Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Laluan ITE buka jalan merealisasi kerjaya impian

Aug 03, 2021 | 05:30 AM



MELIHATKAN kemampuan ibu menyediakan sajian lauk-pauk serta kek dan manisan lain sejak kecil ternyata mendorong Cik Nur Atikah Nabilah Abdul Halim untuk mengenali dunia kulinari dengan lebih mendalam.



Semangatnya untuk menceburi bidang tersebut diperkukuh selepas menyaksikan abangnya sendiri membawa pulang hasil ciptaan kek yang dibuatnya semasa menuntut dalam bidang Pastri dan Membuat Kek di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat.



Justeru tidak hairanlah Cik Nur Atikah turut sama memilih bidang Pastri dan Membuat Kek di peringkat Nitec selepas tamat Peperiksaan GCE peringkat 'N'.



"Semasa kecil, saya suka sangat bila lihat abang bawa pulang pastri dan kek-kek ciptaannya semasa di ITE.



"Sudah tentu saya sendiri rasa teruja apabila diterima masuk dalam kursus yang menjadi idaman saya sejak sekian lama.



"Syukur kerana apabila saya mula sertai kursus tersebut, abang saya akan berkongsi alat buat kek yang digunakannya sebelum ini dan mendorong saya untuk terus menumpukan perhatian dalam kursus tersebut," jelas gadis berusia 25 tahun itu lagi.



Dua tahun selepas lulus kursus Nitec itu, beliau berpeluang pula melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Teknikal dalam Seni Kulinari dengan Pengurusan Restoran di ITE Kolej Barat.



Bagi Cik Nur Atikah, laluannya di ITE tidak pernah membuatnya berasa jemu.



Ini kerana beliau mendapati kaedah pembelajaran yang diterap di ITE berbeza dengan apa yang dilaluinya di sekolah menengah.



Beliau amat meminati pembelajarannya apatah lagi kerana ia melibatkan aplikasi praktikal.



Ini termasuk peluang belajar sambil kerja di salah sebuah hotel di kawasan Orchard Road selama enam bulan selain menyertai sesi pertukaran pelajar di Lyon, Perancis pada 2016.



"Meskipun tempoh yang dihabiskan di Lyon hanya dua minggu, namun banyak pengalaman dan pengetahuan yang saya timba.



"Saya lihat bahawa ketekunan dan disiplin diri merupakan faktor yang amat ditekankan di sana. Itulah antara yang saya timba semasa di sana dan saya terapkan di sini," kata anak kedua empat beradik itu lagi.



Selepas tamat pengajiannya Cik Nur Atikah bekerja di salah sebuah restoran sajian Perancis di sini sebelum berkhidmat di sebuah lagi restoran sajian barat halal di Jewel pada 2019.



Ditanya tentang perasaannya memilih laluan pendidikan di ITE, Cik Nur Atikah berkata:



"Semasa di sekolah menengah saya tidak meraih keputusan akademik yang memuaskan sehingga saya dialihkan daripada peringkat normal akademik ke normal teknikal. Sedih juga ketika itu kerana tidak dapat melanjutkan ke peringkat 'O' atau ke politeknik.



"Tapi alhamdullilah, saya rasa saya telah membuat pilihan tepat untuk ke ITE dan saya juga mendapat sokongan ibu bapa dan seluruh keluarga. Itu yang penting."



Ibunya, Cik Rohayati Sulaiman, 48 tahun, berkata ITE telah memberi banyak peluang kepada anak-anaknya sepanjang mereka belajar di sana.



"Dalam apa jua cara, saya lihat ITE berusaha memperbaiki pendekatan dan piawai pembelajaran mereka.



"Atikah menyertai ITE dengan sedikit pengetahuan mengenai memasak dan kini mampu hasilkan sajiannya tanpa bimbingan saya.



"Saya lihat beliau kini membesar menjadi seorang yang matang, mampu tangani pelbagai situasi yang berbeza dan mampu pamerkan kemahiran kepimpinan apabila berinteraksi dengan adik-adiknya.



"Bagi saya, keputusan menyokong anak-anak saya sertai ITE merupakan keputusan terbaik buat saya dan mereka juga," katanya yang mempunyai seorang lagi anak bongsu yang menuntut dalam Seni Kulinari Asia di peringkat Nitec di ITE.



Bagi seorang lagi bekas pelajar ITE, Cik Nuraini Ismail, 23 tahun, pendedahan yang diberi kepadanya terbukti menjadikannya lebih berdikari dan matang.



Beliau kini berkhidmat sebagai penganalisis keselamatan siber di syarikat NEC Asia Pacific selepas selesai pengajian Diploma Kerja Belajar (WSDip) dalam Kejuruteraan Sistem Keselamatan di ITE Kolej Barat.



Sebelum itu beliau turut mengikuti kursus Nitec dalam Teknologi Maklumat disusuli dengan Nitec Lanjutan dalam Siber dan Keselamatan Rangkaian.



"Saya bercadang memilih laluan ITE antara lain kerana… WSDip memberi saya peluang untuk meraih pendapatan sambil belajar selain saya berpeluang mempunyai pekerjaan selepas tamat pengajian," kata anak sulung dua beradik itu lagi.



Semasa mengikuti WSDip selama dua tahun setengah, beliau perlu selesaikan empat modul dalam setiap lapan minggu. Secara keseluruhannya beliau perlu selesaikan sebanyak 16 modul dalam tempoh dua tahun setengah.



Ia bukan sesuatu yang mudah namun, atas usaha dan perancangan yang baik, Cik Nuraini mampu selesaikan pengajiannya dalam tempoh tersebut.



"Apa yang penting ialah menerapkan cara pembelajaran yang betul seperti menggunakan kaedah carta laluan atau peta minda untuk permudahkan pembelajaran.



"Pada masa yang sama, saya juga dapat bimbingan dan panduan daripada penyelia semasa mengikuti kursus itu. Semua itu menjadikan kursus saya lebih lancar," tambahnya.



  • Rencana ini dibawakan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >