Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Anjakan pemikiran masyarakat penting bagi sokong aspirasi wanita

Dari garis pandu bagi menggalak penerimaan aturan kerja fleksibel hingga perlindungan tambahan bagi mangsa keganasan domestik, Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang dibentangkan baru-baru ini melakarkan rancangan pemerintah untuk memartabatkan wanita. Dalam temu ramah bersama Berita Harian (BH), Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam menekankan keutamaan Kertas Putih tersebut dan implikasinya terhadap kedudukan dan kemajuan wanita di Singapura.
Apr 04, 2022 | 05:30 AM



PERUBAHAN di peringkat dasar dan undang-undang sahaja tidak mencukupi dalam usaha memartabat wanita jika kurangnya 'kematangan' masyarakat untuk mendalami dan membincangkan isu-isu yang dihadapi kaum Hawa secara terbuka.



Meskipun wujudya dasar tertentu menyediakan landasan penting bagi memperkasa wanita, pelbagai aspek kehidupan mereka dipengaruhi persekitaran yang dibentuk berdasarkan pemikiran anggota masyarakat lain.



Justeru anjakan dari segi pemikiran dan pemahaman dalam masyarakat penting dalam mewujudkan ekosistem progresif dan inklusif demi menyokong aspirasi wanita, kata Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam.



Kepentingan ini dititikberatkan dalam membentuk pelan-pelan tindakan yang telah dibentangkan dalam Kertas Putih bagi pembangunan wanita yang diharap dapat menyuntik kesedaran lebih tinggi di kalangan masyarakat mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi golongan tersebut, tambahnya.



"Kadang-kadang yang orang nampak adalah luaran saja, tapi apa yang wanita hadapi di sebalik tabir tidak jelas kelihatan.



"Cabaran ini mungkin tak diserlahkan wanita kerana mereka fikir ini perkara biasa, tapi sebenarnya ia boleh dimudahkan dan diperbaiki," katanya.



Cik Rahayu berkata demikian dalam membincangkan hal-hal berkenaan pembangunan wanita yang menjadi tumpuan Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura dalam satu temu ramah bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini.



Kertas Putih tersebut mengandungi 25 pelan tindakan 10 tahun bagi menangani keprihatinan golongan wanita serta memenuhi aspirasi mereka.



Ia merupakan hasil daripada Perbincangan Mengenai Pembangunan Wanita yang diadakan sepanjang tahun lalu, melibatkan lebih 160 perbincangan dan hampir 6,000 peserta.



Pelan tindakan tersebut merangkumi lima bidang termasuk dalam usaha meningkatkan kesaksamaan antara lelaki dengan wanita di tempat kerja, melindungi mereka dari keganasan dan membantu mereka yang memikul tanggungjawab penjagaan.



WANITA TIDAK INGIN 'BANTUAN KHAS'



Satu lagi pertimbangan penting dalam menggubal dasar dan perundangan yang diketengahkan dalam Kertas Putih tersebut adalah untuk memastikan ia kekal inklusif dan tidak terlalu 'berpihak' kepada wanita, kata Cik Rahayu.



Menukil contoh dari pelan tindakan yang dilakar bagi memastikan keadilan di tempat kerja, Cik Rahayu berkata langkah untuk memperkenal undang-undang bagi meluas julat tindakan yang boleh diambil terhadap kes diskriminasi tidak terhad kepada wanita bahkan semua yang menghadapi diskriminasi.



Begitu juga dengan garis panduan yang diperkenal bagi menggalak penerimaan aturan kerja fleksibel serta bantuan kewangan dan sosial yang diberikan kepada penjaga- ia bertujuan membantu wanita serta semua yang layak.



Cik Rahayu berkata: "Pada tahap peribadi, bagi wanita itu sendiri, saya rasa kita tak dapat terima jika diberi bantuan atau sokongan khas seolah kita lemah.



"Yang kita mahu adalah untuk diiktiraf atas kemampuan kita, kerana kita benar-benar layak mendapatkan status itu.



"Bukan kerana saya susah awak kena tolong, tapi kerana saya juga bekerja keras dan berusaha, jadi saya tak harus dilayan dengan cara berbeza. Wanita ingin diberi pengiktirafan sebegitu."



Dalam pada itu, Cik Rahayu turut menekankan bahawa golongan wanita perlu betulkan salah tanggapan bahawa hanya wanita yang prihatin dan perjuangkan isu-isu kaum Hawa.



