Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:30
Maghrib
7:15
Isyak
8:26

Majlis kahwin lebih meriah selepas sekatan dilonggar

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Majlis kahwin lebih meriah selepas sekatan dilonggar

Sektor khidmat perkahwinan sambut baik respons positif walau keadaan belum kembali ke tahap sebelum pandemik
Jun 27, 2022 | 05:30 AM

KIRA-KIRA dua bulan selepas Singapura melonggarkan pelbagai sekatan Covid-19 di sini, perusahaan Melayu/Islam dalam sektor khidmat perkahwinan setempat menyambut baik respons positif yang mereka terima daripada pelanggan.

Malah menurut mereka, majlis perkahwinan yang diadakan kini juga lebih meriah berbanding majlis lebih sederhana disebabkan pelbagai langkah ketat untuk membendung penularan Covid-19 sepanjang dua tahun lalu.

Namun, keadaan belum kembali ke tahap sebelum pandemik dan lebih banyak masa diperlukan sebelum pemulihan dapat dirasakan sepenuhnya, menurut beberapa syarikat khidmat perkahwinan Melayu/Islam di sini.

Pengerusi kelompok makanan dan minuman (F&B) Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Ali Abbas, berkata sementara lebih ramai orang berasa lebih yakin untuk membuat tempahan majlis perkahwinan, mereka membuat tempahan bagi jumlah hadirin yang lebih kecil berbanding sebelum Covid-19 apabila orang ramai biasanya membuat tempahan bagi lebih 1,000 orang.

"Kami mendapat maklum balas daripada kelompok perkahwinan DPPMS bahawa lebih banyak masa diperlukan untuk pulih daripada kerugian yang dialami.

"Mereka mendapat lebih banyak pertanyaan berhubung tempahan majlis perkahwinan tetapi pelanggan lebih memilih pakej dengan jumlah tetamu yang lebih kecil... berbanding pakej lebih besar," ujarnya sambil menambah, pemulihan bagi industri khidmat perkahwinan kini masih berada di tahap awal.

Beberapa syarikat khidmat perkahwinan di sini berkata jumlah pertanyaan yang mereka terima daripada klien mereka meningkat hingga 20 peratus kini berbanding sebelum pemerintah mengambil langkah ketara bergerak ke arah menjalani kehidupan dengan Covid-19 sekitar dua bulan lalu.

Pengurus penjualan Amani Wedding, Cik Nuradila Sain, berkata peningkatannya bagaimanapun adalah perlahan.

"Klien kami sudah bertanya tentang majlis bagi lebih 200 tetamu. Kami juga ada klien yang ingin kembali mengadakan majlis di kolong blok, dewan serbaguna dan kelab masyarakat," ujarnya.

Kalau bakal klien Tiara Waterfront biasanya bertanya tentang pakej bagi 200 hingga 250 tetamu sebelum ini, pengarah penjualannya, Cik Noor Jannah Aboo Baker, berkata bakal pengantin dan keluarga mereka, sejak beberapa bulan lalu, mula mempertimbang untuk mengadakan majlis bagi 300 hingga 500 tetamu pula.

Malah tambahnya, ada juga segelintir daripada mereka yang bertanyakan tentang kemungkinan mengadakan majlis bagi 1,000 tetamu.

"Jumlah pertanyaan yang kami terima 20 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.

"Ini belum mencapai tahap sebelum pandemik mungkin kerana bakal pengantin ini dan keluarga mereka masih berjaga-jaga dengan peraturan sedia ada.

"Pengumuman pemerintah tentang gelombang baru Covid-19 yang boleh melanda Singapura lagi baru-baru ini juga antara sebab mereka lebih berjaga-jaga," ujar beliau.

Meskipun sesetengah syarikat prihatin kemungkinan sekatan Covid-19 dilaksana semula sekiranya jumlah kes melonjak lagi, Encik Ali menarik perhatian bahawa mereka lebih bersedia sekarang.

Dengan tempahan lebih banyak, Encik Ali yang juga pengarah lembaga DPPMS berkata syarikat khidmat perkahwinan juga menghadapi isu tenaga pekerja, antara lain dengan pekerja asing yang terhad dek sesetengah negara yang masih melaksanakan sekatan sempadan.

"Mereka terhad kepada pekerja asing dari negara seperti Malaysia.

"Namun, ada syarikat yang berpendapat bahawa pekerja ini meminta gaji yang tinggi, lebih daripada apa yang mereka bersedia untuk bayar," ujarnya.

Menurut Cik Nuradila, syarikatnya terpaksa mengurangkan jumlah pekerja ekoran terjejas teruk semasa pandemik sebelum ini.

Dengan bertambahnya jumlah majlis lebih besar yang ditempah pasangan pengantin kini, ini bermakna syarikat itu perlu melatih semula tenaga pekerja mereka atau menyumber luar sesetengah operasi.

"Ini bermakna kos yang lebih tinggi buat kami selain perlu menghadapi kos bahan mentah yang meningkat," ujarnya.

 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3