Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

SETULUS KATA

Kalendar sihat

Jan 14, 2014 | 04:08 PM



SEWAKTU seorang teman kerja lama hendak bersara beberapa tahun lalu, teringin di hati ini menempah sebuah kalendar khas yang memaparkan beberapa gambar kami dan rakan-rakan lain bersama - satu gambar untuk satu bulan, sebagai kenangan mengusik jiwa.


Tetapi, dek kerana tempat itu jauh - di seberang Tambak - walaupun kedai bagi menempah kalendar istimewa seperti itu ada di sini ada, cuma saya tidak periksa pula di mana, hasrat itu tinggal hasrat.


Begitulah, kecanggihan telah mengupayakan kita menghasilkan pelbagai bentuk kalendar. Teringat ketika setiap hujung tahun suatu masa dulu keluarga saya selalu menerima kalendar yang ada tarikh-tarikh tertentu untuk perlumbaan kuda daripada kedai pembekal gas tong yang kami langgani.


Kini, alhamdulillah, sudah banyak kalendar serupa itu, tetapi yang mengandungi peringatan tarikh-tarikh istimewa Islam serta kata-kata mutiara dan hadis. Kebetulan saya memang suka gunakan kalendar seperti ini sebab ia besar dan jelas.


Terbaru, ada pula kalendar kesihatan khusus untuk masyarakat Melayu yang dihasilkan oleh Lembaga Penggalak Kesihatan (HBP) yang saya fikir satu idea bernas.


Apabila pertama kali mengetahuinya, saya berkata di dalam hati, "Wah! ini bagus untuk masyarakat kita (Melayu) yang mempunyai banyak masalah kesihatan'.


Tidak perlulah diulang-ulang lagi masalah-masalah itu di sini, sebab dengar khabar ada orang 'bingit' mendengarnya. Apa yang perlu ialah untuk mengambil tindakan.


Dan inilah yang dilakukan oleh HPB, dan di pihak orang Melayu, mereka hendaklah memberi respons kepada usaha itu dengan memerhatikan panduan-panduan yang diberikan dalam kalendar tersebut.


Dinamakan 'Kesihatan Baik, Kehidupan Lebih Sihat' ia padat dengan pelbagai maklumat berkenaan kesihatan seperti tip memilih makanan lebih sihat dan menjimatkan wang, tabiat sihat untuk diamalkan semasa berpuasa dan cara mengurangkan risiko penyakit, selain beberapa resipi hidangan Melayu yang menggunakan ramuan lebih sihat.


Andai diletakkan satu di dapur, satu lagi di ruang makan, ia akan menjadi peringatan berterusan dan lama-kelamaan meresap dan menjadi amalan.


Makan ini, selain ia keperluan, sebenarnya adalah satu tabiat. Kalau hari-hari kita biasakan anak-anak kita memakan ayam goreng, telur goreng, ikan goreng, tempe goreng, pendek kata semua bergoreng, dia akan menjadi seorang yang suka makan makanan bergoreng saja kerana ia sudah menjadi tabiat, sedangka makanan yang direbus, dikukus atau dibakar itu lebih baik dari segi kesihatan berbanding makanan digoreng.


Begitu juga kalau acap kali kita hidangkan lauk lemak untuk keluarga, anak-anak akan melihat lauk lemak sebagai lauk favorit mereka dan kening berkerut kalau ibu masak lauk bening, misalnya.


Satu lagi contoh amalan buruk ialah menyediakan minuman sirap sebagai pengiring makanan, apatah lagi minuman bergas, sedangkan air masak putih jernih itulah yang lebih baik sebagai penghilang dahaga, selain 'pencuci dan pelincir' di usus.


MAKAN NASI KURANG SEGENGGAM


Seorang kawan yang saya temui baru-baru ini memberitahu sudah lama tidak larat lagi makan nasi lebih segenggam pada setiap waktu makan, sebab perutnya sudah 'mengecut'.


Itu memang satu hakikat. Perut kita pun 'makan diajar' juga. Jika setiap hari kita makan sedikit, perut yang bersifat elastik ini akan mengecil, jadi apabila disumbatkan dengan lebih banyak makanan ia akan memberontak dan kita berasa senak perut.


Yang sebaliknya juga boleh berlaku. Jika selama ini kita memang jenis seorang yang tidak cukup makan nasi sepinggan, maka perut kita juga sudah menjadi organ bak ikan jerung yang sentiasa menanti untuk 'ngap' makanan kerana saiznya yang besar masih mempunyai banyak ruang untuk diisi.


Mendengar itu, saya terus telah menanam azam ingin melakukan serupa - makan nasi kurang segenggam - mulai tahun baru ini - dan gantikannya dengan sayur dan buah jika perut masih berkata, "nak makan lagi!"


Namun, amalan hidup sihat melalui pemakanan adalah lebih luas daripada hal-hal yang disebutkan, justeru mendapatkan ilmu lebih menyeluruh mengenai pemakanan sihat wajarlah didapatkan, terutama oleh ibu-ibu yang merupakan 'kapten' penyedia dan pengatur makanan di rumah.


Hidup sihat juga merangkumi aktiviti fizikal yang perlu diperbanyak melalui senaman dan riadah yang mengeluarkan peluh.


Bagi masyarakat Melayu, ia juga melibatkan dua lagi hal penting sebagaimana telah disebut Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Pengangkutan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, selaku pengerusi Pelan Induk Kehidupan Sihat, iaitu merokok yang masih menjadi tabiat bagi majoriti lelaki Melayu, dan pemeriksaan kesihatan yang masih kurang dijalani orang Melayu, misalnya ujian bagi barah payu dara dan pangkal rahim.


Kemudian, usah lupa pula tentang aspek kesihatan mental yang perlu diimbangi dengan kesihatan fizikal melalui aktiviti santai dan tenang, dan masa-masa yang menyenangkan dengan orang-orang yang disayangi.


Pendeknya, apabila bercakap tengan soal kesihatan, banyak perkara yang perlu kita lakukan. Maknanya, kita tidak bolehlah duduk diam di atas sofa empuk, makan sesuka hati dan harap diri sihat.


Kalendar kesihatan yang diterbitkan adalah contoh bagaimana kita boleh atur amalan hidup sihat kita melalui pemakanan. Terlanjur ia diterbitkan untuk tahun baru ini, wajarlah ia dijadikan bahan pegangan sebagai azam tahun baru.


Malah, yang lebih kreatif boleh buat kalendar sendiri dengan tema yang sama sambil menambah amalan-amalan kesihatan baik yang lain. Anak-anak boleh digalakkan melakukannya, sementara masih ada sisa-sisa cuti sekolah sekarang. Apa kata?


 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >