SEBANYAK 14 lagi kematian dilaporkan akibat Covid-19 hari ini (12 Nov), dengan korban berusia antara 35 dengan 102 tahun.
Kesemua mereka kecuali satu individu yang tidak divaksinasi, mempunyai masalah kesihatan lain.
Individu berusia 35 tahun yang meninggal dunia hari ini tidak divaksinasi dan mempunyai beberapa komorbiditi lain, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
MOH juga melaporkan terdapat 3,099 kes baru hari ini, 2,956 merupakan jangkitan dalam masyarakat, 128 di dormitori pekerja migran dan enam kes import.
Kadar pertumbuhan jangkitan ialah 1.04.
Peningkatan ini disebabkan bilangan kes yang agak rendah semasa cuti umum Deepavali minggu lalu, kata MOH.
Kementerian itu menambah, 280 kes Covid-19 memerlukan tambahan oksigen di wad biasa, 31 kes kurang stabil dan sedang dipantau rapi di unit jagaan rapi (ICU) sementara 75 berada dalam keadaan kritikal di ICU.