Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SEKITAR RAMADAN

Tidak kerja selepas kaki dipotong, dua anak pula meninggal...

Kisah Ezol bagai jatuh ditimpa tangga; zakat antara sumber bantuan
Apr 23, 2021 | 05:30 AM



SETIAP kali terdapat agihan habuan makanan oleh mana-mana badan kebajikan di kejiranannya, Encik Ezol Kafli Abdullah tidak akan terlepas untuk mendapatkannya.



Ini kerana beliau yang tidak mampu bekerja akibat kudung kededua kakinya kerana penyakit kencing manis amat bergantung pada habuan makanan sedemikian bagi menampung keluarganya.



Baginya, inisiatif pengagihan tersebut - yang diberikan kepada golongan memerlukan daripada kelab masyarakat atau cawangan akar umbi berdekatan rumahnya di kawasan Yishun Ring Road - memberinya peluang untuk melaksanakan tanggungjawabnya menjaga keperluan keluarga tercinta.



"Saya suka kerja tetapi apabila kededua kaki sudah dipotong, saya tak boleh buat apa-apa.



"Saya tidak kira bangsa. Sesiapa hendak kasi, saya terima, asalkan halal. Saya tidak boleh duduk rumah tunggu duit jatuh sebab isteri, anak dan cucu saya perlu hidup," kata Encik Ezol, 63 tahun.



Selain agihan habuan tersebut, Encik Ezol sekeluarga juga menerima bantuan Zakat bulanan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bernilai $300.



Bantuan bulanan itu diterimanya sejak Oktober tahun lalu.



Sebelum 2014, kehidupan Encik Ezol adalah seperti keluarga biasa. Bapa tiga anak itu tinggal di sebuah flat tiga bilik miliknya di Yishun yang sudah pun habis dibayar.



Namun sejak tahun tersebut, kehidupannya mula dilanda dugaan demi dugaan.



Pada tahun 2014, anak sulungnya meninggal dunia dalam satu kemalangan.



Belum sempat beliau mengeringkan air mata, Encik Ezol yang ketika itu bertugas sebagai seorang pengawal keselamatan - jawatan yang disandangnya selama 15 tahun - terpaksa berhenti kerja kerana kaki kirinya perlu dipotong akibat penyakit kencing manis yang melarat.



Tiga tahun kemudian kaki kanannya juga dipotong atas sebab yang sama.



Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, anak perempuannya pula - anak keduanya - meninggal dunia akibat serangan jantung pada tahun lalu.



"Saya reda. Saya kuat sebab ada isteri, anak dan cucu saya," kata Encik Ezol.



Kini beliau tinggal bersama isterinya, Cik Rohani Rahmat, 60 tahun; anak bongsunya, 15 tahun, yang menuntut menengah tiga, dan dua cucunya berusia enam dan 12 tahun.



Beliau mempunyai empat cucu - kesemuanya merupakan anak Allahyarhamah anak keduanya.



Selain penyakit kencing manis, Encik Ezol juga mengalami penyakit kronik lain seperti masalah buah pinggang dan sakit jantung.



Bagi mengawal penyakit kencing manisnya, beliau perlu menyuntik insulin dua kali sehari dan menjalani pemeriksaan kesihatan di poliklinik setiap tiga bulan.



Biarpun keadaan fizikalnya serba kekurangan, Encik Ezol tetap cekalkan hati untuk menjaga keperluan isteri, anak dan cucunya.



"Saya kira saya bertanggungjawab terhadap isteri, anak dan cucu saya tetapi saya tidak berupaya bekerja. Sungguhpun saya begini, saya boleh bergerak (dengan skuter mobiliti).



"Ini yang buat saya mampu bertanggungjawab, hantar cucu ke sekolah dan kadang-kadang saya ke pasar," kata Encik Ezol.



Ditanya mengenai wang Zakat yang diterimanya, Encik Ezol berkata beliau menggunakannya untuk membayar bil elektrik dan air, dan membeli barang keperluan dapur.



Bakinya, beliau gunakan buat wang saku atau tambang pengangkutan anak dan cucunya.



Encik Ezol bersyukur kerana anak dan cucunya juga menerima Skim Bantuan Kewangan Kementerian Pendidikan (MOE-FAS) bagi menampung keperluan pendidikan mereka.



Selain itu, Encik Ezol turut menerima bantuan di peringkat nasional daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO).



"Saya bersyukur saya masih boleh bergerak, berbanding orang yang terlantar di katil.



"Maka, saya bersyukur kepada Allah beban saya dikurang dengan bantuan wang Zakat Muis.



"Muis telah bantu ringankan perjalanan hidup saya," kata Encik Ezol.




PANDUAN ZAKAT



Cara tunaikan zakat menerusi Muis



Berikut kaedah pembayaran zakat yang disediakan tahun ini:



  • Laman www.zakat.sg (PayNow, eNETS, Kad Debit)

  • Stesen AXS (Kad Nets, Kad Kredit)

  • Kiriman cek ke Muis di 273 Braddell Road, Singapura 579702

  • Aplikasi bank: DBS (Zakat Harta), OCBC (Zakat Harta), dan CIMB (Zakat Harta & Zakat Fitrah)

  • Bayaran tunai di kaunter Muis and masjid-masjid tertentu (janji temu diperlukan)

  • Untuk maklumat lanjut hubungi: 6359 1199




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >