Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEMPENA HARI IBU

‘Saya hancurkan hidup anak saya’

Bekas banduan, penagih dadah tekad buka lembaran hidup baru dengan membaca
May 12, 2019 | 12:00 AM



Tiada insan yang lebih istimewa dari insan bergelar ibu. Namun, ibu juga manusia biasa dan tidak dapat lari dari kesilapan. Bagaimanapun, yang pasti, kasih ibu tiada tolok bandingnya. Sempena Hari Ibu hari ini, BERITA MINGGU memaparkan pergelutan emosi dan kisah suka duka seorang ibu yang bertekad untuk terus menebus kesilapannya dan menjadi ibu yang terbaik bagi anak-anak.



BAYI dalam kandungannya baru berusia tiga bulan apabila Cik Shahida (bukan nama sebenar) mengambil dadah heroin buat kali pertama.



Beliau berbuat demikian untuk ‘mengugut’ suaminya supaya berhenti mengambil dadah. Malangnya, Cik Shahida sendiri terjebak dalam kancah dadah.



Saat itu mengubah hidupnya buat selama- lamanya. Ia juga memulakan lingkaran musibah sekitar 25 tahun.



Sejak berusia 20-an tahun pada 1996, Cik Shahida telah keluar masuk penjara lima kali kerana kesalahan menggunakan dadah.



Setiap mahligai perkahwinan yang dibinanya – beliau tiga kali berkahwin dengan penagih dadah – juga runtuh dan beliau kini sedang dalam proses bercerai daripada suami ketiganya.



Sekitar dua tahun lalu, beliau dibebaskan daripada penjara selepas menjalani hukuman tujuh tahun – tempoh paling lama beliau dikurung.



Kali ini, berbekal semangat baru, Cik Shahida bertekad tidak lagi mengambil dadah atau melakukan kesalahan lain yang boleh menyebabkan beliau dipenjara lagi.



“Sudah cukup saya hidup macam gini. Kini saya mahu bina hidup baru,” katanya, yang akur masih perlu ‘berjuang’ setiap hari bagi mengatasi pengaruh dadah dan kini telah dua tahun bebas dadah.



“Saya dah hancurkan hidup anak-anak saya,” ujar Cik Shahida, bergenang air mata.





 



Menurutnya, beliau kurang ingat saat-saat beliau menyambut Hari Ibu atau hari lahir anak-anaknya itu.



Beliau juga hanya meraikan beberapa Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anaknya.



“Kini tiba masanya saya menebus semua kesalahan saya dan mencurah kasih sayang kepada mereka,” tambahnya.



Anak sulungnya – yang dikandungnya semasa mencuba dadah – kini berusia 22 tahun. Menurut gadis itu, beliau bak tidak rasa apa-apa apabila ibunya dibebaskan kerana “telah sekian lama jalani hidup tanpa ibunya itu”.



Cik Shahida juga mempunyai tiga lagi zuriat – berusia antara 11 tahun dengan 15 tahun – hasil perkahwinan kedua.



Menurutnya, yang kini berusia 50-an tahun, beliau bertekad berubah demi anak-anaknya – suatu azam yang menjadi pegangannya selepas menyertai program New Life Stories – yang bertujuan memberi sokongan holistik kepada ibu-ibu dalam penjara dan anak-anak mereka bermula melalui amalan membaca.



Program itu merangkumi pelbagai aspek, termasuk kaunseling dan sokongan membaca bagi anak-anak.



Namun, yang paling mendatangkan kesan mendalam bagi Cik Shahida ialah peruntukan ‘bercerita’ kepada anaknya.



Semasa dalam penjara, beliau telah merakamkan suaranya membaca cereka yang dikarang sendiri – biasanya dalam bahasa Inggeris – untuk disampaikan sebagai ‘hadiah’ kepada anak-anaknya oleh relawan New Life Stories.



“Ia amat membantu kerana saya dapat menjalin hubungan dengan anak saya walau saya masih dalam penjara. Sukarelawan akan memberitahu anak saya bahawa mereka datang ke rumah bagi mewakili saya.



Anak saya gembira kerana tahu saya tidak melupakan mereka,” ujar Cik Shahida, yang menyertai program itu bersama anak bongsunya. Anak bongsunya itu kini lebih fasih bertutur dan lebih cekap membaca buku. Program yang berusia sekitar tiga tahun itu ditawarkan oleh pertubuhan tidak mengambil untung (NPO) dan turut menawarkan khidmat kaunseling kepada banduan semasa mereka dalam penjara dan selepas mereka dibebaskan.



Relawan ini juga akan mendampingi kanak-kanak itu bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan, dengan membimbing mereka membaca dan memberi sokongan sosial.



Sekitar 60 banduan dan bekas banduan wanita telah memanfaatkan program ini sejak 2016, dan ia juga kini dilanjutkan kepada sekumpulan kecil banduan lelaki.



Pengasas New Life Stories, Cik Saleemah Ismail, berkata beliau memulakan pertubuhan itu kerana sedar bahawa ada keperluan menawarkan program membaca yang turut memberi sokongan sosial kepada keluarga banduan.



Katanya, beliau pernah bertanya beberapa banduan wanita tentang perkara yang membuat mereka sedih, gembira dan marah. Hampir kesemua wanita itu berkata mereka hiba jika anak-anak mereka enggan menerima mereka sebagai ibu dan marah kerana berasa telah menganiayai anak-anak mereka sendiri.



“Mereka paling gembira apabila anak-anak mereka meluahkan ucapan kasih sayang,” kata Cik Saleemah.



“Justeru, saya memutuskan membantu kumpulan ini dengan cara yang boleh menjadikan kasih sayang kepada anak-anak ini sebagai dorongan agar berubah dan kekal berubah selepas dibebaskan,” ujarnya.



Menjawab soalan Berita Minggu (BM) tentang sokongan yang diberikan kepada banduan wanita yang berkeluarga, jurucakap Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) berkata program keluarga di penjara membantu banduan memperbaiki kemahiran sosial dan perhubungan, demi mengekalkan ikatan kekeluargaan yang menambah peluang mereka diterima rangkaian sokongan keluarga selepas dibebaskan.



“Sokongan keluarga penting bagi pemulihan dan penyertaan (semula ke dalam masyarakat) yang berjaya bagi banduan dan bekas pesalah.



“Bagi banduan wanita yang berperanan sebagai penjaga utama anak-anak mereka, memelihara hubungan dengan anak-anak dan keluarga menjadi lebih penting, dalam mereka meneruskan proses pemulihan mereka,” ujar jurucakap itu.



Buat masa ini, Cik Shahida sedang bekerja sebagai eksekutif program kanan di New Life Stories dan antara tugas hariannya melatih relawan baru yang biasanya terdiri daripada golongan remaja.



Tidak lama lagi, Cik Shahida akan menjawat tugasan baru, sebagai rakan pendamping untuk membantu banduan dan bekas bantuan sepertinya membuka lembaran baru dalam hidup masing-masing.



Menurutnya, mungkin menceburkan diri dalam bidang kebajikan bagi membantu orang yang senasib dengannya satu cara beliau menebus kesalahan dan berjasa kepada masyarakat.



“Saya tak nak biarkan kesilapan lalu terus menghantui diri saya,” ujarnya.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >