PEMERINTAH membelanjakan $1.93 bilion bagi peningkatan flat lebih lama sejak pelancaran Program Peningkatan Rumah (HIP) pada 2007 hingga 31 Mac tahun ini, menurut satu kenyataan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) semalam.
Lagi $40 juta dibelanjakan untuk Program Peningkatan bagi Warga Emas Aktif (Ease), yang memasang kelengkapan warga emas dalam flat.
HIP ialah bagi flat HDB yang dibina sebelum atau pada 1986 dan belum menjalanai Program Peningkatan Utama (MUP).
Ease lazimnya ditawarkan dengan HIP bagi memudahkan pemilik flat kerana kerja peningkatan dijalankan serentak.
Keluarga yang mempunyai anggota keluarga berusia 65 tahun ke atas layak untuk program Ease.
Keluarga mempunyai anggota berusia antara 60 dengan 64 tahun dan memerlukan bantuan untuk sekurang-kurangnya satu daripada enam kegiatan harian, seperti mandi atau makan, juga layak.
Sejak pengenalan Ease pada Julai 2012, hampir 149,000 keluarga sudah memohon untuk memanfaatkan skim itu hingga akhir November lalu.
Sekitar 97,000 keluarga memilih melakukan program itu bersama HIP, sementara 52,000 memohon di bawah Skim Permohonan Secara Langsung.
HIP tertumpu pada usaha peningkatan dalam flat dan membantu penduduk menangani masalah penyenggaraan berkaitan flat lama.
Ia mempunyai tiga komponen utama – peningkatan wajib, peningkatan tidak wajib atau pilihan, dan peningkatan flat untuk warga emas di bawah Ease.
Bagi peningkatan wajib, pemerintah membiayai sepenuhnya memandangkan ia berkaitan piawaian kesihatan dan keselamatan.
Peningkatan ini merangkumi pembaikan konkrit terkelupas atau struktur retak, menggantikan paip tandas dan menggantikan soket paip bagi rak jemuran pakaian.
Bagi peningkatan pilihan pula, terdapat pakej bagi meningkatkan tandas sedia ada, pintu dan jeriji baru atau corong membuang sampah baru.
Peningkatan di bawah skim Ease termasuk tanjakan, palang pautan dan membaiki jubin tandas dengan bahan kalis gelincir.
Hingga 30 November, 101,000 flat di bawah 113 projek selesai menjalankan HIP.
Lagi 139,400 flat daripada 139 projek kini dalam pelbagai tahap peningkatan berbeza-beza.
Baki flat yang layak akan dipilih pada akhir tahun depan.
Menurut HDB, HIP akan hanya dilaksana apabila sekurang-kurangnya 75 peratus penghuni blok yang layak mengundi bagi program itu.
Antara pemilik rumah yang memanfaatkan peningkatan itu ialah seorang pesara, Cik Chan Wing Ching, 65 tahun, yang menikmati peningkatan sebanyak dua kali dalam tempoh lebih 30 tahun.
Bulan lalu, flatnya di Jurong West Street 51 “diubah” apabila jubin, tandas, jeriji pintu dan pintunya digantikan.
Cik Chan hanya membelanjakan $600 – atau sekitar 5 peratus kos keseluruhannya.
Baki kos itu ditanggung oleh HDB di bawah HIP.