Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SOP Covid-19 M'sia tidak mampu bertahan dalam jangka panjang

Jan 31, 2022 | 05:30 AM



PELAKSANAAN Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menangani penularan Covid-19 tidak mampu bertahan dalam tempoh jangka panjang. Penyelesaiannya, memastikan semua mereka yang perlu menerima dos penggalak atau yang masih belum divaksin untuk tampil menerima suntikan.



Pada masa yang sama, turun dan naik kes baru Covid-19 tidak dapat dielakkan berdasarkan kepada berbagai sebab antaranya pelanggaran SOP selain sikap tidak peduli masyarakat mengenai bahayanya virus tersebut.



Menurut Profesor Madya (Perubatan), Dr Malina Osman, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), negara tidak boleh bergantung kepada SOP selamanya kerana fokus kehidupan perlu diteruskan bagi memastikan kelangsungan aktiviti sektor utama seperti ekonomi, pendidikan, rekreasi dan kemasyarakatan.



"Saya cenderung untuk menyarankan agar vaksin diberikan mandat (diwajibkan) dalam semua perkhidmatan yang melibatkan masyarakat awam seperti institusi pendidikan bagi membolehkan semua mereka yang berurusan dapat dilindungi; dan juga kepada keluarga serta individu yang rapat,'' katanya kepada Berita Harian.



Bagi Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, keutamaan kini kepada rakyat dewasa 18 tahun ke atas menerima dos penggalak dan sentiasa menjaga SOP di mana saja.



"Pada masa sama, adalah sangat perlu kita mengekalkan kesihatan diri yang baik agar kita tidak terkena komorbiditi seperti obesiti, darah tinggi, kencing manis dan jantung. Jika seseorang itu perokok, silalah dapatkan bantuan untuk berhenti atau beralih ke rawatan nikotin yang disediakan di farmasi atau klinik.



"Ini kerana mangsa Covid-19 akan meneruk apabila mereka turut mempunyai komorbiditi seperti yang saya sebutkan itu dan bagi mereka yang merokok, paru-paru akan rosak, " katanya.



Terbaru, Malaysia merekodkan trend peningkatan terhadap purata kes aktif Covid-19 bagi Minggu Epidemiologi kedua (ME 2/2022) dari 9 hingga 15 Januari.. Purata kes aktif meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada 39,507 kes pada ME 2/2022 daripada 38,581 kes pada ME pertama (ME 1/2022) (2 hingga 8 Januari 2022).



Menurut Profesor Dr Sharifa Ezat, berlakunya peningkatan kes baru meskipun negara kini sudah masuk fasa dos penggalak, kerana masih ramai lagi yang belum mengambil dos penggalak malah ramai lagi rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak bawah 12 tahun yang belum divaksin.



Menurutnya, apabila negara memasuki fasa 4, dan kelonggaran SOP berlaku termasuk kehadiran di tempat kerja dan premis makanan, maka banyak pergaulan berlaku sekali gus jangkitan baru akan terjadi.



"Bagaimanapun, yang utama ialah sejauh mana kategori teruk berlaku (kategori 3-5) yang memerlukan mereka masuk wad dan bantuan pernafasan.



"Setakat ini, sungguhpun kebanyakan kes adalah Covid-19 kategori rendah (kategori 1-2) dan ini sangat baik sekali, tetapi masih ada lagi kes yang memerlukan kemasukan ke wad dan kes kematian,'' katanya.



Dr Malina pula berpandangan untuk memberikan ulasan tentang pola semasa, beliau berpendapat terjemahan data perlu dilihat sepanjang tempoh tiga hingga enam bulan sebelum ini.



Katanya, data untuk dua minggu tidak cukup untuk diberikan ulasan serta sukar untuk menyimpulkan situasi sebenar.



"Dos penggalak telah pun bermula sejak November lalu, namun pemberian secara intensif bermula sejak beberapa hari lepas melalui pembukaan PPV (Pusat Pemberian Vaksin) yang menyediakan kemudahan vaksin secara jumpa terus.



"Melihat kepada pola wabak, saya berpendapat pola masih dalam keadaan "plateauing" (mendatar) yang mana kes aktif kekal dalam julat 39-41K.



"Dibandingkan pula dengan kadar yang sudah menerima dos penggalak, serta kelonggaran SOP yang telah dibenarkan; saya berpendapat situasi secara umum adalah terkawal. Kita berharap pematuhan SOP dan penerimaan dos penggalak akan terus dipergiat bagi membolehkan kemungkinan ledakan oleh Omicron dapat dibendung, " katanya.



Menurut pakar penyakit berjangkit, Profesor Annelies Wilder Smith dari London, Omicron bukan varian terakhir, kemungkinan besar akan muncul varian lain.



Pengarah Eksekutif, Program Kecemasan Kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Michael Ryan, pula menjelaskan virus Covid-19 tidak akan berakhir tahun ini, sebaliknya ia akan menjadi sebahagian daripada ekosistem.



Dr Sharifa Ezat bersetuju virus SARS-CoV-2 ini mudah bermutasi dan mengeluarkan varian baru terutama dalam kalangan penduduk benua atau negara yang rendah kadar vaksinnya. Contoh yang lepas ialah Delta dari India manakala Omicron dari Afrika Selatan.



Menurut Dr Sharifa Ezat lagi, varian tersebut pula bergerak mengikut pergerakan manusia ke negara lain dan varian baru dijangka terus muncul dalam kalangan penduduk dunia.



"Kita berharap dengan masa, varian baru akan kurang patogenik (kurang bahaya) dan akan menular menjadi endemik. Sementara itu, kita sentiasa perlu bersedia menghadapi varian baru, dan sekiranya ada vaksin khas terhadap varian ini pula muncul untuk digunakan,'' katanya.



Bagi Dr Malina, secara semula jadi ia jadi sedemikian kerana perubahan struktur virus penyebab sehingga membentuk varian baru.



Namun, menurutnya, sama ada ia memberikan kesan klinikal ataupun tidak bergantung kepada sifat virulen atau kemampuannya menyebabkan sesuatu jangkitan yang memerlukan data serta cerapan di lapangan.



“Saya cenderung untuk menyarankan agar vaksin diberikan mandat (diwajibkan) dalam semua perkhidmatan yang melibatkan masyarakat awam seperti institusi pendidikan bagi membolehkan semua mereka yang berurusan dapat dilindungi; dan juga kepada keluarga serta individu yang rapat.’’
– Profesor Madya (Perubatan), Dr Malina Osman, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), yang berkata negara tidak boleh bergantung kepada SOP selamanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >