SEKITAR 150 keluarga berpendapatan rendah yang menetap di flat sewa telah 'membeli-belah' di sebuah 'pasar' istimewa di Kelab Masyarakat Kampong Glam semalam.
Mereka berpeluang memilih secara percuma barangan seperti peralatan, barang dapur, produk penjagaan peribadi mahupun barangan segar seperti telur dan buah-buahan yang disediakan oleh penaja murah hati di 'Pasar Beri dan Ambil' itu.
Mayor Daerah Central dan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi Jalan Besar (Kampong Glam), Cik Denise Phua, dan relawan telah menyertai keluarga-keluarga itu.
Inisiatif pasar itu merupakan usaha sama CDC Central Singapura dan GRC Jalan Besar, yang bertujuan meredakan kos sara hidup bagi keluarga bergaji rendah yang mempunyai anak-anak kecil yang menetap di flat sewa.
Ia juga bagi memupuk semangat memberi dan membantu menerusi sokongan daripada penderma dan relawan.
Keluarga yang mempunyai anggota keluarga yang uzur atau menetap jauh dari kelab masyarakat itu, telah menikmati khidmat penghantaran yang diterajui sukarelawan.
Keluarga yang tidak dapat menyertai acara itu turut menerima pek penjagaan ke rumah.
Satu acara menarik ialah keluarga-keluarga itu berpeluang mendapat khidmat gunting rambut percuma yang ditawarkan oleh tiga pendandan profesional sukarela ang ditugaskan di kelab masyarakat itu.
Antara mereka ialah Cik Jane Wang, Pengarah USTYLE Hair & Beauty Creation Salon, yang berkata:
"Kami berbesar hati dapat menyumbang semula kepada masyarakat dengan menawarkan khidmat gunting rambut."