SERAMAI 10 lelaki ditangkap kelmarin (23 Jun) kerana memasuki Singapura secara terlarang selepas dikesan Polis Pengawal Pantai (PCG) di perairan dekat Tuas.
Menerusi satu kenyataan malam tadi, polis berkata lelaki itu berusia antara 20 dengan 44 tahun.
Sekitar 7.30 malam kelmarin, pegawai PCG mengesan satu bot laju yang membawa lelaki itu menuju ke Singapura.
Bot itu mendekati kawasan tanah tambak di Tuas sebelum cuba meninggalkan perairan Singapura, kata polis.
Kedua-dua sumber laut dan darat, termasuk kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dikerah untuk menjalankan pencarian di kawasan tanah tambak di Tuas itu.
Polis berkata lelaki itu kemudian berjaya ditangkap dengan bantuan Divisyen Polis Jurong, Kontinjen Gurkha dan Komand Operasi Khas (SOC).
Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dipenjara sehingga enam bulan dan disebat sekurang-kurangnya tiga kali.