SETIAP Muslim mempunyai tanggungjawab peribadi dalam memastikan kehalalan makanan yang dipilihnya.
Tanpa pensijilan halal, seseorang Muslim masih boleh membuat pemilihan makanan halal dengan tepat, dengan berusaha menjadi seorang Muslim bijak melalui pemahaman betul akan prinsip agama dalam hal ini.
Anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapuar (Muis), Ustaz Dr Mohammad Rizhan Leman, menekankan demikian dalam tazkirah Hikmah Ramadan yang disiarkan di radio tempatan hujung minggu lalu.
Dalam hal ini, beliau menukil sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari: "Bahawa orang-orang berkata wahai Rasulullah, ada suatu kaum yang mendatangi kami dengan daging yang kami tidak tahu apakah mereka menyebut nama Allah ketika menyembelihnya atau tidak. Maka Rasulullah saw bersabda, 'sebutlah nama Allah lalu makanlah'."
Ustaz Dr Mohammad Rizhan menjelaskan bahawa menurut hadis tersebut, beberapa sahabat Nabi saw menerima da-ging daripada orang-orang yang baru memeluk Islam.
Oleh kerana yang memberi daging itu baru memeluk Islam, timbul tanda tanya dalam kalangan sahabat Nabi saw sama ada mereka menyebutkan nama Allah, iaitu dengan mengucap bismillah (dengan nam Allah) ketika menyembelihan binatang itu.j
Lalu sahabat Nabi saw pergi berjumpa Nabi saw dan bertanya apakah mereka boleh makan daging tersebut. Rasulullah saw menjawab: "Sebutlah nama Allah lalu makanlah."
Menurut Ustaz Dr Mohammad Rizhan, dalam hadis ini terkandung beberapa pengajaran penting.
Pengajaran pertama, ialah ia menunjukkan kesungguhan sahabat Nabi saw dalam memastikan makanan mereka datang daripada sumber halal.
Ustaz Dr Mohammad Rizhan berkata Allah mengajarkan hamba-hambanya agar mengambil makanan yang mempunyai dua kriteria, iaitu halalan dan toyyiban, yang bererti halal dan baik.
"Ini selari dengan firman Allah sebagaimana dirakam dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 yang bererti, 'Wahai manusia, makanlah apa-apa di atas muka bumi yang halal bagi kamu dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu'.
"Imam Ibnu Katsir ra mentafsirkan makanan yang baik sebagai makanan sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal,'' kata Ustaz Dr Mohammad Rizhan.
Pengajaran kedua ialah kesungguhan dalam memastikan sama ada sesuatu makanan itu halal atau tidak mestilah berdasarkan ilmu.
"Mengambil pendekatan berhati-hati secara berlebihan yang tidak diletak pada tempatnya yang sesuai bukanlah sesuatu yang terpuji.
"Ia sebagaimana mengambil pendekatan sambil lewa yang tidak menghiraukan langsung tentang halal atau tidak sesuatu makanan itu juga bukanlah sesuatu yang terpuji.
"Salah satu cara menentukan status halal makanan ialah dengan merujuk kepada pensijilan halal daripada pihak berkuasa.
"Namun, perlu ditekankan bahawa itu bukanlah satu-satunya cara dalam menentukan status halal sesuatu makanan. Bukan dalam semua keadaan tidak memiliki pensijilan halal menunjukkan bahawa sesuatu makanan itu tidak halal,'' kata Ustaz Dr Mohammad Rizhan.
Beliau memberikan contoh gerai makanan milik orang islam. Makanan yang mereka masak dan jual adalah halal walaupun gerai mereka tidak mempunyai pensijilan halal.
"Tidak perlu kita bertanya sama ada ayam atau daging yang mereka jual itu disembelih menurut ajaran Islam atau tidak.
"Begitu juga dalam bulan Ramadan ini. Sekiranya jiran Muslim menyiapkan makanan dan memberinya kepada kita, tidak sewajarnya kita berburuk sangka terhadap makanan yang mereka berikan itu.
"Makanan yang mereka berikan itu adalah halal dan tidak sewajarnya kita bertanya kepada mereka sama ada makanan tersebut mengandungi bahan-bahan haram atau tidak.
"Selain itu, makanan tidak mengandungi bahan haram atau meragukan serta proses penyiapannya juga tidak mengandungi perkara haram atau meragukan, tidak sewajarnya dihukumkan ia sebagai ti-dak halal walaupun tiada pensijilan halal," kata Ustaz Dr Mohammad Rizhan.