Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

TAHUN BARU, PERMULAAN BARU

Usaha jana pertumbuhan, pekerjaan baru antara tumpuan 2022

Dalam ucapan Tahun Barunya, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, menggariskan harapan dan matlamat negara ini, yang melebihi menangani Covid-19, bagi tahun 2022 yang dijangka menjadi tempoh peralihan bagi Singapura. Berikut sedutan ucapan beliau.
Jan 01, 2022 | 05:30 AM



KITA telah bergelut dengan Covid-19 selama dua tahun sekarang. Ia merupakan perjuangan yang panjang dan sukar. Pemerintah terpaksa mengambil langkah drastik untuk melindungi nyawa dan mata pencarian.



Hasilnya, pemerintah berjaya memastikan sistem penjagaan kesihatan kita berdaya tahan dan mengelakkan kadar kematian yang tinggi. Belanjawan-belanjawan pemerintah telah menyelamatkan pekerjaan dan membantu ekonomi kembali pulih.



Melangkah ke tahun baru, usaha memerangi Covid-19 belum lagi berakhir. Varian Omicron membawa ketidakpastian baru. Mujur, kedudukan kita kini lebih kukuh berbanding dua tahun yang lalu.



BUKAN SEKADAR TANGANI COVID-19



Sedang kita bersiap siaga untuk menghadapi impak Omicron, kita boleh berasa yakin di dalam hati bahawa kita mampu menangani apa juga cabaran yang mendatang.



Tugas utama kita bukan sekadar menangani Covid-19.



Kita mesti terus menjana pertumbuhan baru, pekerjaan baru dan kemakmuran dalam ekonomi pascapandemik.



Sebahagian besar daripadanya akan bergantung pada persekitaran global dan serantau yang stabil, terutamanya hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.



Bagi pihak pemerintah, Singapura akan terus berunding dengan rakan kongsi kita, baik yang dekat mahupun jauh.



Kami akan meneruskan usaha menuju pelonggaran halangan perdagangan dan integrasi serantau demi manfaat rakyat kita, termasuk melalui Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau yang akan berkuat kuasa pada hari pertama 2022.



2022 TEMPOH PERALIHAN



Tahun yang akan datang merupakan satu tempoh peralihan.



Ekonomi kita sedang beransur pulih. Jika tiada aral melintang, ia seharusnya berkembang seiringan dengan kebangkitan ekonomi global.



Kami menjangkakan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) kita akan tumbuh sebanyak antara tiga hingga lima peratus pada 2022.



Kami akan menghentikan langkah-langkah bantuan kecemasan secara bertahap-tahap sedang perniagaan beransur pulih, walaupun beberapa sektor akan mengambil masa yang lebih lama.



Kami akan menyambung semula perjalanan rentas sempadan secara selamat dan berhubung semula dengan seluruh dunia, sekiranya situasi Omicron bertambah baik.



Kami juga akan mempertingkatkan usaha untuk membawa masuk pekerja migran dan memastikan bakat antarabangsa berasa dialu-alukan dan dapat melengkapi rakyat Singapura kita.



Selain ramalan dalam jangka masa terdekat, kami sedang membuat perancangan lebih awal untuk mencapai matlamat jangka panjang.



Kami akan meneruskan usaha transformasi industri kita untuk mempertingkatkan kekuatan yang sedia ada.



Kami juga akan membantu syarikat-syarikat untuk menyusun semula dan para pekerja mempertingkatkan kemahiran mereka.



Bersama-sama dengan perniagaan-perniagaan dan gerakan buruh, kami akan terus melabur dalam para pekerja kita agar mereka kekal produktif serta boleh diambil bekerja sepanjang kerjaya mereka.



Kami akan meneroka bidang-bidang pertumbuhan baru, termasuk dalam ekonomi digital dan hijau, dengan mengembangkan usaha kita menerusi perancangan Negara Bijak kita dan Pelan Singapura Menghijau 2030.



PERKUKUH KONTRAK SOSIAL



Pandemik ini merupakan dugaan yang hebat bagi generasi rakyat Singapura hari ini.



Ia menunjukkan kepada kita betapa pentingnya untuk kita berdiri teguh sebagai satu rakyat.



Krisis yang melanda kita ini bukanlah yang terakhir; kita akan mengalami lebih banyak ujian dan dugaan dalam perjalanan pembangunan negara kita. Kita mesti bersungguh-sungguh melawan tarikan arus luaran yang kuat yang boleh meluaskan jurang perselisihan dalam masyarakat kita.



Kita harus menghalangnya daripada memecahbelahkan kita.



Dengan matangnya kohort demi kohort rakyat yang mempunyai perspektif dan jangkaan baru, norma-norma dalam masyarakat kita akan berubah. Kita harus melakukannya dengan berhati-hati dan pada masa yang sama, mengekalkan nilai-nilai teras yang menjadikan kita rakyat Singapura.



Ini memerlukan kita untuk meneruskan usaha mengukuhkan kesepakatan sosial dan identiti bersama kita.



