Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:08
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Rencana

Pensyarah ITE yang juga bekas pelajar raih Anugerah Guru

Sambung belajar dari ITE hingga NTU sebelum kembali mengajar dalam bidang teknologi infokom
Oct 19, 2020 | 05:30 AM

Institut Pendidikan Teknikal (ITE) bulan lalu telah mengadakan Persidangan Guru-Guru ITE 2020 secara dalam talian. Semasa persidangan itu dua anugerah - Anugerah Guru ITE dan Anugerah Pelatih Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) - telah disampaikan. Ia bertujuan mengiktiraf pendidik cemerlang yang telah menunjukkan dedikasi dan perhatian luar biasa kepada pelajar. BERITA HARIAN mengetengahkan dua penerima anugerah tersebut.


JIKA dahulu beliau masuk ke kelas di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebagai pelajar, kini Cik Sitti Fatimah Mohamed Sa'ad hadir sebagai tenaga pengajar pula.

Malah, pensyarah di ITE Kolej Timur itu mendidik para pelajarnya dalam bidang yang sama beliau pelajari hampir dua dekad lalu.

Pensyarah teknologi infokom berusia 34 tahun itu baru-baru ini menerima Anugerah Guru ITE 2020, yang mengiktiraf kecemerlangannya sebagai pendidik selain dedikasi serta perhatian yang luar biasa yang ditunjukkannya dalam mendidik pelajarnya.

Berkongsi perjalanannya daripada seorang pelajar ITE kepada pensyarah kini, Cik Sitti Fatimah berkata beliau dapat meneruskan pendidikannya ke peringkat diploma setelah tamat kursus Nitec dalam Teknologi Infokom di ITE Kolej Central di kampus lama yang terletak di MacPherson.

Setelah meraih Diploma dalam Informatik Kejuruteraan daripada Politeknik Nanyang (NYP), beliau mendapatkan pengalaman bekerja selama dua tahun dahulu sebelum meneruskan pendidikannya ke menara gading.

Selama tiga tahun memburu ijazah dalam Kejuruteraan Maklumat dan Media di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Sitti Fatimah berpeluang menjalani program latihan di Walt Disney Singapore bersama sepasukan jurutera di sini.

Beliau kemudian bekerja di sebuah bank setelah berjaya menggenggam ijazahnya itu sebelum berkhidmat sebagai pensyarah di ITE Kolej Timur.

Bulan depan genaplah sembilan tahun beliau bertugas di ITE, kongsinya.

Ditanya apakah yang membuatnya mahu menjadi pensyarah, Cik Sitti Fatimah menjelaskan:

"Ia merupakan tugas yang mulia. Tak ada pekerjaan yang lebih signifikan daripada berkongsi dengan generasi seterusnya maklumat yang perlu mereka ketahui, tetapi yang lebih penting lagi, menunjukkan nilai, potensi dan kebolehan mereka."

Sebagai bekas pelajar ITE, beliau juga mempunyai 'kelebihan' dalam erti kata beliau sendiri pernah berada di tempat para pelajar yang dididiknya kini, dan pengalaman yang ditimbanya itu hebat sejauh ini, katanya.

"Saya dapat rasakan kegembiraan yang amat sangat bekerja di sini.

"Tugas ini telah memberi saya platform untuk berkongsi perjalanan peribadi saya dengan para pelajar yang paling dapat saya kaitkan dengan diri sendiri," ujar beliau.

Ketika beliau di bangku sekolah, ibu bapanya sentiasa mendorongnya mencapai kemajuan pada tahap kelajuan yang selesa bagi dirinya dan tidak pernah membanding-ban- dingkan beliau dengan adik-beradiknya yang lain.

Kini sebagai seorang guru, Cik Sitti Fatimah menggunakan pendekatan serupa dengan pelajarnya sendiri.

"Saya mempraktikkan (hal ini) dalam kelas - saya tak banding-bandingkan seseorang pelajar dengan pelajar lain.

"Saya hanya mahu pelajar-pelajar ini menganggap saya sebagai seorang yang selalu menitikberatkan mereka," ujarnya.

Namun, beliau akur terdapat cabaran dalam mengajar pelajar yang secara dasarnya merupakan individu-individu yang berbeza.`

Kata Cik Sitti Fatimah: "Mereka mempunyai keupayaan dan keperluan pelajaran yang tersendiri.

"Mengukur perbezaan-perbezaan ini kadang amat susah, tapi saya rasa kebanyakan guru akan mencari cara membantu setiap pelajar mengikut keperluan masing-masing."

Dengan Anugerah Guru ITE 2020 yang diterimanya itu, Cik Sitti Fatimah berasa lebih komited untuk terus memupuk generasi seterusnya.

Ia juga telah menyemarakkan semangatnya untuk terus membimbing dan menyokong perkembangan holistik anak muda serta memberi inspirasi kepada mereka untuk merealisasikan potensi mereka, kata beliau.`

Cik Sitti Fatimah merupakan antara 15 guru yang telah menerima anugerah tersebut.


"Ia merupakan tugas yang mulia. Tak ada pekerjaan yang lebih signifikan daripada berkongsi dengan generasi seterusnya maklumat yang perlu mereka ketahui, tetapi yang lebih penting lagi, menunjukkan nilai, potensi dan kebolehan mereka."
- Cik Sitti Fatimah Mohamed Sa'ad, pensyarah di ITE Kolej Timur, yang menerima Anugerah Guru ITE 2020 sebagai mengiktiraf kecemerlangannya sebagai pendidik.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian