PELBAGAI persembahan kesenian termasuk tarian, dikir barat, pencak silat dan nyanyian mengisi Pesta Budaya Melayu 2022 yang dianjurkan oleh Jamiyah Singapura baru-baru ini.
Acara yang berlangsung di The Town Square, Our Tampines Hub itu bertujuan melestarikan dan menghargai seni budaya dan persembahan Melayu tempatan, selain sebagai meraikan ulang tahun Jamiyah Singapura yang ke-90.
Lebih lebih 3,000 penonton hadir di acara pada Sabtu lalu.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, melancarkan pesta itu dengan memukul gendang tradisional. Pukulan gendang itu disambut dengan paluan oleh kumpulan genderang tempatan, Nadi Singapura.
Dr Maliki berkata kebudayaan dan kesenian Melayu memainkan peranan penting dalam menggalak dan memelihara nilai-nilai positif serta memberi keyakinan kepada masyarakat Singapura.
Dalam dunia yang berubah dengan pantas dan saling berhubung kait ini, budaya dan seni dapat membantu menyatupadukan masyarakat dan memperkukuh perpaduan sosial.
"Ekoran pengaruh media sosial, kuasa pemasaran dan gelombang peminat global yang kuat, ramai khususya golongan muda kita lebih tertarik dengan hiburan daripada negara-negara Barat dan negara-negara Asia seperti Korea Selatan," kata Dr Maliki.
Kini, semakin hari, budaya dan seni Melayu, sebagaimana budaya dan seni bangsa Cina dan India, terus menghadapi persaingan hebat untuk mendapat perhatian generasi muda kerana dianggapnya tidak relevan dan ketinggalan zaman, tambah beliau.
Pesta itu turut dimeriahkan dengan acara laga kesenian tarian oleh Azpirasi dan Era Dance Theatre, pesilat dari Persisi dan kumpulan dikir bakat Andika & Qitabi.
Menerusi acara ini mereka berlaga dan mencabar satu sama lain dalam semangat dan sikap mesra sambil menyemarakkan kekayaan dan kreativiti.
"Seni tarian, silat, dikir barat yang akan dipersembah malam ini hanya sebahagian daripada budaya dan seni Melayu kita. Saya harap generasi muda akan dapat melihat
"Keindahannya, nilai dan unsur estetika, sosial serta ekonominya, lalu jatuh cinta dengan budaya dan kesenian Melayu dan terus menyemarakkannya," ujar Dr Maliki.
Penyanyi popular Malaysia, Siti Nordiana, juga menambah kemeriahan persembahan dengan menyanyikan dua lagu popularnya dan diiringi oleh penari Sri Warisan. Salah seorang ikon hiburan Singapura, Sanisah Huri, turut menyanyikan dua lagu Melayu tradisional sesuai dengan tema pesta itu.
Selain itu, kumpulan nasyid veteran, Al Jawaher menyanyikan lagu Sejadah dan lagu Inggeris Bring Me Close to You digubah dan lirik oleh komposer tempatan, Encik Yazri Malik.
Pesta itu diacarakan oleh selebriti popular Suhaimi Yusof, Fiza O dan Khairudin Samsudin dan disokong oleh pelawak terkenal, Husin Saaban, BJ Kadir, dan Saifudin Mahfuz Geng Pecah Perut.
Di acara itu juga, Jamiyah telah menyampaikan dua Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA) kepada dua benefisiari.
"Ekoran pengaruh media sosial, kuasa pemasaran dan gelombang peminat global yang kuat, ramai khususya golongan muda kita lebih tertarik dengan hiburan daripada negara-negara Barat dan negara-negara Asia seperti Korea Selatan."
- Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.