Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:14
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA – HARI PENAMAAN CALON

Persaingan sengit 'gajah, pelanduk' politik rebut takhta di Perak

Nov 06, 2022 | 05:30 AM



Pilihan Raya Umum ke-15 ini dianggap sebagai acara mercu tanda yang boleh menentukan hala tuju Malaysia, yang bukan sahaja perlu bangkit mengatasi kemelut politik yang telah melanda sejak 2022; dan juga faktor luar, seperti pandemik Covid-19 dan ketegangan geopolitik yang telah menjejas teruk ekonomi. Dua negeri – Selangor dan Perak – telah dijadikan medan pertempuran tumpuan, bukan hanya kerana masing-masing menawarkan kerusi parlimen yang paling banyak selepas Johor, malah kerana sebahagian kerusi parlimen yang dipertandingkan telah menarik persaingan beberapa tokoh politik mapan. Wartawan BERITA HARIAN/BERITA MINGGU yang kini berada di kedua-dua negeri ini cuba memberi sedikit intaian ke dalam persaingan yang kian menghangat di sana.




APABILA gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah, kata peribahasa Melayu merujuk kepada keadaan di mana pihak yang lebih kecil biasanya menjadi mangsa apabila dua kuasa besar berkelahi.



Namun pertempuran antara dua gergasi politik di Tambun, Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini boleh mewujudkan keadaan di mana pihak ketiga yang dianggap lebih kecil, meraih manfaat.



Anggota Parlimen di kawasan itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam pentadbiran pemangku Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dan ketua pembangkang Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masing-masing telah pun mempergiat kempen untuk memenangi hati pengundi sana.



Dua 'gajah' politik ini dicabar oleh 'pelanduk' dalam bentuk Datuk Aminuddin Md Hanafiah, Ketua Divisyen Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) di Tambun di bawah bendera Barisan Nasional (BN).



Melengkapkan persaingan empat penjuru di Tambun ialah calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang bertanding di bawah bendera Gerakan Tanah Air (GTA), Encik Abdul Rahim Tahir.



Bercakap di sidang media untuk mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) beberapa hari sebelum Hari Penamaan Calon, Datuk Aminuddin berkata beliau sedar beliau tidak dianggap sebagai pilihan utama untuk menang di Tambun tetapi berkata "adalah tidak mustahil" Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Faizal tewas dalam pilihan raya nanti.



"Mereka kededuanya amat dikenali tetapi kami mempunyai semangat untuk menewaskan mereka," kata beliau.



Menurut Datuk Seri Aminuddin, wakil BN Perak telah memberi banyak bantuan kepada penduduk di kawasan itu dan mereka juga orang setempat.



Turut menggunakan kelebihannya sebagai anak kelahiran Perak ialah Datuk Seri Faizal, yang juga dikenali sebagai 'Peja' dalam kalangan penduduk setempat dan ahli akar umbinya.



Malah, beliau telah memasang sepanduk memanjang di jambatan di Jalan Tambun, Ipoh yang menunjukkan gambarnya dengan cogan kata: "Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu never lost in Tambun" yang merujuk kepada sejarah kerjaya politiknya yang tidak pernah kalah di Tambun.



Ia juga merujuk kepada taman riadah popular di Tambun, yang bernama Lost World of Tambun.



Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, Datuk Seri Faizal menewaskan Anggota Parlimen BN, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang sebelum itu telah memiliki kerusi parlimen selama lima penggal dari 1995 ke 2018.



Menyusuli itu, beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar ke-13 dan ke-14 Perak selama dua tahun dari 2018 hingga 2020 di bawah dua bendera - Pakatan Harapan (12 Mei 2018 - 10 Mac 2020); dan Perikatan Nasional (13 Mac 2020 - 5 Disember 2020).



Buat masa ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).



Datuk Seri Anwar pula berpindah dari pangkalan sokongan Port Dickson di Negeri Sembilan ke Tambun di Perak kerana ingin menjadikan negeri itu garisan depan benteng pembangkang di Malaysia.



Selepas pengumumannya untuk bertanding di Tambun disambut dengan sinis oleh Datuk Seri Faizal - yang mengingatkan beliau tentang perbezaan sebutan 'air' sebagai 'ayor' dalam loghat Perak, dan bukan 'ayaq' seperti di Pulau Pinang, Datuk Seri Anwar menekankan beliau telah menetap di Perak selama sembilan tahun, termasuk dua tahun dalam tahanan di Kamunting.



Datuk Seri Anwar dilahirkan di bandar Cherok Tok Kun, di selatan Bukit Mertajam di Pulau Pinang.



Namun, beberapa hari selepas pertukaran hujah ini, sebuah sepanduk yang menunjukkan cogan kata "Ayor bukan Ayaq" dipasangkan berhampiran Kompleks Lai Chee di Tambun.



Pemerhati politik dan pengarah di BowerGroupAsia, Encik Adib Zalkapli, berkata:



" Usaha Anwar bertanding di Perak dilihat sebagai satu strategi Pakatan Harapan untuk menjadikan negeri itu kubu kuatnya, seperti Selangor dan Pulau Pinang."



Kesungguhan penyokong Datuk Seri Anwar untuk menyokongnya pada Hari Mengundi juga tidak terjamin, walaupun beliau mempunyai 'jenama' yang baik dalam kalangan orang di Perak, kata pemerhati politik, Profesor James Chin dari Universiti Tasmania di Australia.



"Jumlah penyokong yang banyak ini tidak semestinya menjadi undi yang banyak nanti,'' kata beliau.



Dengan persaingan dari calon keempat dari GTA, Encik Abdul Rahim Tahir, dianggap tidak begitu ketara oleh pemerhati, persaingan di Tambun boleh dirumuskan kepada persaingan antara Datuk Seri Faizal dan Datuk Seri Anwar - yang masing-masing mempunyai pangkalan penyokong besar - walaupun Datuk Aminuddin boleh mencetus kejutan di Hari Mengundi, jika beliau boleh memikat pengundi yang belum lagi membuat keputusan.



Menggunakan analogi sukan tinju - keadaan di Tambun ini menawarkan gelanggang tinju yang menjolok mata - kerana pemenangnya mungkin bukan dua petinju paling kuat menumbuk atau disukai ramai, tetapi petinju ketiga yang menunggu masa untuk membuat tumbukan strategik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >