Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CATATAN WARTAWAN: SEHARI SEBAGAI… PEGAWAI KESELAMATAN

'Kerja kami bukan duduk jaga gate saja'

Feb 20, 2022 | 05:30 AM



SEKEJAP kena buat itu, sekejap kena buat ini.



Kira-kira setiap lima minit sepanjang syif 12 jam ada saja kejadian yang perlu diberi perhatian oleh pegawai keselamatan di premis syarikat penyedia khidmat kapal di Pandan Loop.



Daripada memberi pas kepada pengunjung atau memeriksa kenderaan sebelum diizin masuk kepada memberi laluan kepada treler yang hanya boleh masuk premis itu secara mundur untuk mendapatkan bekal peralatan kapal - kerja seorang pegawai keselamatan bukan setakat duduk jaga pintu masuk sahaja.



Biarpun begitu, menurut dua pegawai keselamatan kanan yang saya sertai bertugas di Wilhelmsen Ships Service dalam satu syif siang baru-baru ini, saya 'bertuah' dapat syif tersebut kerana tugas mereka selalunya jauh lebih sibuk.



Ikuti pengalaman saya semasa menyertai Encik Salimee Sarip, 69 tahun, dan Encik Isaac Joshua, 72 tahun.



Saya tiba di tempat itu sekitar 6.45 pagi, dan membeli bekal sarapan roti dengan kopi c kosong panas dari kantin pekerja kawasan perindustrian itu.



Syif bermula pada 7 pagi hingga 7 malam.



Kami bertanggungjawab menjaga premis seluas sekitar 21,600 meter pesegi itu. Ia merangkumi sebuah bangunan pejabat empat tingkat, sebuah gudang logistik yang boleh menampung sehingga 2,800 pelet barang keperluan kapal dan sebuah jeti di belakangnya bagi beberapa bot berlabuh untuk menghantar barang keperluan kepada kapal lain.



Suasana lengang hingga 8 pagi sebelum kenderaan logistik dan pekerja pejabat mula menderu tiba sekitar 9 pagi.



"Gara-gara Covid-19, bilangan pekerja di sini dibahagikan kepada setengah jadi hari ini kita bertuah tak sesibuk seperti hari biasa," kata Encik Isaac.



Terdapat juga sekumpulan kontraktor tiba di situ pada 9.30 pagi untuk menjalankan kerja naik taraf di pejabat tingkat satu dan dua.



Dalam setiap pemeriksaan ke atas mereka, Encik Salimee dan Encik Isaac mengambil giliran mengisi borang pendaftaran dalam komputer sementara seorang lagi memberi pas kunjungan.



Kemudian pada sekitar 10 pagi, Encik Salimee mengambil giliran pertama daripada dua rondaan yang dilakukan setiap syif pada waktu pagi dan petang sebelum tamat kerja.



Di situ Encik Salimee menceritakan selain jaga gate, terdapat pelbagai tugas lain yang perlu pekerja keselamatan sepertinya lakukan.



"Konsep jaga gate sahaja itu konsep lama," katanya.



"Kini kami mempunyai kemahiran dalam pelbagai aspek keselamatan lain dan saya juga perlu merancangkan pelan keselamatan, latihan kebakaran dan sebagainya," jelas Encik Salimee sambil menambah, majikannya, Aero Asia Security Systems, itu turut menawarkan kursus latihan bagi pegawai seperti mereka.



Ia juga menggajikan mereka pada paras yang lebih tinggi mengikut Model Gaji Progresif (PWM) agar ia dapat menarik bakat setempat yang selalunya merangkumi pekerja yang ingin menukar kerjaya pada usia 40-an tahun atau sudah bersara.



Dengan pengalamannya sebagai pemimpin seksyen dan teknisyen kanan di Limbungan Kapal Keppel sepanjang sekitar empat dekad dahulu, beliau juga tahu mengenai produk terkawal disimpan di Wilhemsen itu.



Ini termasuk bahan kimia untuk membersihkan enjin kapal dan bermacam jenis silinder gas dan peralatan kapal tertentu.



"Kalau ada apa-apa terjadi, misalnya barang salah hitung atau berlaku kebocoran, kami akan dipertanggungjawab. Mereka akan cek A sampai Z," kata bapa tiga anak dan datuk tiga cucu itu sambil menunjuk ratusan bahan kimia terletak di rak bertingkat.



"Ini benda tak boleh main-main. Jadi setiap orang dan kenderaan yang masuk sini mesti ada pengesahan yang perlu dibuat lebih awal.



"Saya juga menyelaras bersama penyelia keselamatan gudang untuk memastikan barang-barang itu disimpan dengan tersusun agar ia tidak membahayakan pekerja lain," katanya lagi.



Seorang penyelia keselamatan di situ menjelaskan produk kapal yang disimpan itu dikawal rapi oleh pihak berkuasa.



Di jeti, kami memeriksa agar silinder gas yang sudah dan akan diisi semula disimpan dengan teratur. Beliau juga memeriksa agar pengendali bot - yang selalunya merupakan pekerja migran - tidak membawa barang terlarang.



