Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

1,000 kerja baru, dipertingkat dalam sektor landskap dalam lima tahun mendatang

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

1,000 kerja baru, dipertingkat dalam sektor landskap dalam lima tahun mendatang

Jan 12, 2021 | 05:30 AM

SEKITAR 1,000 pekerjaan baru dan dipertingkat akan diwujudkan dalam sektor landskap dalam lima tahun ini, sedang sektor itu memanfaatkan lebih banyak teknologi.

Pekerjaan itu dalam bidang seperti hortikultur, desain landskap, perkebunan, dan industri berkaitan seperti Internet of Things (IOT), pengurusan kemudahan, teknologi maklumat dan pembuat peralatan.

Ini juga termasuk peluang bagi penduduk melakukan kerja landskap secara sambilan di taman kejiranan mereka di bawah sebuah program perintis yang akan dilancarkan Lembaga Taman Negara (NParks) bulan depan.

Berucap di pelancaran rancangan digitalisasi sektor landskap semalam, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata mereka akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi mengadakan inisiatif baru sebagai sebahagian Rancangan Transformasi Sektor Landskap.

"Kami mahu membantu syarikat landskap mendaki rantaian nilai untuk terlibat dalam kerja pengurusan landskap bernilai tinggi. Kami berharap anda akan melakukan ini dengan menggunakan teknologi dan mempertingkat kemahiran tenaga kerja kita," katanya kepada rakan kerja sektor landskap dan pelajar di acara di Taman Bishan-Ang Mo Kio itu.

Antara lain, mulai bulan ini NParks akan merintis pelbagai teknologi digital bagi menguruskan kehijauan dan taman di kawasan Ang Mo Kio-Bishan demi mempertingkat produktiviti dan mengurangkan keperluan bagi kerja manual.

Salah satu contoh teknologi digital itu ialah sistem pengukuran pokok dari jauh (RTMS). Sistem ini menggunakan imbasan pengesanan cahaya dan pembelajaran mesin untuk memetakan lokasi pokok secara automatik dan mendapatkan ukuran pokok.

Datanya kemudian dimuat naik secara automatik ke dalam Sistem Pendaftaran Pokok nasional.

Teknologi lain yang akan dirintis termasuk sensor condong pokok dipertingkat, sistem laporan kerosakan lampu automatik bagi taman, dan sensor ketinggian rumput.

Encik Lee berkata mereka akan menggunakan usaha perintis itu untuk membiasakan diri dan melatih sektor dan karyawan landskap menggunakan alat dan teknologi canggih tersebut.

"Apabila usaha perintis ini selesai, kami akan bekerjasama dengan anda dalam sektor landskap untuk mengerahkan teknologi ini secara berperingkat sebagai sebahagian kontrak pengurusan taman dan kehijauan kami serata Singapura," kata beliau.

NParks juga akan terus bekerjasama dengan institut pengajian tinggi untuk membangunkan bakat rakyat Singapura muda berkemahiran untuk memajukan sektor landskap.

Rancangan digitalisasi itu akan menyokong usaha mengendalikan lebih banyak ruang hijau di Singapura sedang negara ini merancang menambah 200 hektar lagi taman alam semula jadi, 190 kilometer laluan alam semula jadi dan 160 kilometer penghubung taman serata negara menjelang 2030.

NParks juga akan melancarkan Program Pekebun Penduduk dengan kerjasama kontraktor landskap di Ang Mo Kio, Punggol dan Yishun.

Di bawah program perintis itu, syarikat landskap akan menggajikan penduduk untuk menjaga kehijauan di kawasan kejiranan mereka, seperti taman bandar.

Encik Lee berkata pihaknya akan mendekati penduduk dan menghubungkan mereka dengan syarikat landskap, dengan penduduk akan menjalani latihan untuk menggunakan jentera yang digunakan di kawasan kejiranan mereka.

Beliau turut mengumumkan pelancaran edisi terbaru buku 1001 Garden Plants in Singapore (1001 Pokok Taman di Singapura), iaitu koleksi tiga buku yang menampilkan lebih 2,700 tumbuh-tumbuhan yang ditanam di taman di sini dan sumber bagi karyawan landskap serta penggemar hortikultur.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3