Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CATATAN WARTAWAN

Usah sisih pekerja jagaan kesihatan, terus sokong mereka urus risiko penularan

May 20, 2021 | 05:30 AM



LAPORAN tentang kakitangan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) yang mengalami diskriminasi apabila terdapat penularan Covid-19 di hospital itu memang menyedihkan.



Apatah lagi golongan tersebut - merangkumi bukan sahaja pekerja penjagaan kesihatan, bahkan pekerja lain termasuk pekerja pembersihan dan pentadbiran - giat dan sedia berkorban memerangi Covid-19 di barisan depan.



Ada kakitangan hospital itu yang melaporkan sukar mendapatkan teksi atau kereta sewa privet, sukar menempah hotel, atau dijauhi orang ramai di tempat awam apabila mengenakan seragam mereka.



Baru sekitar setahun lalu, warga Singapura berkobar-kobar menyertai 'tepukan beramai-ramai' dari rumah untuk meluahkan penghargaan kepada pekerja dalam industri penjagaan kesihatan.



Kini, apabila kelompok jangkitan pertama timbul di hospital Singapura, ini sama sekali bukan masanya bagi masyarakat untuk menyisihkan golongan ini. Malah, sikap ini tidak dapat diterima langsung.



Pada masa yang sama, kebimbangan orang awam tentang risiko penularan Covid-19 memang dapat difahami, terutama sekali bagi penyedia khidmat seperti pemandu teksi dan kereta sewa privet, yang juga berhak berasa selamat semasa bertugas.



Pemandu teksi atau kereta sewa privet yang menolak tempahan daripada kakitangan TTSH mungkin berbuat demikian kerana tidak sanggup menghadapi risiko dan mahu melindungi ahli keluarga sendiri yang mudah terjejas dengan virus tersebut.



Mereka juga mungkin rasa kurang yakin atau kurang dilatih untuk mengurus risiko tersebut.



Untuk memenuhi keperluan ini, syarikat kereta sewa privet Grab telah memperkenalkan GrabCare, khidmat khusus yang membawa pekerja penjagaan kesihatan ulang alik ke hospital.



Dilaporkan bahawa Grab telah menjalankan satu lagi usaha untuk merekrut pemandu bagi inisiatif ini, yang kini mempunyai lebih 12,000 pemandu yang sedia menawarkan khidmat tersebut.



Pemandu di bawah inisiatif ini wajar diberi ganjaran tambahan dan dilatih dengan secukupnya agar bersedia untuk membawa pekerja hospital dengan selamat.



Oleh itu, pelbagai pihak termasuk majikan dan sektor privet boleh memainkan peranan untuk memastikan terdapat peruntukan secukupnya untuk memenuhi keperluan pekerja sektor penjagaan kesihatan, dari segi pengangkutan mahupun penginapan sementara.



Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada orang awam yang mungkin tidak mampu untuk menggalas risiko tersebut.



Namun, orang awam boleh memainkan peranan mereka untuk terus memberi sokongan moral kepada pekerja penjagaan kesihatan.



Malah, tidak salah bagi orang ramai untuk mendekati pekerja ini, apabila mereka berada di tempat awam dengan seragam mereka, untuk mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka.



Mereka tidak perlu berasa 'jijik' dengan jururawat yang memakai seragam di tempat awam, sedang golongan ini telah dilatih untuk menjalani prosedur pembersihan yang ketat untuk memastikan mereka tidak menyebarkan virus.



Saya pasti pekerja penjagaan kesihatan akan melakukan sedaya upaya untuk mencegah penularan virus ini, bukan sahaja untuk melindungi orang awam, bahkan keluarga dan diri mereka sendiri.



Saya juga pasti kes Covid-19 yang timbul di hospital itu juga membimbangkan pekerja pekerjaan kesihatan dan ahli keluarga mereka, dan kejadian itu merupakan peringatan terhadap risiko tugas mereka.



Bahkan, ada yang bersedia secara sukarela mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan tersayang, termasuk pekerja Muslim di tengah-tengah musim Hari Raya, semata-mata untuk melindungi orang tersayang mereka daripada risiko jangkitan.



Mujur kelompok jangkitan di TTSH pantas dikawal. Ini berkat kerja keras dan tindakan yang diambil kakitangan hospital itu juga.



Sekitar tiga minggu setelah seorang jururawat TTSH disahkan positif, hospital tersebut, yang sebelum ini tidak menerima pesakit baru buat sementara waktu, pada Selasa sudah mula dibuka semula secara bertahap-tahap.



Pada masa yang sama, hospital itu akur risiko terhadap pekerja penjagaan kesihatannya terus wujud.



Pekerja penjagaan kesihatan dan semua pekerja baris depan lain, dari pekerja di lapangan terbang hingga pekerja imigresen di pusat pemeriksaan lain, terus berdepan dengan risiko ini.



Jika orang awam tidak sanggup untuk berdepan dengan tahap risiko yang dihadapi golongan ini, kita sewajarnya terus memastikan ada peruntukan secukupnya untuk mengurus risiko penularan, atau sekurang-kurangnya memberi sokongan moral.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >