Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CABARAN, HARAPAN MENJAGA ‘ANAK ISTIMEWA’

'Okey' bagi penjaga golongan istimewa dapatkan sokongan

Feb 07, 2022 | 05:30 AM



Isu dan cabaran yang dihadapi oleh para penjaga golongan berkeperluan khas menjadi tumpuan baru-baru ini ekoran penangkapan seorang bapa kepada kembar yang berkeperluan khas atas tuduhan membunuh mereka. BERITA HARIAN menemui beberapa penjaga sedemikian untuk mengetahui lebih mendalam mengenai cabaran yang mereka hadapi, selain mendapatkan pandangan pakar dan pihak-pihak berkepentingan mengenai bantuan dan sokongan yang disediakan serta apa yang perlu dilakukan pihak masyarakat untuk membantu ringankan beban penjaga.




BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.



Cabaran menjaga anggota keluarga berkeperluan khas sememangnya berat, namun pihak-pihak berkepentingan dan mereka yang terlibat dalam sektor keperluan khas di sini memberitahu Berita Harian (BH) bahawa jumlah penjaga, termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, yang keluar mendapatkan sokongan masih rendah.



Memberikan pandangannya, pengasas Hab pendidikan khas My Inspiring Journey (MIJ), dan juga sukarelawan CareChampion bersama Caring.sg, Cik Faraliza Zainal, berkata daripada interaksi beliau, ramai ibu bapa dan penjaga anggota keluarga berkeperluan khas kurang terbuka mendapatkan bantuan, mungkin mereka berasa malu, atau yakin bahawa apa yang mereka lalui adalah ujian yang perlu diharungi sendiri.



Kurang kesedaran mengenai bantuan yang tersedia juga merupakan satu isu yang menjadi hambatan mereka yang memerlukan untuk mendapatkan sokongan.



Keadaan ini membimbangkan, menurut pegawai kesihatan kanan, Program Rangkaian Penjaga Club Heal (CREST-CG), Encik Zainal Abidin Lee.



Beliau menegaskan, golongan penjaga sedemikian perlu pertama sekali menjaga kesihatan mental, kebajikan dan kesejahteraan diri mereka untuk memberikan penjagaan yang berkesan kepada golongan berkeperluan khas di bawah jagaan mereka.



Cabaran yang dilalui kumpulan pengasuh atau penjaga golongan berkeperluan khas mendapat tumpuan sekali lagi baru-baru ini ekoran kejadian yang mengejutkan setelah seorang bapa ditangkap atas tuduhan membunuh anak kembarnyanya, yang keduduanya berkeperluan khas.



Xavier Yap Joon Houn, 48 tahun, diberkas dan kini ditahan reman untuk pemerhatian psikiatri setelah mayat anak kembarnya dijumpai di taman permainan Greenwich Crescent, di Upper Bukit Timah.



Encik Zainal menerangkan: "Meskipun pihak kami memberi tumpuan kepada penjaga mereka yang menghidapi masalah kesihatan mental dan pesakit demensia, kami tidak menolak mereka yang tampil meminta sokongan bagi keadaan berkaitan tekanan dan penjagaan.



"Apa yang dialami anak autisme boleh dikategorikan dalam penjagaan kesihatan mental juga, jadi kami akan hulurkan bantuan sebaik mungkin," ujar beliau, sambil menambah lebih 80 peratus penjaga yang disokong CREST-CG terdiri daripada kaum wanita.



Dalam pada itu, Cik Faraliza berkata MIJ, yang merupakan sebuah perusahaan sosial, cuba menyediakan wadah sokongan tersebut dengan sering menganjurkan bengkel untuk para penjaga.



Dengan pandemik Covid-19 ini, bengkel-bengkel sedemikian masih terus diadakan, namun secara dalam talian.



Antara topik yang dibincangkan dan strategi yang dikongsi ialah cara menangani "meltdown", atau tingkah-laku yang seakan mengamuk termasuk menangis, menghantuk kepala, menghempaskan badan ke lantai, menggigit dan sebagainya.



Perkara ini terjadi apabila anak ini tidak dapat menyuarakan perasaannya atau keliru dengan perubahan di sekelilingnya, disebabkan kecelaruan neurologi yang mengganggu fungsi otak.



"Bila mereka mengalami 'meltdown', penjaga itu sendiri harus bersikap tenang, sebelum menenangkan anak itu. Pastikan tempat itu selamat dan tidak ada benda yang boleh melukakan sesiapa. Ini antara strategi-strategi asas yang kami kongsi," terang Cik Faraliza.



"Mereka (anak-anak autisme) berfikiran logikal dan ada cara untuk menenangkan mereka mengikut teori ABC, iaitu Antecedent (Punca), Behaviour (Tingkah laku) dan Consequences (Akibat). Kalau kita dapat tahu punca yang menyebabkan tingkah laku itu, kita dapat mengelakkan akibatnya (meltdown) di masa akan datang," tambahnya.



Salah seorang penjaga anak berkeperluan khas yang telah mendapat manfaat dari Club Heal ialah Cik Zaiton Karim, 61 tahun.



