FAJAR Aidilfitri bakal menyinsing lusa. Umat Islam Singapura menyambut bulan kemenangan dalam perjuangan menahan lapar dan dahaga ini dalam keadaan sungguh berbeza berbanding tahun lalu dan tahun sebelumnya.
Dua tahun lalu, suasana Hari Raya agak suram dan serba serbi sepi selepas masjid terpaksa ditutup gara-gara penularan Covid-19. Bazar Ramadan yang menjadi lambang penyeri sambutan Raya saban tahun pula ditiadakan bagi mematuhi aturan penjarakan selamat, sementara tradisi kunjung-mengunjung bagi menjalin silaturrahim dan saling bermaaf-maafan perlu dilakukan secara online menerusi zoom.