Kita mesti terus menjalin kepercayaan dan sikap saling memahami - baik antara pemerintah dan rakyat, mahupun dalam kalangan rakyat Singapura daripada apa jua latar belakang. Walaupun di tengah tengah pandemik ini, kita tidak mengabaikan tugas penting ini.



Pemerintah telah membenarkan para jururawat Muslim di hospital awam untuk memakai tudung dengan pakaian seragam mereka.



Kami sedang giat mengukuhkan keadilan di tempat kerja dan sokongan bagi kaum wanita, serta meningkatkan perlindungan dan persiapan bagi persaraan yang mencukupi untuk para individu yang bekerja sendiri.



Melangkah ke hadapan, kami akan berusaha untuk mengukuhkan kontrak sosial kita - dengan merapatkan jurang perselisihan yang semakin meluas akibat pandemik ini, membantu mereka yang ketinggalan, meningkatkan jaringan keselamatan bagi mereka yang memerlukan, menjaga kesihatan mental rakyat dan memenuhi keperluan masyarakat yang semakin menua. Inilah laluan menuju Singapura yang lebih adil, inklusif dan bersatu padu.



KUKUHKAN KEWANGAN UNTUK PEMBANGUNAN SETERUSNYA



Kita perlukan sebuah ekonomi yang bertenaga untuk menjana sumber yang diperlukan bagi merealisasikan matlamat yang amat dihargai ini.



Dan pemerintah mesti mempunyai sumber pendapatan yang boleh diharap dan mencukupi untuk melaksanakan program sosial.



Ia perlu meningkatkan hasil pendapatan untuk membiayai peluasan sistem penjagaan kesihatan kita dan skim-skim sokongan bagi rakyat Singapura yang lebih tua.



Mereka yang lebih berada seharusnya menyumbang bahagian yang lebih besar, tetapi semua orang harus menggalas sekurang-kurangnya sebahagian kecil daripada beban ini.



Ini sebab bagi menaikkan cukai berasas luas seperti GST, ditambah pula dengan sebuah skim imbangan yang menyeluruh bagi mengurangkan kesan ke atas keluarga berpendapatan rendah.



GST membentuk satu komponen penting dalam sistem cukai dan pemindahan kita yang turut merangkumi cukai pendapatan dan harta. Secara keseluruhan, sistem kita akan kekal progresif dan adil.



Pemerintah menjangkakan keperluan ini akan timbul sejak beberapa tahun yang lalu.



Memandangkan ekonomi kita kini sedang bangkit daripada Covid-19, kita perlu melaksanakan langkah tersebut. Oleh itu, Belanjawan 2022 akan menyediakan asas bagi kedudukan kewangan pemerintah yang kukuh dan mampan untuk tahap pembangunan Singapura yang seterusnya.




KRISIS DUGAAN HEBAT BAGI GENERASI HARI INI



“Pandemik ini merupakan dugaan yang hebat bagi generasi rakyat Singapura hari ini.

Ia menunjukkan kepada kita betapa pentingnya untuk kita berdiri teguh sebagai satu rakyat.

Krisis yang melanda kita ini bukanlah yang terakhir; kita akan mengalami lebih banyak ujian dan dugaan dalam perjalanan pembangunan negara kita. Kita mesti bersungguh-sungguh melawan tarikan arus luaran yang kuat yang boleh meluaskan jurang perselisihan dalam masyarakat kita.”



GST SUMBANG KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA



“Kita perlukan sebuah ekonomi yang bertenaga untuk menjana sumber yang diperlukan bagi merealisasikan matlamat yang amat dihargai ini. Dan pemerintah mesti mempunyai sumber pendapatan yang boleh diharap dan mencukupi untuk melaksanakan program sosial. Ia perlu meningkatkan hasil pendapatan untuk membiayai peluasan sistem penjagaan kesihatan kita dan skim sokongan bagi rakyat Singapura yang lebih tua. Mereka yang lebih berada seharusnya menyumbang bahagian yang lebih besar, tetapi semua orang harus menggalas sekurang-kurangnya sebahagian kecil daripada beban ini. 

Ini sebab bagi menaikkan cukai berasas luas seperti GST, ditambah pula dengan sebuah skim imbangan yang menyeluruh bagi mengurangkan kesan ke atas keluarga berpendapatan rendah.”



SINGAPURA LEBIH INKLUSIF



“Pemerintah telah membenarkan para jururawat Muslim di hospital awam memakai tudung dengan pakaian seragam mereka. Kami sedang giat mengukuhkan keadilan di tempat kerja dan sokongan bagi kaum wanita, serta meningkatkan perlindungan dan persiapan bagi persaraan yang mencukupi untuk para individu yang bekerja sendiri. Melangkah ke hadapan, kami akan berusaha untuk mengukuhkan kontrak sosial kita – dengan merapatkan jurang perselisihan yang semakin meluas akibat pandemik ini, membantu mereka yang ketinggalan, meningkatkan jaringan keselamatan bagi mereka yang memerlukan, menjaga kesihatan mental rakyat dan memenuhi keperluan masyarakat yang semakin menua. Inilah laluan menuju Singapura yang lebih adil, inklusif dan bersatu padu.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >