Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:30
Maghrib
7:15
Isyak
8:26

GSA jangka Saudi buka pintu bagi jemaah antarabangsa

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

HAJI SINGAPURA 2022

GSA jangka Saudi buka pintu bagi jemaah antarabangsa

Akur jumlah jemaah terlalu ramai ada risiko Covid-19
Feb 08, 2022 | 05:30 AM

SYARIKAT pengurusan ibadah haji (GSA) Singapura sedang menanti penuh debaran keputusan Arab Saudi apakah ia akan membenarkan jemaah antarabangsa melaksana ibadah haji tahun ini, setelah larangan dikuat kuasa selama dua tahun berturut-turut sejak 2020.

Pemeriksaan akhbar ini mendapati rata-rata GSA di sini menjangka kerajaan Arab Saudi akan membenarkan jemaah asing melaksana rukun Islam kelima itu, namun persoalannya ialah berapa ramai orang akan dibenarkan.

Ini bersandarkan kebenaran yang diberi Arab Saudi bagi jemaah asing, termasuk dari Singapura, melakukan ibadah umrah dengan syarat mereka mematuhi keperluan jaminan kesihatan demi membendung penularan Covid-19.

Semasa dihubungi Berita Harian baru-baru ini, pemilik TM Fouzy Travel & Tours Pte Ltd, Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahit Jumat, berkata perkara mengenai haji selalunya dimaklumkan kerajaan Arab Saudi pada Rejab atau Syaaban.

Tarikh 1 Rejab bersamaan 3 Februari sementara 1 Syaaban jatuh pada 4 Mac.

“Mereka juga boleh umumkan semasa Ramadan atau Syawal,” katanya.

Namun, GSA menyatakan bagi pengurusan dan pelepasan jemaah haji “agak lewat” jika pengumuman mengenai keputusan itu dibuat pada Ramadan dan “lewat” jika ia dibuat pada Syawal.

Ini kerana tempoh pendek – sekitar dua dan satu bulan sahaja – dari Ramadan dan Syawal ke musim haji, iaitu Zulhijah.

Pandemik Covid-19 menyaksikan sekitar 2,000 jemaah haji Singapura menundakan pemergian mereka sejak dua tahun lalu.

Malah, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen, mendedahkan kepada Berita Harian sekitar 38,000 orang telah mendaftar sejauh ini untuk menunaikan haji.

Pendekatan Muis, katanya, ialah mendahulukan mereka yang telah mendaftar untuk ke Tanah Suci.

Selain soal kebenaran dan jumlah jemaah, debaran GSA juga terarah pada gelombang penularan varian Omicron Covid-19 yang tinggi beberapa minggu lalu tetapi kes jangkitan mulai menunjukkan penurunan di Arab Saudi.

Perangkaan di laman angkujuk Covid-19 sedunia kelolaan agensi berita Reuters pada 27 Januari lalu menunjukkan Arab Saudi menghadapi purata 4,789 jangkitan baru setiap hari sepanjang tujuh hari sebelumnya tetapi semalam, ia mencatatkan purata 3,750 kes jangkitan baharu setiap hari atau 76 jangkitan bagi setiap 100,000 orang sejak tujuh hari lalu – mencatat kadar 67 peratus sahaja berbanding kadar tertinggi pada 20 Januari lalu.

Varian Omicron sangat mudah berjangkit dan ada jemaah di negara lain positif Covid-19 sekembali mereka daripada melakukan umrah.

Terdapat 705,637 kes jangkitan dan 8,953 kematian Covid-19 di Arab Saudi sejak pandemik itu bermula pada lewat 2019.

Atas alasan ini, GSA Singapura tidak menolak kemungkinan program haji tahun ini memakan masa antara 18 hingga 21 hari, tidak termasuk tujuh hari kuarantin, jika perlu.

Jumlah hari ini dianggap sebagai terbaik, sedang tempoh lebih pendek dikhuatiri akan mengakibatkan jemaah terburu-buru dalam pergerakan mereka menunaikan ibadah itu.

Maklum balas daripada GSA juga menunjukkan harga pakej haji tahun ini, jika ia dibenarkan, boleh mencapai 20 peratus lebih tinggi daripada yang ditawarkan tahun lalu.

Pengurus Besar Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid, tidak menafikan harga pakej haji bagi jemaah Singapura mungkin meningkat.

“Kami harap kenaikan harga pakej haji rendah, tetapi dengan adanya keperluan ujian PCR dan sebagainya, tidak mungkin kos akan serupa harga pakej 2020,” ujarnya.

Pada 2020, harga pakej haji terendah ialah $7,395 seorang (bagi empat orang sebilik), tetapi pakej paling popular masa itu ialah bagi dua orang sebilik, yang berharga $11,990 seorang.

Apa pun, keutamaan GSA sekarang ialah mengetahui secepat mungkin apakah ibadah haji dibenarkan tahun ini dan jumlah jemaah yang diizinkan.

“Mengetahui jumlah jemaah lebih awal adalah penting bagi membolehkan kami membuat persiapan sebaik-baiknya... tetapi kalau jumlah jemaah terlalu ramai, apalagi pada saat akhir, pun ada risikonya,” kata Encik Haffidz.


Mengetahui jumlah jemaah lebih awal adalah penting bagi membolehkan kami membuat persiapan sebaik-baiknya... tetapi kalau jumlah jemaah terlalu ramai, apalagi pada saat akhir, pun ada risikonya.
- Encik Haffidz Abdul Hamid, Pengurus Besar Halijah Travels Pte Ltd.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3