Di keliling premis, kami memerhatikan supaya tiada barang mencurigakan diletakkan di kawasan pagar kerana ia boleh menyebabkan kebakaran atau letupan. Justeru Encik Salimee berkata mereka tidak boleh bersikap sambil lewa semasa bekerja di situ.



Beliau menceritakan dalam dua bulan pertama beliau ditempatkan di situ pada 2018, beliau memaksa dirinya untuk mengingat semua nombor lesen kenderaan yang telah mendaftar dalam sistem mereka.



Oleh itu sepanjang syif, Encik Salimee kerap mencatat di buku kerana beliau menulis dengan pantas sementara Encik Isaac menyambut pengunjung.



Baki tempoh syif, sambil duduk di guardhouse, kami berbual tentang kehidupan masing-masing.



Walaupun keadaan dianggap 'senang,' kedua-dua pegawai berkenaan yang sudah melangkaui usia persaraan itu, tetap disibukkan pelbagai kejadian yang memerlukan perhatian.



Antaranya ialah kontraktor yang ingin mengambil pulang kenderaan dan mesin, dan juga treler yang tiba ke premis itu untuk mengisi barangan bagi eksport.



Paling-paling lima atau 10 minit sahaja kami dapat rehat sebentar. Makan tengah hari pun kami mengambil giliran pada sekitar 12 hingga dua petang.



Walaupun disinari terik matahari, kedua-dua pegawai itu melakukan tugas dengan tegas dan penuh kewaspadaan.



Selain cabaran seharian tugas mereka itu, Encik Isaac dan Encik Salimee juga menghidap penyakit memandangkan mereka sudah lanjut usia.



Menurut mereka, rancangan kembali bekerja itu bukan setakat untuk mendapatkan wang tambahan dan mencari nafkah. Ia didorong keinginan mereka untuk terus bekerja.



Meskipun Encik Isaac, yang dahulu bekerja dalam sektor minyak dan gas dan pernah menyandang jawatan sebagai Presiden Perikatan Pekerja Industri Petroleum (UWPI) 1998-1999, buta di mata kanan dan menghidapi artiritis, beliau mahu terus bekerja bagi mengekalkan kecerdasan minda.



Tidak seperti Encik Salimee yang menganggap kerjanya itu 'mudah,' Encik Isaac mengaku, kerja di situ amat mencabar buatnya.



"Sebenarnya saya suka kerja ini. Majikan bagus, gaji juga bagus. Tapi saya juga terjejas oleh usia. Mungkin kerja ini lebih sesuai untuk orang lebih muda dari saya," kata bapa seorang anak yang masih bujang.



"Sama seperti kerja lain, ada pasang surutnya di sini. Untuk kerja di sini, saya bangun 4 pagi dari rumah saya di Bukit Panjang untuk naik tiga bas datang ke sini.



"Bila pulang, kalau nasib baik, balik rumah dalam 9 malam. Kalau tidak, 10 malam atau lebih lama. Tapi sebab kesihatan saya dan susah nak tidur jadi saya dapat tidur dalam empat atau enam jam paling lama. Saya nak cari tempat kerja yang lebih dekat dengan rumah," tambah Encik Isaac.



Kami berpisah pada sekitar jam 6.50 petang apabila pegawai syif malam tiba.



Encik Salimee sudah berangkat dahulu pada 6.15 dengan menunggang motosikal.



Sambil saya menunggu Grab untuk pulang ke Pasir Ris, Encik Isaac dengan perlahan berjalan ke perhentian bas sejauh 400 meter dari situ untuk pulang ke rumahnya di Bukit Panjang.




PERLU BERTOLAK ANSUR, TENANG DAN SEDIA MEMBANTU




"Keselamatan pekerja dan juga tempat bekerja ini adalah satu keutamaan dalam kerja kami. Sebaiknya, kita harus bekerja dengan satu hati, patuh pada peraturan dan prosedur di sini dan juga menghormati tugas kami menjamin keselamatan anda.

Cakap mudahnya kami harus 'give and take' (bertolak ansur) dan bekerjasama antara satu sama lain. Semua urusan boleh dibincang jadi tidak perlulah bertindak kasar dengan kami atau pun bertengkar dengan kami."

- Encik Salimee Sarip, pegawai pengawal kanan, Aero Security Systems, mantan teknisyen di Limbungan Kapal Keppel sepanjang lebih empat dekad.





"Kata-kata kesat kami sudah biasalah namun kami pun mesti jaga-jaga. Sepanjang pengalaman saya, saya pernah bertemu pelbagai watak, kadangkala para pekerja atau orang umum yang mahu mendapat akses masuk ke tempat yang kami jaga mungkin sedang menghadapi masalah di luar atau di rumah... kemudian disuruh tunjuk pas, isi borang itu ini. Mana tak marahkan? Jadi antara tugas kami juga adalah untuk beri khidmat dengan baik dan tenang serta menawarkan bantuan kepada mereka."
- Encik Isaac Joshua, pegawai pengawal kanan, Aero Security Systems, mantan Presiden Perikatan Pekerja Industri Petroleum (UWPI) 1998-1999.





Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >