DEWAN solat asar pada hari-hari biasa di banyak masjid setempat lazimnya lengang - dengan hanya beberapa jemaah mengisi satu atau dua saf.
Namun, keadaan menjelang asar di Masjid Khadijah pada Jumaat amat berbeza dengan jemaah mula berkumpul dan memenuhi seluruh dewan solat.
Selepas solat Asar, tidak ada yang berganjak, malah bilangan jemaah semakin bertambah.
Mereka menanti ketibaan jenazah Allahyarham Ustaz Ali Mohamed - seorang tokoh agama dan pemimpin yang dihormati - untuk disolatkan.
Walau saf solat jenazah amat rapat, dewan terus padat dengan jemaah.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ustaz Ali ialah Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohd; di samping para asatizah termasuk Presiden Pergas dan pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Hasbi Hassan, yang mengimamkan solat jenazah, dan Mufti yang membacakan doa di masjid dan di pusara.
Sungguh syahdu.
Malah presiden dan perdana Menteri mengirim kawat takziah.
Presiden Presiden Halimah Yacob antara lain menyatakan Allahyarham memainkan peranan penting dalam menubuhkan RRG, menyatukan masyarakat untuk menentang penyelewengan tentang Islam.
Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, pula menyifatkan Allahyarham Ustaz Ali sebagai pemimpin berwawasan, tunggak utama masyarakat Melayu/Islam dan memainkan peranan penting dalam membangunkan masyarakat berbilang bangsa, berbilang agama yang sepadu di Singapura.
Penghormatan sedemikian menggambarkan pengaruh Allahyarham Ustaz Ali yang pernah menggalas pelbagai tugas, antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Pengerusi Bersama RRG, mantan pengerusi Masjid Khadijah dan wakil talkin tarikat Qadriyah Naksyabandiah.
PELBAGAI 'SONGKOK'
Allahyarham Ustaz Ali pernah memakai pelbagai 'songkok', antara pernah menjadi Presiden Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura (Pertapis) selama 10 tahun (1975 - 1985) dan kemudian menjadi Presiden Pergas (1985-1993).
Beliau juga adalah anggota Majlis Muis, anggota Lembaga Rayuan Muis, anggota Jawatankuasa Fatwa Muis dan anggota Masyaikh Pergas.
Khidmatnya kepada masyarakat terus terserlah dengan penglibatan dalam RRG, Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dan sebagai pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Masjid Khadijah, dan sebagai wakil talkin Tariqat Qadriyah Naksyabandiyah (TQN).
PENUBUHAN RRG
Menyusuli serangan pengganas ke atas menara kembar Pusat Dagangan Dunia di Amerika Syarikat pada 2001, kehadiran kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang berfaham ekstremis dikesan di sini. Beberapa anggotanya ditangkap pada Disember 2001 selepas plot mereka untuk menyerang beberapa tempat di sini terbongkar.
Allahyarham berasa terpanggil untuk memainkan peranan membetulkan fahaman radikal.
Dengan kerjasama beberapa ulama dan asatizah mapan yang menyedari pentingnya Muslim Singapura memahami agama sesuai dengan konteks negara ini, Allahyarham Ustaz Ali dan Ustaz Mohd Hasbi Hassan kemudian menerajui usaha membangunkan cara menentang ideologi ekstremis.
RRG lalu ditubuhkan pada 2003.
Antara perkara utama yang dilakukan RRG ialah memberi kaunseling kepada individu radikal dalam tahanan secara sukarela.
Tahun 2023, RRG akan menyambut ulang tahun ke-20 penubuhannya.
Banyak cabaran yang dilalui ketika menggalas tugas itu.
Antaranya pandangan serong sebahagian pihak dengan membubuh gelaran negatif seperti 'ustaz pemerintah'.
Namun itu tidak memberi bekas.
Pegangan Allahyarham - kita harus tahu apa yang kita perjuangkan.
"Yang penting, Allah tahu niat kita," kata Allahyarham Ustaz Ali.
ARS DAN ARB
Soal kelayakan asatizah kemudian menjadi perhatian.
Walau idea Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dicetuskan oleh mantan Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Allahyarham Ustaz Haji Abu Bakar Hashim, pada 1990-an untuk pembangunan asatizah secara berstruktur dan pengajaran agama disampaikan sejajar dengan konteks di Singapura, skim itu menjadi genting selepas penangkapan anggota JI pada 2001 dan 2002. Pemimpin kumpulan itu dikatakan menggelarkan dirinya ustaz meskipun tidak memiliki pendidikan agama formal.
Skim itu bertujuan mempertingkat taraf guru agama dan berfungsi sebagai sumber rujukan berwibawa bagi masyarakat Islam Singapura, dan memastikan ideologi dan ajaran sesat atau bermasalah dapat dicegah dan dikawal.
Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) kemudian dibentuk oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 2004, dipengerusikan oleh Allahyarham Ustaz Ali.
Di bawah skim itu, pengiktirafan diberi kepada guru agama yang berkelayakan dan didapati sesuai untuk mengajar agama. Ia menjadi mandatori pada 2017.
PENGERUSI MASJID
Walaupun jauh daripada estet perumahan, Masjid Khadijah aktif dan dipenuhi jemaah pada hari tertentu.
Dalam tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi, beliau antara lain mengusahakan projek membangun semula bangunan lama Masjid Khadijah di Geylang Road, yang dibina pada 1920 kerana sudah usang.
Dengan kos yang menelan belanja $9 juta, Allahyarham Ustaz Ali menggerakkan beberapa projek mengumpul dana.
Antaranya ialah projek jualan nasi beriani amal. Ia bukan projek mudah, namun terlaksana hasil kerjasama dan sokongan jemaah - membuat perancangan, mengusahakan modal, menjual kupon, memasak dan mengagihkan.
Malah, setelah berjaya dibangun semula, projek jualan nasi beriani amal terus menjadi antara kegiatan tahunan mengumpul dana bagi menampung kos mengendali masjid.
BERSEMANGAT
Dalam kesibukannya menggalas pelbagai tugas, Allahyarham Ustaz Ali sempat mengadakan masa untuk pelbagai perkara lain.
Buat suatu tempoh yang agak lama, beliau sedia bersengkang mata berkongsi pengetahuan agama dengan sekumpulan wartawan yang menghadapi cabaran dari segi masa untuk menimba ilmu agama.
Selama beberapa jam pada sebelah malam - dari sekitar 10 malam hari sehingga larut malam, malah ada ketika hampir menjelang subuh - beliau berkongsi pengetahuan agama, dan ada ketika berbincang pelbagai isu semasa berhubung masyarakat, sesekali membasahi tekak dengan teh halia.
Sedang ada yang di kalangan wartawan kelihatan layu, Allahyarham tetap segar bersemangat.
Begitu juga dalam mengendalikan kelas bahasa Arab kepada sekumpulan pelajar.
Allahyarham tidak menganggap sesi dua jam, dua atau tiga kali seminggu, sebagai guru mengajar murid, tetapi sebagai peluang baginya berkongsi dan mengulang kaji bahasa Arab.
Walau ada cabaran seperti bilangan pelajar merosot (kerana pelbagai cabaran), Allahyarham tetap bersemangat dan menyematkan motivasi.
"Teruskan walau susah dan sukar faham. Man jadda wajada (siapa sungguh-sungguh, akan berjaya) - satu hari awak akan dapat," kata beliau. Ia satu pesanan bernas dan terbukti benar.
Jemaah Masjid Khadijah juga dapat melihat Allahyarham seorang pemimpin yang tidak kenal penat.
Semasa persiapan nasi beriani amal misalnya, beliau terus bersama jemaah dari mula hingga akhir.
Malah, walau mulai uzur dengan masalah kesihatan dan perlu menjalani rawatan perubatan, Allahyarham terus bersemangat melibatkan diri dan meneruskan pelbagai tugas.
Hanya setelah keadaan kesihatan semakin mencabar, beliau melepaskan beberapa tugas.
Allahyarham berundur daripada menjadi pengerusi bersama RRG, pengerusi LPM Masjid Khadijah Pengerusi ARB pada 2022.
PERSIAP BARISAN PELAPIS
Dalam kesibukannya, Allahyarham mempersiap barisan pelapis.
Di samping Allahyarham mengetengahkan golongan beliau dalam pelbagai projek, majlis dan acara, Allahyarham mengusahakan beberapa anak buahnya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana dan malah doktor falsafah (PhD), termasuk yang berpendidikan madrasah.
Antaranya ialah anak beliau sendiri, Ustaz Dr Mohamed Ali, dan anak saudara beliau, Ustaz Dr Mohamed Feisal Hassan.
Dr Mohamed ini menggantikan tempat Allahyarham sebagai pengerusi bersama RRG dan Pengerusi Masjid Khadijah.
KESIMPULAN
Dengan pelbagai penglibatan dan sumbangan di pelbagai peringkat, Allahyarham mendapat banyak penghargaan - seperti Pingat Bakti Masyarakat; Bintang Bakti Masyarakat; Pingat Jasa Gemilang; Anugerah Jasa Bakti Muis, Anugerah SG50 Muis dan Anugerah Jasa Cemerlang Muis; Anugerah Jauhari Berita Harian dan Anugerah Hari Kebangsaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri.
Namun, apa dirasakannya, sebagaimana diberitahu kepada akhbar ini dalam satu wawancara ialah rasa syukur diberikan peluang berkhidmat demi masyarakat dan negara - melalui pelbagai penglibatan seperti RRG dan Masjid Khadijah - dan dapat bekerja rapat dengan pemerintah untuk membantu memulihkan fahaman mereka yang mempunyai ideologi radikal dan tegar.
"Ini satu kepuasan dan nikmat yang saya hargai dalam kehidupan ini," kata beliau.
Sesungguhnya, pemergian Allahyarham Ustaz Ali satu kehilangan besar kepada bangsa dan negara.
"Dengan pelbagai penglibatan dan sumbangan di pelbagai peringkat, Allahyarham mendapat banyak penghargaan...
Namun, apa dirasakannya, sebagaimana diberitahu kepada akhbar ini dalam satu wawancara ialah rasa syukur diberikan peluang berkhidmat demi masyarakat dan negara - melalui pelbagai penglibatan seperti RRG dan Masjid Khadijah - dan dapat bekerja rapat dengan pemerintah untuk membantu memulihkan fahaman mereka yang mempunyai ideologi radikal dan tegar...
Sesungguhnya, pemergian Allahyarham Ustaz Ali satu kehilangan besar kepada bangsa dan negara."
- Penulis.