ORANG ramai boleh memanfaatkan kemudahan Laluan Thomson-East Coast 3 (TEL3), setelah pembinaan fasa ketiga melibatkan 11 stesen baru - dari Stevens ke Gardens by the Bay - dibuka rasmi esok.
Sepanjang hari semalam - dari 10 pagi hingga 9 malam tadi - orang ramai berpeluang melakukan perjalanan 'pramula' secara percuma antara 11 stesen baru merangkumi - Stevens, Napier, Orchard Boulevard, Orchard, Great World, Havelock, Outram Park, Maxwell, Shenton Way, Marina Bay dan Gardens by the Bay.
Ini adalah sambungan daripada laluan TEL1 sepanjang 3.2 kilometer (km), melibatkan tiga stesen - Woodlands North, Woodlands dan Woodlands South yang mula Januari 2020.
TEL2 sepanjang 13km beroperasi sejak Ogos 2021 melibatkan 6 stesen - Springleaf, Lentor, Mayflower, Bright Hill, Upper Thomson dan Caldecott.
TEL4 dan TEL5 akan siap pada 2024 dan 2025.
TEL secara keseluruhannya mempunyai 32 stesen sepanjang 43km dan menelan belanja lebih $25 bilion, dan akan dihubungkan ke Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura.
Satu acara pembukaan bagi TEL3 telah diadakan di stesen Orchard semalam, dihadiri Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran.
Para penumpang dilihat sibuk bergambar dan mengambil video bagi menghargai seni bina dan ciri-ciri unik setiap stesen.
Berucap di acara itu, Encik Iswaran berkata TEL3 merupakan satu lagi langkah ke arah matlamat membina rangkaian kereta api yang terhubung dengan baik dan berdaya tahan kerana laluan itu dihubungkan dengan setiap laluan MRT lain.
"Misalnya, dengan TEL3, kedua-dua Outram Park dan Marina Bay akan menjadi stesen pertukaran dengan tiga laluan - yang kedua dan ketiga selepas Dhoby Ghaut.
"Lebih banyak pertukaran dan pilihan laluan bagi perjalanan akan membantu membahagikan beban pada lebih banyak laluan, dan mempertingkat daya ketahanan rangkaian kita," kata beliau.
Dengan pembukaan TEL3, sejumlah 20 stesen di laluan itu mula beroperasi dan menghubungkan penduduk dari bahagian utara negara ini, di kawasan Woodlands, ke kawasan pusat bandar.
TEL3 melalui beberapa kawasan warisan dan destinasi ikonik Singapura seperti Maxwell, Havelock, Orchard dan Gardens by the Bay.
Di bawah program Art-in-Transit, setiap stesen TEL juga menampilkan karya unik oleh artis tempatan yang membangkitkan ciri-ciri kawasan di mana setiap stesen berada dan memaparkan semangat masyarakat di kawasan itu.
Antara penumpang yang menikmati perjalanan percuma semalam ialah suami isteri, Encik Steve Yap, 69 tahun, dan Cik Anne Yap, 68 tahun.
Pasangan sudah bersara itu, yang tinggal di kawasan Thomson berkata, TEL3 sepanjang 13.2km ini bawa banyak manfaat buat mereka.
"Ia membolehkan kami membuat perjalanan dari kawasan Thomson ke kawasan bandar seperti Great World, Chinatown, Outram Park dan Gardens by the Bay, dan pada masa depan pula ke kawasan East Coast.
"Ini sesuatu yang baik bagi kami kerana ia dapat menjimatkan masa perjalanan," kata Encik Yap.