SEKITAR 150 anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) layak menerima pampasan bagi kecederaan yang dialami ketika berkhidmat dari 2016 hingga 2020.
Dalam tempoh itu, kurang 500, atau sekitar 1.5 peratus NSF dalam setiap kohort, mengalami kecederaan berkaitan perkhidmatan.
Kebanyakan kecederaan itu adalah ringan dan NSF pulih sepenuhnya selepas rawatan.
Demikian dinyatakan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam kepada soalan oleh Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast) tentang bilangan NSF yang mengalami kecederaan berkaitan perkhidmatan, yang menerima pampasan bagi kecederaan tersebut dan jumlah pampasan yang diberikan.
Dr Ng berkata jumlah pampasan bergantung kepada jenis kecederaan.
Pampasan lebih tinggi diberikan kepada empat NSF yang mengalami patah tulang dengan kehilangan baki keupayaan atau kehilangan fungsi.
"Seorang daripada mereka cedera disebabkan oleh kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke kem tetapi dilindungi di bawah skim pampasan kami," kata Dr Ng.
Beliau menerangkan bahawa skim pampasan bagi kecederaan berkaitan perkhidmatan adalah berperingkat bagi menangani keterukan kecederaan dan keadaan yang berbeza.
Peringkat asas dalam bentuk polisi insurans Jangka Hayat Kumpulan dan Kemalangan Peribadi Kumpulan menyediakan perlindungan paling luas.
Kementerian Pertahanan (Mindef) membeli polisi-polisi itu untuk semua anggota perkhidmatan bagi bayaran asas, sekiranya mereka mengalami kehilangan upaya kekal semasa dalam perkhidmatan, kata Dr Ng.
Pampasan tambahan turut diberikan oleh Mindef bergantung kepada keterukan dan keadaan yang berkaitan dengan kecederaan itu, tambahnya.
Rawatan perubatan bagi semua kecederaan berkaitan perkhidmatan dibiayai sepenuhnya, sama ada dalam kemudahan perubatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) atau institusi penjagaan kesihatan awam, dan termasuk kos rawatan pesakit luar.
Jika kecederaan itu mengakibatkan pelepasan daripada perkhidmatan atau memerlukan cuti perubatan atau kemasukan ke hospital yang berpanjangan, pampasan lanjut akan diberikan.