Menurutnya lebih 20 peratus yang terlibat dalam perbincangan yang diadakan terdiri dari kaum lelaki.



Ini di samping lebih ramai pemegang jawatan politik adalah lelaki yang terlibat dalam penggubalan dasar tersebut, ujarnya.



"Namun, apa yang kita ingin lihat adalah lebih ramai 'male allies' ini, supaya usaha meningkatkan kesedaran ini lebih dipergiat," katanya.



Pada masa yang sama Cik Rahayu menggesa kaum hawa untuk menambah keyakinan diri mereka dan percaya bahawa mereka mampu mencapai aspirasi kerana "ada kalanya hambatan pada kaum wanita adalah diri mereka sendiri."



USAHA PELBAGAI SUDUT



Menurut Cik Rahayu, usaha transformasi membentuk masyarakat yang lebih inklusif ini memerlukan usaha menyeluruh dari pelbagai sudut merangkumi pemerintah, masyarakat serta pihak-pihak berkepentingan lain.



Pemerintah akan melihat cara terbaik untuk memberi sokongan yang lebih kuat dan dari segi dasar, namun selain itu terdapat keperluan untuk menangani isu-isu ini secara 'upstream' melalui pendidikan, katanya.



Tambahnya, anak-anak lelaki dan perempuan perlu diajar bahawa mereka sama-sama berupaya mencapai aspirasi mereka dan perlu menghormati antara satu dengan lain.



Ini turut dirangkumkan dalam Kertas Putih yang telah dibentangkan di mana kurikulum Pendidikan Keperibadian dan Kewarganegaraan di sekolah-sekolah akan menyentuh mengenai isu kesaksamaan peranan dalam keluarga.



"Ibu bapa juga perlu diperkasa untuk membincangkan isu-isu terkini, contohnya bagaimana isu-isu menghina antara jantina ini atau perbualan 'derogatory' dalam talian perlu dihentikan," katanya sambil menambah bahawa masyarakat juga perlu diperkasa untuk mampu menegur perbuatan-perbuatan yang tidak menyenangkan ini.



Pada masa yang sama, asatizah juga memainkan peranan untuk membina kematangan masyarakat, contohnya dengan menunjukkan bagaimana Islam juga menekankan tanggungjawab bersama dalam keluarga, tambah Cik Rahayu.



PERJALANAN MASIH JAUH



Cik Rahayu menekankan bahawa transformasi masyarakat yang diinginkan ini bukan sesuatu yang boleh dicapai semalam dan memerlukan tempoh yang agak lama.



"Kerana itu kita mempunyai rangka kerja (Kertas Putih) ini untuk jangka masa panjang.



"Yang mana kita boleh lakukan dulu atau dipanggil 'low hanging fruits' kita akan usahakan dan permudahkan.



"Tapi ini memerlukan kematangan dan penerimaan masyarakat, jadi perbincangan mengenai isu-isu ini perlu diteruskan," katanya.



Menyentuh tentang visinya bagi wanita akan datang, Cik Rahayu berkata:



"Saya harapkan masyarakat di mana wanita tak rasa kekurangan atau rasakan peluang mereka tersekat kerana mereka wanita.



"Kita ingin bentuk satu masyarakat yang tidak ada stereotaip, di mana anak-anak lelaki dan perempuan saling hormati dan kita semua dapat bantu satu sama lain untuk maju."








PANDANGAN RAHAYU 



MASYARAKAT TANPA STEREOTAIP



"Saya harapkan masyarakat di mana wanita tak rasa kekurangan atau rasakan peluang mereka tersekat kerana mereka wanita.
Kita ingin bentuk satu masyarakat yang tidak ada stereotaip, di mana anak-anak lelaki dan perempuan saling hormati dan kita semua dapat bantu satu sama lain untuk maju."



WANITA MAHU DIIKTIRAF ATAS KEMAMPUAN



"Pada tahap peribadi, bagi wanita itu sendiri, saya rasa kita tak dapat terima jika diberi bantuan atau sokongan khas seolah kita lemah.
Yang kita mahu adalah untuk diiktiraf atas kemampuan kita, kerana kita benar-benar layak mendapatkan status itu.
Bukan kerana saya susah awak kena tolong, tapi kerana saya juga bekerja keras dan berusaha, jadi saya tak harus dilayan dengan cara berbeza. Wanita ingin diberi pengiktirafan sebegitu."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >