Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SOROTAN ISU - TREND MENINGKAT ANCAMAN JENAYAH SIBER DI SINGAPURA

Muka cantik, mesej manis niat busuk

Penipu dalam talian guna pelbagai cara, termasuk tawaran pulangkan wang dan jalin persahabatan, untuk perdaya mangsa
Mar 01, 2022 | 05:30 AM



TREND penipuan pancingan data (phishing scam) di Singapura terus membara dengan sindiket penipuan cuba mencangkuk hati dan perasaan pengguna digital di sini.



Dalam masa sebulan ini, penulis berdepan tidak kurang 10 percubaan menipu - daripada melalui tawaran pinjaman wang dengan kadar bunga rendah kepada perkenalan di laman media sosial dan permintaan bantuan segera - oleh individu tidak dikenali, selain tunggakan pengembalian wang oleh syarikat asing.



Mabuk dibuatnya...



Antara yang makin lazim sekarang ialah kaedah penipuan secara 'Network Refunds', di mana sesebuah syarikat kononnya bermurah hati mengembalikan wang pengguna walhal sebaliknya.



Satu lagi ialah kaedah bersahabat di mana penipu, atau scammer, cuba menjalin persahabatan di saluran media sosial dan setelah berasa pengguna telah terpancing, si penipu akan meminta pertolongan agar mangsa klik, atau menekan, pautan yang membawa mangsa ke laman web palsu yang meminta nombor laluan sekali guna (OTP).



Jika mangsa terpedaya, wang mereka hangus.



Mangsa di Singapura hilang lebih $633.3 juta kepada pelbagai jenis penipuan tahun lalu - 2.5 kali lebih banyak daripada $268.4 juta yang disonglap penipu pada 2020.



"Penipuan yang sering dilakukan termasuk penipuan pekerjaan, penipuan pancingan data tidak berkaitan perbankan, penipuan e-dagang, penipuan pelaburan, penipuan pinjaman dan penipuan pancingan data berkaitan perbankan, yang membentuk 80.4 peratus daripada 10 jenis penipuan tertinggi," kata polis dalam satu kenyataannya pada 16 Februari.



Polis mendedahkan pihaknya menerima 23,931 laporan penipuan sepanjang 2021 dan $504 juta dikaut penipu daripada 10 jenis penipuan yang kerap berlaku di sini.



"Sebanyak 90 peratus penipuan di Singapura bermula dari luar negara," kata polis.



Dalam sidang parlimen pada 15 Februari, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Desmond Tan, berkata 5,020 daripada penipuan yang dilaporkan itu pancingan data, iaitu seperlima atau 21 peratus.



Akhbar ini mendapati sindiket penipuan bijak menggunakan 'anak buah' warga tempatan sebagai strategi mengurangkan rasa syak mangsa.



Penulis sendiri pernah dihubungi seorang individu yang disyaki adalah seorang penipu, yang menamakan dirinya 'Karen Lin' dan mengaku berasal dari Singapura, di Instagram awal bulan lalu.



'Karen' meminta bantuan kerana "keseorangan" dan "tiada sesiapa dapat membantu".



Dia malah berani membuat panggilan video, dengan alasan ingin berbual secara semuka, namun panggilan videonya tidak diendahkan.



Kerana tidak tahan penulis terus melayannya tanpa memenuhi kehendaknya agar dibantu, 'Karen', yang kedengaran ramah, terus berhenti berhubungan.



Apa yang diinginkannya?



Dia mahu penulis menerima satu link, atau pautan, dan mengirimkannya semula kepadanya.



Permintaannya mudah dipenuhi, tetapi apabila pautan itu ditekan atau diklik, segala maklumat peribadi penulis akan diterimanya - bukan sekadar senarai kontak, nombor kad kredit dan kata kunci, malah pelbagai maklumat lagi.



Lebih buruk lagi, telefon penulis akan terdedah kepada perisian tebusan (ransomware) atau perisian hasad (malware) serta pelbagai virus lain.



Menyentuh hal ini, Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa, atau Interpol, dalam laporan Penilaian Ancaman Siber Asean 2021 menyatakan penjenayah siber mengeksploit "penggunaan komunikasi global" bagi "menipu mangsa tidak menjangka ditipu".



Pakar keselamatan siber meramalkan kos bersih jenayah siber sedunia dijangka meningkat 15 peratus setahun sepanjang lima tahun hingga 2025, mencapai AS$10.5 trilion ($14.14 trilion) setahun menjelang 2025, meningkat daripada AS$3 trilion pada 2015.



"Penjenayah siber memanfaatkan rasa bimbang yang ada dalam diri seseorang dan kemelesetan ekonomi akibat pandemik.



"Dengan bertambahnya transaksi dalam talian dan semakin ramai orang bekerja dari rumah, penjenayah siber telah mempertingkat daya penipuan dalam talian dan skim pancingan data dengan pancingan e-mel...," kata Interpol lagi.



Encik Tan mengakui bukan mudah menangani kes penipuan dalam talian.



Mengongsi pandangannya di Facebook, beliau berkata: "Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Kita akan mempertingkat pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran ramai tentang penipuan.



"Kami akan terus bekerja rapat dengan pihak berkepentingan daripada sektor swasta, seperti Persatuan Bank Singapura, bagi menyelaras usaha memerangi kesemua jenis penipuan.



"Memerangani penipuan memerlukan usaha masyarakat yang menyeluruh," ujar beliau.




"Penipuan yang sering dilakukan termasuk penipuan pekerjaan, penipuan pancingan data tidak berkaitan perbankan, penipuan e-dagang, penipuan pelaburan, penipuan pinjaman dan penipuan pancingan data berkaitan perbankan, yang membentuk 80.4 peratus daripada 10 jenis penipuan tertinggi."
- Polis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >