Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

SETULUS KATA

Anak watan = Bakat asing

Dec 11, 2013 | 12:10 AM



KITA sering merungut tentang kehadiran bakat asing.


Mereka datang dari jauh dan dekat untuk bekerja di Singapura.


Ada bekerja selama beberapa tahun, tetapi ada juga yang menjadikan Singapura kediaman mereka sehingga beranak pinak.


Mereka berbakat, jika tidak mereka bukan profesional dikehendaki ramai.


Oleh kerana bakat yang dimiliki, mereka menerima pendapatan lumayan, selaras dengan kemahiran dan kebolehan yang mereka ada.


Banyak telah dibahaskan tentang bakat asing di sini – ada yang pro, ada juga yang kontra.


Tetapi isu bakat asing tidak mungkin reda begitu sahaja, sebaliknya ia akan sentiasa menjadi fokus dan perbualan ramai.


Namun, sedang kita membahaskan isu itu, yang menariknya ramai anak watan kita juga bakat asing di negara orang, termasuk bakat Melayu.


Bahkan, kian ramai Melayu Singapura berbakat menjadi bakat asing, baik di negara-negara jiran terdekat, mahupun yang jauh di rantauan.


Mereka berbakat bukan sahaja dalam bidang sukan dan seni, malah pengurusan dan profesional.


Banyak contoh yang membuktikan Melayu Singapura tidak kekontangan ekspatriatnya sendiri.


Sebenarnya dari dulu lagi kita telah ‘mengeksport’ bakat kita ke luar negara.


Umpamanya, Dr Yahaya Sanusi, pakar kejuruteraan seni bina kapal, yang memanfaatkan bakatnya di Eropah sejak 1980.


Namun, setelah lebih 30 tahun berada di rantauan, beliau memutuskan untuk pulang ke tanah air pada 2011 supaya berada lebih dekat dengan masyarakat Melayu Singapura.


Kemudian kita ada Fandi Ahmad, ‘eksport’ bakat Melayu Singapura paling ikonik.


Bakat bola sepaknya membawa beliau ke kelab Ajax Amsterdam sebelum bermain secara profesional selama dua musim bersama F.C Groningen di Belanda.


Bahkan, beliau pernah bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah.


Setahu saya, beliau antara pemain Asia pertama yang bermain dalam kejuaraan itu – jauh lebih awal daripada para pemain profesional Korea dan Jepun sekarang ini.


Sampai sekarang pun belum ada pemain setempat yang dapat menandingi pencapaian Fandi.


Tetapi kita berharap pemain muda seperti Adam Swandi, yang kini sedang mengikuti latihan dengan kelab Metz di Perancis dapat mengikuti jejak beliau.


Kalau dibandingkan hari ini pula, bakat asing Melayu Singapura kian pelbagai, dan mereka bertaburan di banyak negara.


Di Malaysia sahaja, ramai yang telah mengukir nama. Paling ketara ialah dalam bidang lakonan dan nyanyian.


Nama seperti pelakon Aaron Aziz dan Adi Putra sudah tidak asing lagi, manakala penyanyi M. Nasir, yang asalnya dari Singapura, sudah menjadi legenda.


Beliau sudah pun bermastautin di seberang tambak.


Dalam bidang pengurusan, contoh terbaik ialah Encik Shafie Shamsudin.


Bakat beliau menyerlah ketika bertugas di Indonesia bersama pasar raya Carrefour Groupe, yang berpangkalan di Perancis.


Penerima Anugerah Jauhari Berita Harian itu pernah bertugas di Paris untuk seketika sebelum mengetuai lagi operasi Carrefour di Indonesia tetapi di bawah syarikat Indonesia, CT Corp.


Seorang lagi penerima Anugerah Jauhari, Ashley Isham, juga bakat asing di negara orang.


Bakat seni fesyennya menyerlah di London, bahkan beliau antara pereka fesyen dunia yang disegani.


Apakah bakat-bakat ini ‘terpaksa’ berhijrah ke luar negara kerana mereka tidak mendapat peluang di tanah air sendiri?


Bagi saya, jika anda ada bakat, berkebolehan dan berdaya saing, di mana sahaja anda dikehendaki.


Jika Singapura tidak menawarkan peluang untuk anda menyerlah, apa salahnya anda ke luar negara untuk menjadi cemerlang.


Saya kenali seorang wanita Melayu Singapura yang bertugas di sebuah hotel di sini.


Beliau kemudian diburu pencari eksekutif (head-hunter) semasa bertugas, dan ditawarkan bekerja di Hongkong sebagai seorang pengarah sebuah hotel terkemuka.


Walaupun sudah mempunyai kerjaya stabil di sini, beliau yang enggan namanya disiarkan mengambil risiko dan bersedia menguji bakat dan daya saingnya dengan para ekspatriat lain di sana, meskipun tanpa pengetahuan bahasa Kantonis.


Baru-baru ini, kemahirannya diperlukan untuk membantu pembukaan rangkaian hotel itu di Bangalore, India.


Seorang rakan kampus saya pula pernah dihantar ke Copenhagen, Denmark, oleh syarikat kapalnya kerana bakat beliau, bukan kerana beliau tidak ada peluang di sini.


Dan sedang ramai pelajar Melayu Singapura menuntut di luar negara, kian ramai pula mungkin memulakan kerjaya mereka selepas mengikuti pengajian di tempat mereka menuntut ilmu. Trend ini sudah pun berlaku, sekali gus menambahkan lagi bakat asing Melayu Singapura di rantauan.


Ini belum lagi termasuk ratusan karyawan Melayu yang bertugas di rantau Teluk, seperti Dubai dan Qatar.


Hakikatnya, ramai Melayu Singapura berbakat. Mereka mampu berdaya saing bukan sahaja di peringkat domestik malah di peringkat global, bahkan boleh duduk sama tinggi dengan ekspatriat asing lain.


Mereka menjadikan dunia global ini pasaran kerjaya mereka, bukan setakat di Singapura, kerana peluang terbentang luas di mana sahaja.


Namun, untuk ‘laku’ sebagai bakat asing, beberapa ciri perlu ada – pendidikan yang baik, kemahiran yang sentiasa dipertingkatkan, sikap positif, semangat bersaing dan berani mengambil risiko serta tidak mudah berputus asa.


Oleh itu, sebelum kita mula merungut tentang bakat asing di sini, berhenti sejenak, dan renungkan bakat-bakat asing kita yang berada di luar negara. Apa salahnya menjadi seperti mereka. Seharusnya kita berbangga dan mencontohi jejak mereka.


Masyarakat Melayu Singapura sebenarnya bukan sebuah masyarakat yang gagal dan suram – mereka mampu berjaya.


Contoh-contoh di atas membuktikannya dan menjadi inspirasi kepada yang lain.


Mereka juga mengharumkan nama negara, bangsa dan agama.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >