SEBANYAK 1,324 jangkitan Covid-19 baru dilaporkan di Singapura pada Rabu (1 Dis), naik daripada 1,239 pada Selasa.
Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan Covid-19 berada pada 0.67, naik daripada 0.66 pada Selasa, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Ini adalah hari ke-19 berturut-turut kadar pertumbuhan berada di bawah satu. Bilangan itu merujuk kepada nisbah kes masyarakat minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.
Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang konsisten di bawah satu menunjukkan bahawa bilangan kes Covid-19 mingguan baharu semakin turun.
Kadar penggunaan unit jagaan rapi (ICU) ialah 59.7 peratus pada Isnin, naik daripada 58.5 peratus pada Selasa.
Seramai lapan orang berumur antara 59 dengan 86 tahun meninggal dunia akibat komplikasi yang dikaitkan dengan Covid-19, kata kementerian itu.
Kesemua mereka, kecuali satu individu yang tidak divaksin, mempunyai pelbagai keadaan perubatan, tambahnya tanpa memberi butiran lanjut.
Kematian terbaru itu menjadikan jumlah 726 kematian di Singapura akibat Covid-19.
Jangkitan baru itu terdiri daripada 1,266 kes dalam masyarakat, 45 di asrama pekerja asing dan 13 kes yang diimport.
Kes masyarakat itu termasuk 200 warga emas berumur 60 tahun ke atas.
Jumlah kes di Singapura kini 266,049.
Hingga Selasa, 87 peratus penduduk telah menerima dua dos vaksin, dan 27 peratus telah mengambil suntikan penggalak.