Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

GAYA HIDUP

Tak mudah jadi ikan bilis dalam ‘lautan’ penuh gelora

Suhaimi Yusof singkap liku-liku kerjaya daripada penyiar radio, ke karyawan bebas dan kini bersama Jamiyah Singapura
Jun 07, 2023 | 02:48 PM



Selama lebih dua dekad personaliti komedi, Suhaimi Yusof bekerja sendiri dan mengharungi lautan yang dipenuhi “jerung, paus dan ubur-ubur yang menyengat”.

Namun beliau tabah menentang arus, sehingga daripada sekadar “ikan bilis di tengah lautan”, beliau akhirnya berjaya memantapkan kerjaya menjadi antara personaliti hiburan tempatan yang mampu merentasi saluran dan dikenali masyarakat berbilang kaum, daripada peringkat akar umbi ke pemimpin negara. 

Justeru, setelah berjaya berdikari membina nama, mengapa Suhaimi, 54 tahun, memilih untuk kembali “makan gaji”, bahkan menyertai sebuah badan kemasyarakatan Islam yang tentunya akan mengehadkan perjalanannya dalam bidang hiburan?

Suhaimi, sejak awal 2022 telah bertugas di Jamiyah Singapura, menyandang jawatan Pengarah Komunikasi Strategik. Tugasnya antara lain menyelaraskan semua kegiatan dan bahan-bahan media yang dapat mendekatkan masyarakat dengan pertubuhan tersebut.

Dalam temu bual eksklusif bersama Berita Harian baru-baru ini, Suhaimi, yang pernah bertugas sebagai penyiar di radio Warna 942 FM dari 1991 hingga 2001, berkata beliau sebenarnya telah ditawarkan menyertai Jamiyah secara sepenuh masa seawal 2019 oleh Presidennya, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar.


Ketika itu beliau diminta menghasilkan satu siri video untuk badan tersebut. Namun pada masa itu, beliau belum bersedia kerana masih ligat menerima pelbagai projek sebagai seorang karyawan bebas atau ‘freelancer’.

“Namun selepas usia melangkah ‘50 sen’, sebagai seorang Melayu/Islam, saya lebih memikirkan penghujung hayat ini kita nak buat apa. Saya terfikir tentang persaraan. Kata orang, nak masuk kubur pun kita kena ada rancangan. Saya memikirkan, apakah kegiatan yang boleh saya lakukan sebelum akhir hayat?” kata Suhaimi, menjelaskan bagaimana hatinya mula berbolak-balik mengenai rancangan masa depan.

Menurut beliau, peluang kedua untuk beliau menyertai Jamiyah akhirnya disahut apabila Naib Presiden Jamiyah, Encik Jaffar Maidin, ketika bertemunya pada satu ketika, bertanya kalau-kalau beliau mengenali sesiapa yang boleh membantu Jamiyah dalam pengurusan media sosial, beliau secara spontan menawarkan dirinya sendiri.







“Bekerja dengan Jamiyah, ada 50 peratus untuk ukhrawi. Saya rasa senang hati bila kerja keras saya, sebahagiannya masuk saham akhirat,” ujar beliau yang pada 2022 juga berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Penerbitan Media Penyiaran dengan Kepujian Kelas Pertama, dari Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS).

Antara tugas awalnya adalah mengendalikan urusan komunikasi bagi sambutan ulang tahun Jamiyah ke-90, selain kegiatan besar lain seperti Singapore Muslim Festival (SMF) 2023, malam Nuzul Al-Quran, bahkan menyertai misi ke Mesir baru-baru ini.

Beliau turut memanfaatkan bakatnya dalam bidang pengacaraan dengan menerajui bermacam acara pentas anjuran Jamiyah.

Menariknya, beliau turut menarik rakan kerjanya daripada radio, Hassan Salleh, menyertai Jamiyah. Hassan bertugas sebagai Ketua Jabatan Pemasaran dan Perhubungan (Marcomm) badan tersebut.

“Selain tugas rasmi, banyak lagi kerja-kerja yang tak disangka akan kita buat bila bersama badan kemasyarakatan seperti ini.

“Semangat gotong-royong cukup kuat. Kalau nak tahu, selain tugas Pengarah Komunikasi Strategik, saya juga pernah tolong jadi amil, pungut sedekah dan zakat. Macam mana saya tak rewang… bila ada majlis besar-besar, saya tengok pengarah-pengarah lain singsing lengan potong daging, tolong hantar barang-barang. Takkan saya nak tengok saja?” selorohnya.

Berikut adalah petikan temu bual dengan Suhaimi mengenai pengalamannya sebagai ‘freelancer’ hinggalah akhirnya menerima tawaran bertugas bersama Jamiyah Singapura.

PENGALAMAN KALI PERTAMA TIDAK LAGI ‘MAKAN GAJI’

“Kali terakhir saya makan gaji adalah pada 2001. Masuk SBC (Perbadanan Penyiaran Singapura, kini Mediacorp) pada 1991 sebagai deejay dan penyiar. Genap 10 tahun, berhenti kerja untuk jadi ‘freelancer’ sebab nak bebaskan diri daripada struktur korporat. Lepas berhenti kerja, dari 2001 hingga 2002, saya tak makan gaji. Dalam kocek duit tak banyak… simpanan masa itu hanyar $1,200. Ada tiga anak, isteri tak bertugas… seram juga. Boleh bertahan tak sampai dua bulan… mana nak isi minyak kereta dan lain-lain. Sebab itu, terpaksalah makan sikit-sikit.”


PERJALANAN SEBAGAI ARTIS ‘FREELANCER’

“Saya ibarat sardin yang dicampakkan di tengah lautan. Ada jerung, ada paus ada ubur-ubur yang boleh menyengat. Bersendirian terkapai-kapai tak ada tempat nak mengadu. Kalau bersama badan korporat, kita ada penasihat yang uruskan soal kontrak dan segalanya. Pernah juga kena tipu beberapa kali… janji bayar sekian, dapat sampul surat dengan bayaran yang jauh kurang. Pernah cuma dapat $70 saja. Tak dapat bayaran langsung pun pernah. Hantar surat saman pun orang tak layan. Justeru saya cepat-cepat meletakkan diri dalam ‘survival mode’. Saya tubuhkan syarikat sendiri untuk melindungi diri saya sendiri dan agar orang ambil lebih serius bila berurusan dengan kita. Pakai peguam untuk urusan kontrak.

“Pada 2002, baru jumpa teman setaman, Allahyarham Ishak Ahmat dan kami sama-sama dapat tawaran menjayakan rancangan ‘Selamat Pagi Singapura’ di samping hos Sujimy Mohd dan Aina Embit. Kemudian barulah dapat kerja sana sikit sini sikit. Dan kemudian masuk Channel 5, untuk drama ‘Living With Lydia’. Sejak itu, peluang demi peluang mula terbuka.”

AKIBAT ‘GATAL’ BUKA KEDAI MAKAN

“Kita ni, suka makan dan bila cakap pasal makan, rasanya inilah bisnes yang tak akan rugi sebab semua orang perlu makan. Sebab itu, tengok orang buka kedai makan, kita pun konon nak buka kedai makan. Konon sebagai jaringan keselamatan… walhal tak tahu bahawa jaring itu akan semakin menarik kerugian yang lebih besar. Pengajarannya, janganlah masuk daerah yang kita tak ada kemahiran. Lepas setahun setengah, saya sedar, bakat saya adalah makan, bukan uruskan kedai makan.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >