Subuh
5:45
Syuruk
7:04
Zuhur
1:10
Asar
4:26
Maghrib
7:13
Isyak
8:24

Sambut Raya sambil jaga kesihatan bagi penakatan jangka panjang

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

WAWANCARA DENGAN RAHAYU MAHZAM

Sambut Raya sambil jaga kesihatan bagi penakatan jangka panjang

May 02, 2022 | 05:30 AM

HARI Raya adalah masa untuk mengunjungi sanak saudara dan mengeratkan silaturahim, sambil menikmati pelbagai juadah istimewa dan kuih-muih yang disediakan tuan rumah.

Tetapi jika seseorang itu tidak sihat, pengalaman berjalan Raya tersebut mungkin tidak dapat dinikmati sepenuhnya.

Justeru Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menggalak orang Melayu agar menjaga kesihatan mereka, supaya dapat terus menemui orang-orang yang tersayang, dan menikmati juadah Hari Raya yang digemari dalam tahun-tahun mendatang.

"Suasana Hari Raya tahun ini diharapkan lebih meriah dan lebih seronok. Saya ingin kita semua meraikannya dengan penuh meriah, dapat rasakan makanan semua dengan seronok, dapat berkunjungan, berpelukan, bersalaman, dan saya rasa itu adalah kemeriahan yang kita mahu lihat dalam masyarakat kita.

"Tapi dalam pada kita berseronok, saya juga mahu masyarakat kita tahu yang kita mahu berseronok untuk jangka waktu yang lebih panjang.

"Kita mahu lihat orang-orang tua kita terus sihat, kita mahu lihat diri kita juga dapat terus berjumpa pada Ramadan dan Syawal yang akan datang. Untuk memastikan itu semua, kita harus melakukan perkara-perkara untuk memastikan kita kekal sihat," kata Cik Rahayu dalam satu wawancara di Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI), baru-baru ini.

CARI KESEIMBANGAN

Memberi contoh, beliau berkata lauk-pauk Hari Raya lazat boleh terus dinikmati tetapi dengan sederhana, agar kesihatan kekal terjaga dan dapat menikmati sajian itu lagi pada Syawal berikutnya.

Cik Rahayu menekankan pentingnya mencari keseimbangan menjaga kesihatan sambil terus menikmati pengalaman sebagai satu masyarakat.

"Pengalaman itu penting. Ia sebahagian daripada kehidupan kita dan adalah sangat susah untuk mengubah kelakuan jika kita menghentikan sesuatu yang begitu bermakna untuk orang Melayu.

"Sambutan Ramadan, makanannya, bazarnya, makan bersama-sama dengan keluarga, dan sambutan Hari Raya, semuanya adalah perkara yang kita mahu pelihara. Resipi tradisional juga penting untuk kita pelihara," kata Cik Rahayu.

"Tetapi ada strategi untuk kita kerahkan sebagai satu masyarakat, dan itu adalah sesuatu untuk kita telitikan. Ini juga sejajar dengan agama kita yang mengajar untuk tidak keterlaluan.

"Ia mengenai bagaimana dapat kita mengatur strategi untuk memelihara budaya dan makanan kita sambil menjaga kesihatan kita. Kerana kalau kita tidak sihat kita tidak dapat menikmati itu semua," tambahnya.

Pelbagai usaha telah dijalankan, seperti mendapatkan cef selebriti Cef Mel Dean menunjukkan cara menyediakan minuman kurang manis dan pencuci mulut lebih sihat sebagai sebahagian pelancaran kempen 'Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?' bulan lalu.

Cef itu telah mengongsi tip menyediakan sajian lebih sihat seperti menggunakan bahan dan teknik memasak lebih sihat serta menggunakan rempah-ratus dan kurangkan gula bagi membangkitkan rasa sajian itu.

Apabila menjamu selera di luar, atau membeli makanan dan minuman di bazar Ramadan, Cik Rahayu menggalakkan agar juadah yang dibeli itu dikongsi dan bukan dihabiskan sendiri.

"Jika kita lakukan itu, kita boleh makan apa sahaja," katanya.

Selain pengambilan tenaga dalam bentuk kalori melalui makanan dan minuman, perlu juga ada pengeluaran tenaga, tambah Cik Rahayu.

"Kita hanya perlu lebih sedar. Kalau hari ini kita mahu makan juadah tertentu, kita perlu jalan lebih sedikit. Kalau kita sudah memang suka bersenam, cari masa yang sesuai untuk meneruskan kegiatan fizikal walaupun dalam bulan puasa," katanya yang bersenam di gim selepas sahur sekitar 6.30 pagi hingga 8 pagi tiga kali seminggu.

MULAKAN DENGAN PERUBAHAN KECIL

Cik Rahayu menasihatkan agar perubahan ke arah gaya hidup dan pengambilan makanan lebih sihat dilakukan sedikit-sedikit.

Ini boleh dilakukan dengan langkah kecil seperti mengubah susu yang diminum ke susu rendah lemak, memilih produk yang lebih rendah kandungan sodium, dan mengurangkan gula dalam minuman dari dua sudu ke satu sudu.

Mengongsi pengalamannya mengurangkan pengambilan minuman manis, Cik Rahayu berkata beliau bermula dengan mencampur minuman manis itu dengan air putih.

Kini sekitar setahun kemudian, beliau tidak lagi mencari minuman itu untuk menghilangkan dahaga.

"Ia tidak mudah pada mulanya. Jadi saya membuat perubahan sedikit demi sedikit. Saya tidak ambil minuman manis pada hari biasa, dan pada hujung minggu saya beri diri saya satu cheat day (tidak mengikut diet yang ditetapkan). Tapi sekarang saya tidak mencarinya dan kalau saya minum pun saya campurkan dengan air putih," kata Cik Rahayu.

KEKAL BERJAGA-JAGA

Semasa berkunjungan ke rumah sanak saudara pada Hari Raya nanti, Cik Rahayu menasihatkan agar orang ramai terus berjaga-jaga.

"Ramai yang kita kunjungi mungkin dalam kalangan golongan mudah terjejas seperti mereka yang lebih tua atau yang kurang sihat. Saya rasa penting untuk kita sentiasa ingat dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kita tidak terlalu gembira sampai terlupa menjaga kesihatan semua," katanya.

Mereka yang rasa kurang sihat dan mengalami batuk, selesema atau sakit tekak dinasihatkan tidak keluar berkunjungan, agar tidak menjangkiti orang lain terutama kanak-kanak dan orang tua.

Orang ramai juga boleh melakukan ujian pantas antigen (ART) sebelum mengunjungi rumah yang mempunyai warga emas bagi memastikan yang mereka tidak mempunyai Covid-19.

"Ini antara perkara yang dapat kita perhatikan agar kita dapat terus gembira dan meraikan Hari Raya dengan meriah tetapi pada masa sama memastikan kita bersikap bertanggungjawab dan menjaga kesihatan semua sanak saudara yang kita kunjungi," kata Cik Rahayu.


"Tapi dalam pada kita berseronok (sambut Raya), saya juga mahu masyarakat kita tahu yang kita mahu berseronok untuk jangka waktu yang lebih panjang.

Kita mahu lihat orang-orang tua kita terus sihat, kita mahu lihat diri kita juga dapat terus berjumpa pada Ramadan dan Syawal yang akan datang. Untuk memastikan itu semua, kita harus melakukan perkara-perkara untuk memastikan kita kekal sihat.''
- Cik Rahayu Mahzam Setiausaha Parlimen (Kesihatan)

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3