Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

BADAN MELAYU/ISLAM

Perkumpulan Seni kekal tunjangi usaha suburkan seni, persuratan Melayu

Badan berusia 64 tahun tekad lahirkan mutiara bagi kesinambungannya daripada canang kejayaan silam
Oct 19, 2020 | 05:30 AM



PERJALANAN yang diharungi Perkumpulan Seni (PS) tidak dinafikan penuh cemerlang, ranjau dan warna.



Hari ini, setelah melewati usia 64 tahun, PS berdepan cabaran lebih besar - mengekalkan peranannya sebagai badan yang menunjangi pelbagai usaha menyuburkan kesenian dan persuratan Melayu, bersesuaian keperluan dan tuntutan semasa.



Dalam satu temu bual Berita Harian bersama dua karyawan muda PS baru-baru ini, mereka akur lebih mudah mencanang kejayaan silam daripada melahirkan mutiara bagi kesinambungannya.



Talian hayat dan hala tuju



Mengulas tentang pertubuhan yang mempunyai lebih 200 anggota mapan dan baru itu, Ketua I PS, Encik Muhammad Irsadi Munaris, seorang pegawai pentadbiran sekolah, berkata sukar menafikan peranan dan sumbangan besar PS dalam bidang persuratan, pementasan drama, seni tari, dikir barat dan muzik Melayu sepanjang 64 tahun lalu.



"Ramai personaliti seni asalnya daripada PS dan kami amat berbangga dan menumpang tuah kejayaan mereka," ujar beliau, yang ikut jejak ayahnya, Allahyarham Munaris Haji Dahwan, yang lebih dikenali sebagai Amari Dahwan, yang aktif dahulu.



Menyentuh tentang hala tuju PS, pemimpin muda berusia 33 tahun itu berkata, "tumpuan sekarang ialah memperkemas sistem pentadbiran, mutu persembahan dan pertingkat nilai kesenian agar ia sejajar dengan tuntutan semasa".



"Saya gembira ahli sedia tampil untuk terus berbakti bagi mengekalkan PS di tengah-tengah cabaran dan trend kontemporari," kata Encik Muhammad Irsadi.



Usaha kesenian, persuratan



Kelihatannya Covid-19 tidak mematahkan semangat PS untuk kuak sayap. Tahun ini, ia dipilih untuk menyemarakkan Bulan Bahasa, Pesta Muara 2020 dan Pesta Penulis Singapura (SWF) 2020.



Menerusi Sayembara Soloistari, PS cuba mencungkil bakat baru dalam seni tari dengan memanfaatkan media sosial - Instagram, Facebook dan Youtube.



Bagi acara Bulan Bahasa, PS mengundang pencinta seni tari Melayu mencipta sebuah tarian dua minit bagi sebuah lagu daripada lima yang ada.



"Sejauh ini, ia telah menarik 31 penyertaan. Sebagai penganjur projek pertandingan ini, saya sangat gembira kerana penyertaan melebihi jangkaan, alhamdulillah," kata Encik Muhammad Noramin Mohamed Farid, 33 tahun, pereka tari PS yang menganggotai badan itu sejak 2003.



Pemenang sayembara itu diumum kelmarin.



Untuk Pesta Muara 2020 anjuran Era Dance Theatre Limited dari 30 Oktober hingga 1 November, seksi tari PS mempersembahkan dua karya: Tari Kreasi - Oh Pujaan Dewi Ku dan Taridra - Semerah Padi, yang akan ditayangkan menerusi rakaman video.



Projek terbesar PS tahun ini ialah SWF 2020. Encik Muhammad Irsadi menyifatkannya sebagai "peluang sangat bererti untuk PS" kerana berpeluang ketengah bakat terbaik PS dalam seni tari dan persuratan" untuk tontonan antarabangsa.



"Kami mengangkat puisi-puisi Usman Awang, Abdul Ghani Abdul Hamid, Sapiee Ahmad Razaly, Samsudin Said dan Alang Budiman, dan ia diterjemah dalam bentuk tarian kontemporari yang direka para pereka tari muda dan mapan - Encik Muhammad Noramin, Mohd Kamal Ridzuan, Mohd Kamel Ridzuan, Ramlan Rasidi dan Suleha Jumaat.



"Kami bekerjasama dengan syarikat anak Melayu, The Lede, bagi menjayakan acara ini, yang akan ditayang menerusi enam siri video semasa SWF 2020 mulai penghujung bulan ini," katanya.



SWF 2020, bertemakan 'Keintiman', berlangsung antara 30 Oktober hingga 8 November ini.



PS juga menjayakan projek penerbitan antologi sajak dan cerpen bagi menyambut kemerdekaan Singapura ke-55 dan sempena ulang tahun ke-65 badan itu sendiri.



"Projek ini membuka peluang kepada semua penulis yang ingin menyumbang cerpen dan sajak mengikut tema pembangunan dan cabaran hidup Singapura sepanjang 55 tahun ini.



"Saya sangat berbesar hati projek ini dilaksanakan di bawah kepimpinan sasterawan dan karyawan berpengalaman Dr Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz dan Encik Juffri Supaat," ujarnya.



Iltizam dan wawasan



Mengulas tentang iltizam PS untuk terus maju dan memenuhi harapan bangsa dan generasi seterusnya, Encik Muhammad Noramin, yang kini mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti of London, Britain, dan antara pemimpin muda PS, berkata:



"Perkumpulan Seni kekal relevan dengan adanya anak-anak muda yang faham akan kepentingan sejarah perkumpulan ini sebagai penggerak seni dan juga faham yang budaya tidak statik dan sentiasa berubah mengikut cita rasa zaman.



"Cabaran anak muda hari ini yang masih gigih mahu bergiat dalam seni tradisi amat berbeza daripada era dahulu.



"Kita harus mencari jalan tengah untuk memupuk kasih sayang pada seni dan juga terbuka untuk menggunakan cara yang lebih relevant dan terkini untuk mendekatkan mereka pada penggiatan seni."




KEKAL RELEVAN



"Perkumpulan Seni kekal relevan dengan adanya anak-anak muda yang faham akan kepentingan sejarah perkumpulan ini sebagai penggerak seni dan juga faham yang budaya tidak statik dan sentiasa berubah mengikut cita rasa zaman. Cabaran anak muda hari ini yang masih gigih mahu bergiat dalam seni tradisi amat berbeza daripada era dahulu. Kita harus mencari jalan tengah untuk memupuk kasih sayang pada seni dan juga terbuka untuk menggunakan cara yang lebih relevant dan terkini untuk mendekatkan mereka pada penggiatan seni."
- Encik Muhammad Noramin Mohamed Farid, pereka tari Perkumpulan Seni yang menganggotai badan itu sejak 2003.



TUMOUAN SEKARANG



"Ramai personaliti seni asalnya daripada PS dan kami amat berbangga dan menumpang tuah kejayaan mereka... Tumpuan sekarang ialah memperkemas sistem pentadbiran, mutu persembahan dan pertingkat nilai kesenian agar ia sejajar dengan tuntutan semasa. Saya gembira ahli sedia tampil untuk terus berbakti bagi mengekalkan PS di tengah-tengah cabaran dan trend kontemporari."
- Encik Muhammad Irsadi Munaris, Ketua I Perkumpulan Seni, yang ikut jejak ayahnya, Allahyarham Munaris Haji Dahwan, atau Amari Dahwan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >