SEPANJANG sejarah kehidupan di muka bumi ini, manusia tidak akan terlepas daripada masalah kemiskinan.
Kita juga dapat melihat bagaimana manusia dari zaman ke zaman berusaha dengan pelbagai cara dan ragam untuk mengatasinya, kata Ustaz Muhammad Haziq Mohamed Yasin.
Tidak kiralah negara tersebut negara yang maju ataupun canggih, pasti terdapat segelintir atau sebahagian daripada penduduknya yang menghadapi kemiskinan, katanya yang merupakan pegawai dakwah di Masjid Ahmad.
APAKAH PERANAN ZAKAT DALAM ISLAM?
Menurut Ustaz Muhammad Haziq, agama Islam diturunkan dan diperkenalkan sebagai rahmatan lil 'alamin, yang bermaksud rahmat untuk seluruh alam, sebagaimana disebut dalam Surah al-Anbiya' ayat 107:
"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."
Ustaz Muhammad Haziq menjelaskan berdasarkan ayat tersebut, adalah menjadi salah satu misi agama untuk membentuk masyarakat yang membangun.
"Demi mendidik masyarakat Islam kita untuk menerapkan sikap tersebut, kewajipan zakat merupakan suatu simbol ataupun tanda kepedulian sosial terhadap kemiskinan yang berlaku dalam kalangan umat manusia.
"Zakat bukan hanya amalan yang difardukan ke atas setiap Muslim, tetapi ia juga dapat mengatasi masalah sosial dalam kalangan masyarakat tersebut, seperti kemiskinan.
"Sekali gus menjadikan masyarakat itu lebih peka tentang golongan memerlukan," kata Ustaz Muhammad Haziq.
BILAKAH ZAKAT DISYARIATKAN?
Zakat disyariatkan untuk umat Islam pada tahun kedua Hijrah setelah Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, tidak lama sebelum puasa difardukan.
Berdasarkan hadis Baginda saw yang bermaksud:
"Rasulullah saw telah memfardukan zakat fitrah, iaitu satu gantang tamar atau satu gantang sya'ir pada bulan Ramadan ke atas setiap orang Islam, sama ada yang bebas atau hamba lelaki atau perempuan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ustaz Muhammad Haziq berkata sebelum ini, zakat masih belum lagi disyariatkan bagi umat Islam.
Ayat-ayat Al-Quran yang turun sebelum ini hanya mengingatkan kita agar orang mukmin pada waktu itu mengeluarkan sebahagian harta kekayaannya untuk golongan miskin di kota Makkah.
Perintah tersebut hanyalah sekadar satu anjuran, belum difardukan lagi. Allah berfirman dalam Surah Anfal, ayat 72:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berkorban dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar - Muslim penduduk Madinah) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain."
ADAKAH PERLAKSANAAN ZAKAT DISEBUT DALAM AL-QURAN?
Setelah keadaan ekonomi umat Islam pada waktu itu berkembang dan menjadi lebih baik, pelaksanaan zakat sesuai dengan hukumnya mula dijalankan di kota Madinah.
Allah swt berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 110, yang bermaksud:
"Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan."
Ustaz Muhammad Haziq berkata kewajipan zakat dalam ayat tersebut bukan lagi hanya sekadar anjuran bahkan sebagai satu perintah daripada Allah swt untuk mengeluarkan zakat.
Pada masa yang sama juga, kadar zakat telah ditetapkan dengan jumlah dan nilai yang tertentu.
Bentuk-bentuk harta yang wajib dizakati, golongan yang harus membayar zakat dan juga golongan atau asnaf yang berhak menerimanya, semuanya diterangkan dengan jelas dan terperinci berbanding sebelum ini yang hanya berdasarkan kemurahan hati umat Islam.
Sejak saat itu, zakat yang pada asalnya sebagai satu anjuran sahaja telah berkembang menjadi satu kewajipan agama dan sosial yang setiap Muslim perlu tunaikan, ujar Ustaz Muhammad Haziq.
ZAKAT PADA ZAMAN SEBELUM DAN SELEPAS KEWAFATAN RASULULLAH
BAGAIMANAKAH ZAKAT DIKUMPULKAN PADA ZAMAN RASULULLAH SAW?
Pada zaman Rasulullah saw, Baginda telah membentuk baitulmal (rumah harta) yang melakukan pengumpulan dan pengagihan zakat.
Baginda saw sendiri yang mengingatkan umat Islam pada waktu itu untuk melaksanakan zakat, dan Baginda saw juga yang turut serta mengumpulkan dan mengagihkan zakat tersebut dengan pertolongan para sahabat-sahabat.
Pada zaman Khulafa' Ar-Rasyidin, terutamanya pada zaman Khalifah Abu Bakar ra, ada sebahagian daripada umat pada waktu itu enggan membayar zakat, atas alasan bahawa wafatnya Rasulullah saw telah menggugurkan kewajipan zakat tersebut.
Khalifah Abu Bakar ra pada waktu itu memerangi mereka yang enggan membayar zakat, demi membela hak orang-orang miskin atas orang yang kaya dan perang ini dinamakan Harbu Riddah.
PERNAHKAH ZAKAT DIUBAH SETELAH WAFATNYA RASULULLAH SAW?
Ustaz Muhammad Haziq berkata apabila kita melihat pada zaman Khalifah Umar Ibn Al-Khattab ra pula, beliau menetapkan suatu hukum itu berdasarkan realiti sosial pada waktu itu.
Antaranya, Khalifah Umar ra menghapuskan zakat bagi golongan mualaf dan menetapkan zakat atas kuda yang pada zaman Rasulullah saw tidak pernah terjadi.
Khalifah Umar tidak memberikan zakat kepada mualaf kerana menganggap kebanyakan orang yang memeluk Islam ketika itu adalah kaya dan berkemampuan. Di antara mereka ialah Suhail bin Amr, Aqra' bin Usai, dan Muawiyyah bin Abi Sufyan.
Manakala zakat kuda, pada zaman Nabi Muhammad saw zakat tersebut tidak diwajibkan, kerana kuda hanya diperlukan untuk peperangan.
Sebaliknya, pada zaman Khalifah Umar, zakat dikenakan ke atas kuda, kerana kuda telah dikembangkan sebagai binatang ternakan.
Tindakan Khalifah Umar ra bukan bererti mengubah hukum agama tetapi beliau hanya mengubah fatwa, bersesuaian dengan perubahan zaman yang jelas berbeza daripada zaman Rasulullah saw.
CONTOH KEBERKESANAN ZAKAT DALAM SEJARAH ISLAM
Setelah berkembangnya negara-negara Islam, kekayaan negara Islam mulai melimpah-ruah sehinggakan jumlah zakat melebihi daripada mencukupi bagi asnaf (yang berhak menerima zakat).
Ustaz Muhammad Haziq berkata ini boleh dilihat lagi-lagi pada zaman Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, kerana ketegasan dan kebijaksanaan dalam hal ekonomi negara dan zakat, ia dapat membuahkan hasil yang baik bagi masyarakatnya.
Di zaman pemerintahnya, bukan sahaja beliau memastikan zakat itu dilaksanakan oleh masyarakatnya yang berkemampuan, bahkan beliau juga berdakwah akan pentingnya bersedekah.
Ini membuat baitulmal pada zaman itu penuh dengan harta zakat dan sedekah.
Kegemilangan dan kekayaan umat Islam pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini termaktub di dalam kitab-kitab sejarah.
"Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, simbol kewajipan zakat itu masih hidup dalam kalangan umat Islam.
"Kalau kita lihat di Singapura sendiri, hasil zakat tersebut disesuaikan mengikut perubahan dan keperluan masyarakat kita.
"Bukan hanya yang fakir dan miskin sahaja dapat memanfaatkan zakat di sini, malah asnaf-asnaf yang lain juga dapat menerima manfaat tersebut mengikut keperluan masing masing.
"Yang pasti, kesemua lapan asnaf seperti yang disyariatkan di dalam Al-Quran menerima hak agihan masing-masing,'' kata Ustaz Muhammad Haziq.