itu berkata beliau akan mengikuti kelasnya pada waktu malam selepas waktu bekerja.



Tempoh lewat malam juga merupakan masa beliau berusaha menyelesaikan tugasan dan esei yang diberikan di bawah kursus itu.



Pada masa yang sama, beliau juga perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua Darul Tafsir dan telah menghasilkan syarahan dalam talian serta membantu dalam penghasilan dua buku agama selain menulis sebuah buku berjudul 'From God to Us: The Kingdom' yang membincangkan tafsir surah Al-Mulk.



Tempoh akhir pengajiannya juga lebih mencabar setelah beliau dijangkiti demam denggi dan terpaksa tidak hadir beberapa kelas yang diadakan.



Menurut Ustaz Muhammad Faheem, sokongan majikan, rakan pelajar dan juga keluarga membantu beliau mengharungi tempoh mencabar tersebut.



Program tersebut juga mendorongya untuk terus mempertingkat diri dan kini baru menamatkan tahun pertama pengajian Sarjana Tafsir dan Ulum Quran di Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU).



Beliau berkata: "Saya ingin sampaikan kepada semua asatizah generasi baru abad ke-21, bahawa pembelajaran merupakan proses sepanjang hayat. Tiada asatizah muda yang seharusnya merasakan pengetahuannya sudah cukup.



"Kita perlu terus menuntut untuk meraih apa yang diperlukan untuk kita menjalankan tugas kita dengan lebih baik."



Program PCICS bertujuan melengkapi dan mempersiap asatizah dengan kemahiran masa depan dan merupakan satu keperluan bagi lulusan institusi pengajian tinggi Islam luar negara yang memohon bagi Peringkat 1 Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bekerjasama dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) serta rakan luar negara seperti Universiti Al-Azhar dan Universiti Jordan untuk mengatur dan menyampaikan modul program tersebut.




"Antara cabaran paling sukar yang dihadapi asatizah muda kini adalah untuk memastikan kandungan sesuai bagi konteks hari ini serta untuk terus berasa yakin dalam mencari huraian baru bagi isu-isu mendatang dalam abad ke-21.



(Melalui program ini), kami dapat menajamkan pengamatan kami serta membentuk daya pemikiran kritikal dan kreatif dalam menghadapi isu moden. Kami pelajari cara untuk berfikir."
- Ustaz Muhammed Faheem Abdul Khalil, valediktorian kohort pertama PCICS, yang telah menerima sijilnya dalam majlis tamat pengajian PCICS di Muzium Tamadun Asia pada Ahad lalu.



"Kepakaran dan peranan asatizah semakin diakui dan diperlukan dalam pelbagai sektor.



Ilmu, kemahiran dan perspektif mereka semakin mendapat perhatian bukan sahaja daripada majikan di sektor keagamaan, tetapi juga sektor-sektor lain seperti kaunseling, kerja-kerja kemasyarakatan dan bidang akademia.



Berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam kehidupan kontemporari, kepimpinan agama yang progresif dan konfiden dalam memberi bimbingan agama dan penyelesaian kreatif amat diperlukan."
- Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam ucapannya semasa majlis tamat pengajian PCICS.



"Para graduan kini telah dapat mendalami pemahaman mereka mengenai konteks masyarakat Singapura bagi mengaplikasikan pengajaran dan nilai-nilai agama kepada konteks semasa.



Pada masa yang sama, melalui program PCICS, mereka telah dapat menggilap lagi kemahiran-kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran digital, komunikasi dan pemikiran kritikal serta mengaplikasikannya dalam latihan amali di tempat kerja sama ada di sektor keagamaan mahupun di sektor-sektor lain."
- Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga pengerusi Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) dalam ucapannya semasa majlis tamat pengajian PCICS.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >