Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Sedih belanja Raya terakhir di TKC Jumpa lagi 3 tahun lagi

Bangunan Tanjong Katong Complex (TKC) bakal menjalani kerja naik taraf mulai Ogos 2023 bagi tujuan memberi kesegaran dan merancakkan lagi pusat beli-belah ikonik itu. Pemilik kedai serta pengunjung yang ditemui BERITA MINGGU (BM) melahirkan rasa sayu menyambut Ramadan dan Hari Raya terakhir pada 2023 di bangunan lama penuh nostalgia yang telah bertapak lebih 40 tahun di kawasan Geylang Serai itu.
Mar 19, 2023 | 05:30 AM



SETIAP kali Ramadan tiba, Cik Surianah Awang seisi keluarga pasti mengunjungi pusat beli-belah Tanjong Katong Complex (TKC) di Geylang Serai untuk mendapatkan barang keperluan Hari Raya.



Bahkan, amalan tahunan ini kini telah menjadi satu tradisi yang turut diikuti anak-anak dan cucunya.



"Kami semua sama-sama akan pergi ke Geylang Serai untuk membeli-belah. Wajib kita pergi. Memang dari kecil, saya sekeluarga akan pergi ke 'Yokoso', Joo Chiat Complex dan sebagainya di Geylang. Amat meriah suasana.



"Kalau di TKC, semua kemudahan ada. Suami saya juga minat dengan satu kedai di situ, jadi memang setiap tahun, kami akan beli baju Raya di sana," kata beliau, yang mempunyai empat anak dan dua cucu.



Namun, memandangkan tahun ini merupakan Ramadan dan Hari Raya terakhir pintu TKC akan dibuka kepada orang ramai sebelum ia ditutup selama tiga tahun untuk menjalani kerja-kerja naik taraf, Cik Surianah, 57 tahun, rasa bak ada sesuatu yang akan kehilangan di Geylang Serai.



"Bila TKC tutup untuk beberapa tahun nanti, akan rasa macam ada kekurangan di Geylang Serai. Manalah kita nak cari baju selepas ini?," kata beliau.



Seperti Cik Surianah, ramai anggota masyarakat Melayu/Islam berasa sedih dengan berita penutupan TKC bagi memberi laluan kepada kerja-kerja peningkatan untuk diberi nafas baru.



Kompleks beli-belah itu, dengan pelbagai kedai yang menawarkan pilihan pakaian tradisional dan keperluan untuk masyarakat, sudah menjadi satu nadi masyarakat yang sinonim dengan Ramadan dan Hari Raya.



Bagi generasi lama, ramai yang mengenali TKC sebagai 'Yokoso' kerana bangunan itu dahulunya menempatkan pasar raya dan gedung serba-serbi Jepun popular itu.



Dibuka pada 1982, TKC merupakan kompleks beli-belah berhawa dingin pertama yang dibangunkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). SLA mengambil alih pengurusan TKC sejak Mac 1998.



Namun, sejak dibangunkan, kompleks itu belum lagi menjalani kerja-kerja peningkatan besar dan sistem mekanikal dan elektrik perlu diperbaharui.



Kerja-kerja naik taraf itu, yang akan dijalankan dari Ogos 2023 dan dijangka berakhir menjelang Julai 2026, adalah sebahagian dari usaha merombak Geylang Serai sebagai jalur budaya masyarakat Melayu seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan 2018.



Apabila siap nanti, orang ramai boleh menjangkakan bangunan kontemporari dengan lebih banyak ruang runcit, pilihan makanan dan minuman (F&B) lebih luas, ruang bagi kegiatan masyarakat dan kemudahan dan khidmat lebih baik, tetapi masih mengekalkan ciri ikonik dan kemelayuannya.



Sentimen hiba pastinya turut dirasakan penyewa TKC, yang mana ramai sudah berkhidmat untuk masyarakat Melayu/Islam selama beberapa dekad lamanya.



Namun, mereka menanti-nantikan pembaharuan kepada bangunan lama itu, yang kini sepi pada kebanyakan hari.



Encik Abu Bakar Bagarib dari kedai Siti Rugaiyah Collection di tingkat dua, berkata beliau menyaksikan perniagaan semakin kurang tahun demi tahun, yang mungkin kerana bangunan itu sudah lama dan tiada penyewa utama seperti pasar raya dan tempat makan yang dapat menarik pengunjung ke TKC.



Kedai Siti Rugaiyah Collection, sebuah perniagaan kendalian keluarganya, sudah berada di TKC selama 22 tahun.



Namun begitu, Ramadan merupakan bulan paling meriah bagi banyak perniagaan di TKC, termasuk kedainya, dengan kehadiran orang Melayu yang sibuk berbelanja.



"Bagusnya orang kita ini, mereka boleh belanja besar untuk Hari Raya. Itu yang buat kita senang sikit dan dapat bertahan sehingga enam bulan seterusnya," kata beliau.



Encik Abu Bakar telah meninjau tempat lain untuk mendapatkan ruang runcit alternatif apabila TKC ditutup nanti, namun buat masa ini belum menemui tempat yang sesuai.



Beliau berharap dapat kembali ke TKC apabila kerja naik taraf selesai nanti.



"Kalau umur panjang dan saya sihat, saya akan sertai tender. Memandangkan ia bangunan baru, tingkat tiga pun saya boleh cuba. Ramai orang akan datang kerana mereka mahu lihat tempat baru… Tetapi tempat baru selalu susah nak dapat kerana permintaannya tinggi," kata beliau.



Cik Lubna Osman Bamadhaj, pemilik kedai pakaian Bamadhaj Brothers - yang berada di TKC sejak 12 tahun lalu - pula berkata belum pasti sama ada beliau akan kembali ke pusat beli-belah itu pada 2026 nanti.



Namun, beliau telah menghantar borang untuk melahirkan minat menyewa di situ kepada SLA.



Meskipun ada sedikit kesedihan, Encik Reza Fotohi, pemilik kedai Fotohi Carpet Gallery, berkata sudah tiba masanya bagi TKC dinaik taraf, dan beliau menanti-nantikan bangunan baru yang dipertingkat.



Perniagaan Fotohi Carpet Gallery sudah berada di TKC sejak 2000.



"Saya pasti mahu kembali meskipun jika harga sewa naik. Saya sudah berada di sini begitu lama. Saya tidak boleh lupakan dan tinggalkan tempat ini begitu sahaja.



"Meskipun saya hanya seorang penyewa, saya rasa sebahagian daripada tempat ini," kata beliau.



SLA, dalam jawapannya kepada pertanyaan Berita Minggu (BM), berkata penyewa yang ingin kembali ke TKC selepas kerja-kerja naik taraf selesai boleh mendaftarkan minat dengan pihak mereka.



"Kadar sewa di TKC yang diberbaharui akan disandarkan kepada kadar pasaran semasa," kata jurucakapnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >