Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

SETULUS KATA

Cara kurangi kesesakan di Little India

Jan 14, 2014 | 04:08 PM



"ADA rusuhan kat Little India," isteri tiba-tiba mengejutkan saya yang baru hendak tidur.


Saya, yang baru hendak terlelap, dengan segera melihat pelbagai mesej WhatsApp yang diterima isteri saya.


Kemusnahan harta awam termasuk kereta polis yang ditolak hingga terbalik, kebakaran kereta bomba dan juga kereta polis bagaikan suatu mimpi.


Walaupun saya berada ribuan kilometer jauhnya di Hongkong kerana bercuti, paparan video dan pelbagai gambar kemusnahan seperti terpampang di depan mata.


Rusuhan di Little India itu bermula apabila seorang pekerja warga India, Encik Sakthivel Kumaravelu, yang dikatakan mabuk, terjatuh daripada sebuah bas privet dan dilanggar di simpang Race Course Road dengan Hampshire Road sekitar 9.23 malam.


Encik Kumaravelu meninggal dunia di tempat kejadian.


Ketika itu, para pekerja asing berasak-asak menaiki bas yang simpang-siur untuk pulang ke dormitori masing-masing.


Akibat kemalangan maut itu, pekerja warga asing lain berasa marah dan mula mengganas serta menyerang pemandu bas itu.


Mereka juga menyerang pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis yang dikerahkan membantu mangsa kemalangan dan menenteramkan keadaan.


Para perusuh mula bersurai apabila polis antirusuhan tiba di tempat kejadian. Keseluruhannya 300 pegawai polis dikerah ke situ.


Kecederaan yang ditimpakan ke atas penjawat awam bukannya sedikit. Seramai 22 pegawai polis, lima anggota polis tambahan dan 12 pegawai SCDF dilaporkan cedera tetapi telah pun dibenarkan pulang daripada hospital.


Sehari selepas rusuhan, pemerintah mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Siasatan (COI).


Polis pula mengumumkan larangan pengambilan arak di tempat awam di Little India setiap hujung minggu, cuti umum dan sehari sebelum cuti awam selama enam bulan.


Namun, persoalan yang mungkin timbul sehingga kini ialah apakah punca rusuhan itu?


Jika dikaji punca berlakunya rusuhan, amuk, konflik dan apa sahaja bentuk anarki, tidak lain dan tidak bukan bermula daripada emosi yang tidak dapat dikawal.


Sering kali rusuhan berlaku apabila berkumpulnya kelompok manusia yang besar.


Ini dapat dilihat daripada puluhan ribu pekerja asing dari petang membawa ke malam yang membanjiri Little India setiap hujung minggu.


Seperti dalam perlawanan bola sepak, penyokong pasukan yang bertanding akan memberikan sepenuh sokongan, dan pada masa yang sama, akan mencaci pasukan lawan sehingga ke tahap di luar kawalan.


Kajian psikologi menjelaskan keadaan ini sebagai mob psychology (psikologi kelompok-rusuh) atau crowd psychology (psikologi kumpulan ramai).


Dalam keadaan sebegini, provokasi kecil boleh mengundang padah yang amat berat. Dalam hal di Little India ini, pencetusnya merupakan kemalangan yang mengorbankan Encik Kumaravelu.


Keadaan ini diburukkan lagi apabila kumpulan manusia yang besar itu dipengaruhi arak yang diminum secara berlebihan.


COI yang ditugaskan mencari punca kejadian, cara ia ditangani dan langkah memastikan ia tidak berulang perlu mengkaji dengan mendalam sekiranya ada punca-punca lain yang menyebabkan rusuhan tersebut.


Ini termasuk layanan majikan, penyesuaian yang perlu dibuat pekerja asing dalam bandar kosmopolitan seperti di Singapura dan beban hutang yang perlu ditanggung bagi mereka bekerja di Singapura.


Hakikatnya, pekerja asing memainkan peranan penting dalam membangunkan bandar ini.


Singapura juga beri kebebasan kepada mereka untuk bekerja dan mencari nafkah, beriadah atau bersantai selain mengamalkan agama masing-masing, dengan syarat undang-undang negara ini dipatuhi - hak saksama yang dinikmati rakyat Singapura yang lain.


Namun, kita juga perlu menerima hakikat bahawa masih ramai rakyat Singapura yang mungkin kurang selesa dengan kehadiran mereka. Rakyat Singapura mungkin menghargai sumbangan pekerja asing terhadap ekonomi, tetapi mungkin berasa kurang selesa atau resah sekiranya pekerja asing ini hidup atau hadir di sekeliling mereka.


Seperti kes mogok drebar bas SMRT lebih setahun yang lalu, pemerintah perlu memastikan kejadian rusuhan yang berlaku tidak berulang lagi.


Perlu juga difikirkan cara lebih kreatif bagi mengurangkan kesesakan di Little India.


Penubuhan bandar-bandar satelit kecil yang menyediakan kemudahan seperti menjual pelbagai barangan keperluan dari selatan India, khidmat penghantaran wang hinggalah penayangan filem percuma di pelbagai asrama yang menempatkan pekerja asing perlu difikirkan secara mendalam.


Selain itu, projek penutupan jalan raya pada hujung minggu yang dilaksanakan di Haji Lane di Kampong Glam dan Ann Siang Hill/Club Street di Chinatown mungkin perlu diperluaskan ke Little India.


Ini dapat mengurangkan kemalangan jalan raya dan memastikan pekerja asing dapat menikmati hujung minggu mereka dengan lebih selesa dan nyaman.


Dalam kita cuba mencari punca dan kos rusuhan, janganlah kita lupa memikirkan huraian yang dapat menyenangkan hati kededua penduduk dan pekerja asing ini.


Semoga warga Singapura dan juga pekerja asing dapat wujud bersama secara harmoni dan tidak menganggap kehadiran yang lain sebagai duri dalam daging.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >