Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Ustaz Ali syukur diberi peluang berbakti pada masyarakat, negara

Hargai pemerintah iktiraf sumbangan masyarakat, asatizah, khususnya RRG, dalam pemulihan tahanan ekstremis
Aug 28, 2022 | 05:30 AM



SEDANG sumbangan meluas beliau kepada pelbagai usaha masyarakat Islam di sini mendapat penghargaan, Ustaz Ali Mohamed berkata beliau beruntung menjadi antara insan yang dipilih untuk berbakti kepada masyarakat.



Diberi peluang berkhidmat adalah satu penghormatan, kata beliau, yang akan berundur daripada menjadi pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada 1 September.



Malah, Ustaz Ali berkata sepanjang perjalanan perkhidmatannya itu, beliau banyak belajar daripada golongan agamawan dan juga anggota masyarakat biasa.



Ustaz Ali berkata demikian dalam satu wawancara bersama Berita Minggu menyusuli pengumuman beliau bakal berundur sebagai pengerusi bersama RRG oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semasa Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu.



Penarikan diri beliau itu menyusuli langkahnya melepaskan jawatan pengerusi Masjid Khadijah awal bulan ini.



Kededua jawatan itu diambil alih oleh anak beliau, Ustaz Dr Mohd Ali, yang kini naib pengerusi RRG.



Dalam ucapan beliau di rapat itu, Encik Lee merakamkan penghargaannya kepada Ustaz Ali:



"Ustaz Ali akan bersara daripada jawatan pengerusi bersama RRG, pada akhir bulan ini. Kita gembira Ustaz Ali akan terus menyumbang pengalaman dan pengetahuannya sebagai Presiden Emeritus RRG.



"Selain RRG, Ustaz Ali juga menyandang banyak jawatan kepimpinan dalam masyarakat Melayu/Islam. Ini termasuk sebagai Pengerusi Masjid Khadijah selama 30 tahun, sehingga beliau mengundurkan diri baru-baru ini.



"Ustaz Ali, selamat bersara. Atas sumbangan besar anda kepada masyarakat Melayu/Islam dan kepada Singapura, terima kasih!"



Berkongsi perasaannya bersama Berita Minggu, Ustaz Ali berkata:



"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara melalui pelibatan dalam RRG dan Masjid Khadijah.



"Saya juga bersyukur dapat bekerja rapat dengan pemerintah untuk membantu memulihkan fahaman mereka yang mempunyai ideologi radikal dan tegar.



"Saya berterima kasih atas pengiktirafan pemerintah Singapura yang menghargai usaha dan sumbangan masyarakat Islam dan golongan asatizah, khususnya RRG, dalam program pemulihan para tahanan ekstremis sejak 2003".



Ustaz Ali berkata keadaan kesihatannya tidak mengizinkan beliau terus memimpin RRG dan masjid.



Beliau akan juga melepaskan jawatan lain yang dipegangnya, termasuk sebagai pengerusi bersama Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan anggota penuh Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Mengenai RRG, Ustaz Ali merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatannya, Ustaz Hasbi Hassan, yang juga presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).



"Sebagai pengerusi bersama, saya amat menghargai kerjasama dan sokongan Ustaz Hasbi. Beliau memainkan peranan penting, lebih-lebih lagi dalam tempoh awal pembentukan RRG.



"Beliau menggembleng tenaga asatizah di Pergas untuk tampil menyumbang kepada kerja yang dijalankan untuk memberikan kaunseling kepada tahanah Jemaah Islamiyah (JI)," ujarnya.



Menggulung wawancara, Ustaz Ali berkata:



"Saya bersyukur diberikan peluang untuk berkhidmat demi masyarakat dan negara. Ini satu kepuasan dan nikmat yang saya hargai dalam kehidupan ini.



"Dengan peluang ini, banyak yang telah saya capai - iaitu kerjasama yang erat antara masyarakat dan pemerintah serta ilmu pengetahuan baru.



"Saya juga banyak belajar tentang keadaan masyarakat kita dan cabaran yang dihadapi mereka.



"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemerintah dan masyarakat Islam umumnya atas sokongan mereka".




BIODATA USTAZ ALI HAJI MOHAMED



KELULUSAN:

Madrasah Aljunied Alislamiah (Lulusan 1969)



ANUGERAH:

Pingat Bakti Masyarakat (2001)

Pingat Bintang Masyarakat (2010)

Pingat Jasa Gemilang (2018)

Anugerah Darjah Kinabalu (2002)

Anugerah Jasa Bakti MUIS (2000)

Anugerah SG50 MUIS (2015)

Anugerah Jasa Cemerlang MUIS (2017)

Anugerah Jauhari Berita Harian (2014, RRG)

Anugerah Hari Kebangsaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (2010, RRG)



KEPIMPINAN PERTUBUHAN

Presiden, Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura, Pertapis (1975 - 1985)

Presiden, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura, Pergas (1985-1993)

Pengerusi, Lembaga Pengurusan Masjid Khadijah (1993 - 2022)

Anggota, Majlis Muis (2005 - 2018)

Anggota, Lembaga Rayuan Muis (1997 - 2005)

Anggota, Jawatankuasa Fatwa MUIS (2005 - hingga sekarang)

Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah, ARB (2005 - hingga sekarang)

Anggota, Lembaga Pengarah Pergas Investment Holdings, PIH

Anggota, Masyaikh Pergas

Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan, RRG (2003 - 1 September 2022)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >