15 tahun penjara, 24 sebatan bagi lelaki buta yang mendera anak tiri secara seksual

SELAMA hampir setahun setengah, seorang lelaki mendera anak tiri perempuannya secara seksual dengan kerap, meskipun isterinya berada di atas katil yang sama.

Budak perempuan itu yang berusia lapan tahun apabila penderaan seksual tersebut bermula akan menangis setiap kali dia perlu kembali ke flatnya selepas bersama bapa kandungnya pada hujung minggu.

Bapa kandungnya, yang pada awalnya berfikir anaknya itu hanya merinduinya, akhirnya mendapat tahu kisah sebenar selepas dia melalak dengan kuatnya.

Bapa tiri budak tersebut, seorang penolong di kantin yang berusia 42 tahun, mengaku bersalah atas perbuatan itu dan telah dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta disebat 24 kali, menurut The Straits Times.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Valerie Thean menolak permohonan peguamnya untuk memberi hukuman lebih ringan atas dasar lelaki itu buta dan didiagnos dengan glaukoma, yang mungkin boleh menyusahkannya dalam penjara. 

Hakim mengatakan tidak ada keadaan luar biasa untuk menjamin pelaksanaan belas kasihan kehakiman dan beliau diberi keyakinan bahawa pihak berkuasa penjara dapat mengendalikan keadaan lelaki itu.

Mahkamah diberitahu bahawa ibu bapa budak perempuan itu bercerai pada 2009 dan ibunya mendapat hak penjagaan keempat-empat anaknya. Bapanya yang telah berkahwin semula diberi kebenaran bertemu anak-anaknya itu sekali setiap dua Ahad.

Setelah ibunya berkahwin lagi pada 2013, mangsa dan adik-beradiknya tinggal dalam flat sama dengan ibu mereka, tertuduh, dua anak pasangan itu, datuk dan nenek sebelah ibu, nenek saudara ibunya dan seorang pembantu rumah.

Tertuduh tidur dalam bilik yang sama dengan ibunya, bapa tirinya dan adik-beradik tirinya.

Pada Januari 2015 ketika mangsa dalam Darjah Tiga, tertuduh mula menderanya secara seksual.

Bermula dengan merabanya, dia kemudian melakukan perbuatan lebih terkutuk termasuk melakukan seks oral.

Timbalan Pendakwa Raya Kavita Uthrapathy memohon sekurang-kurangnya 18 tahun penjara dan 24 sebatan.

"Mangsa tidak akan dapat mengembalikan masa kanak-kanaknya yang hilang mahupun kesuciannya yang telah dirampas tertuduh," katanya.