Ibu tunggal kepada penjaga anak lelaki autisme yang kini berusia 32 tahun itu mengajak ibu bapa dan para penjaga seperti beliau untuk tidak teragak-agak mendapatkan sokongan.



"Kita perlu buka minda dan pemikiran kita...kalau kurang tahu, bertanyalah kepada mereka yang bertauliah, supaya mendapat nasihat yang bernas dan bukan setakat pandangan orang yang mungkin tidak memahami sepenuhnya keadaan kita," kata beliau.



Berkongsi antara cabaran yang dilalui para penjaga mereka yang berkeperluan khas itu, Cik Faraliza, menerangkan cabaran yang biasanya dialami merangkumi tekanan emosi, mental, fizikal dan kewangan.



Dari sudut emosi, selalunya penjaga akan merasa dirinya keseorangan dan terpaksa memendamkan perasaan, tanpa sokongan dari keluarga atau teman-teman.



Penjaga juga tidak ada masa untuk diri mereka sendiri, dan ini akan menambahkan tekanan buat dirinya dan menjadi punca utama kesihatan mental mereka terjejas.



Dari segi fizikal pula, cabarannya ialah bila berhadapan dengan anak autisme yang sedang "meltdown", contohnya, dan mereka harus menangani anak itu dengan cara yang paling berkesan dan berkesesuaian dengan keadaan itu.



"Adakalanya, ibu bapa atau pengasuh agak berumur, dan mereka tidak terlarat untuk melayani anak istimewa mereka," katanya.



Cabaran dari segi kewangan juga adalah isu seringkali dihadapi para penjaga, tambah Cik Faraliza lagi.



Perbelanjaan menampung kos terapi, perubatan dan penjagaan agak tinggi dan ini akan menjejaskan ekonomi sesebuah keluarga.



Cik Faraliza berkata, pengorbanan yang perlu dilakukan juga kadang kala menambah tekanan yang dihadapi.



Salah satu pengorbanan yang biasanya berlaku adalah salah satu daripada ibu bapa itu terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak berkeperluan khas sepenuh masa.



"Ini kerana mereka merasakan tidak ada orang lain yang dapat memahami anak itu, selain mereka sendiri. Dengan ini, sekali gus ekonomi keluarga itu akan merosot.



"Kedua, kesibukkan harian menjaga anak berkeperluan khas bermakna hubungan suami-isteri akan turut terjejas.



"Bila mereka terlalu fokus kepada anak itu, dan tidak menitik beratkan aspek lain dalam keluarga, ini akan meretakkan hubungan mereka dan boleh membawa ke perceraian. Dari itu, sangat penting untuk ibu-bapa selaku penjaga utama anak istimewa ini mencari ruang untuk bersama," ujarnya.




PANDANGAN PAKAR



"Mereka (anak-anak autisme) berfikiran logikal dan ada cara untuk menenangkan mereka mengikut teori ABC, iaitu Antecedent (Punca), Behaviour (Tingkah laku) dan Consequences (Akibat). Kalau kita dapat tahu punca yang menyebabkan tingkah laku itu, kita dapat mengelakkan akibatnya (meltdown) di masa akan datang.''

- Cik Faraliza Zainal



“Meskipun pihak kami memberi tumpuan kepada penjaga mereka yang menghidapi masalah kesihatan mental dan pesakit demensia, kami tidak menolak mereka yang tampil meminta sokongan bagi keadaan berkaitan tekanan dan penjagaan.

Apa yang dialami anak autisme boleh dikategorikan dalam penjagaan kesihatan mental juga, jadi kami akan hulurkan bantuan sebaik mungkin.”


– Encik Zainal Abidin Lee.



“Kita perlu buka minda dan pemikiran kita...kalau kurang tahu, bertanyalah kepada mereka yang bertauliah, supaya mendapat nasihat yang bernas dan bukan setakat pandangan orang yang mungkin tidak memahami sepenuhnya keadaan kita.”

– Cik Zaiton Karim.




Di mana penjaga boleh dapat bantuan?



INISIATIF CARING.SG



  • Beri tumpuan kepada khidmat sokongan khususnya kepada penjaga anak-anak berkeperluan khas.

  • Ia mula beroperasi pada tahun 2020 di bawah naungan SG Enable, sebuah agensi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, yang berdedikasi untuk memperkasakan orang kurang upaya.

  • Sejak ditubuhkan, badan itu telah mengendalikan beberapa acara untuk komuniti penjaga anak-anak autisme. Penjaga akan digandingkan dengan penjaga lain untuk mendapat sokongan yang diperlukan.

KUMPULAN-KUMPULAN SOKONGAN



  • Selain Caring.sg, penjaga juga boleh menghubungi kumpulan-kumpulan sokongan yang lebih fokus kepada situasi mereka umpamanya kumpulan sokongan untuk ADHD, Autisme, sindrom Down dan sebagainya.

  • Mereka boleh bertanya kepada ibu bapa lain di sekolah-sekolah anak mereka atau menghubungi kumpulan-kumpulan sokongan informal yang sedia ada termasuk ADHD/ASD Warriors Singapore, Autism Bridge Strategy Group, Parent's Support Network dan lain-lain.

    (Informasi lanjut boleh didapati di laman EnablingGuide.sg oleh SG Enable.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >