SERAMAI 181 pelajar akan meraih manfaat daripada derma berjumlah $250,000 kepada Yayasan Mendaki hasil sumbangan beberapa individu dan persatuan dengan kerjasama masjid dalam dua bulan pertama tahun ini.
Derma itu akan disalurkan kepada dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF) dan biasiswa Mendaki untuk menyediakan bantuan kewangan dan peluang kepada pelajar Islam melanjutkan pengajian dan mengejar cita-cita mereka.
Sumbangan derma itu telah dibuat oleh pengarah firma teknologi kewangan Ethis Global, Encik Amran Mohd; ahli akademik, pemodal teroka dan usahawan teknologi, Encik Juzar Saleh Motiwalla, dan isterinya; dan Persatuan ND dengan kerjasama Masjid Jamae (Chulia) dan Masjid Al-Abrar.
Encik Amran telah menderma $50,000 untuk membentuk Dermasiswa ETF-Amran Mohd bagi tahun ini hingga 2026.
Seramai 50 pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan meraih manfaat daripada dermasiswa itu, dengan setiap pelajar akan menerima $1,000 setahun.
Usaha murni yang dilakukan Encik Amran ini adalah sebagai menyumbang kembali kepada Mendaki yang telah menyokong beliau melalui biasiswa semasa zaman universitinya, yang membuka laluan bagi beliau membina kerjaya daripada perbankan hingga ke perbankan Islam dan kini, teknologi kewangan Islam.
"Kini tiba masanya bagi saya menyumbang dan melakukan kebaikan untuk menyokong pelajar dalam masyarakat kita," kata beliau.
Sementara itu, Encik Motiwalla dan isterinya pula telah menyumbang $50,000 untuk membentuk Dermasiswa ETF-Saleh dan Gato Motiwalla dari tahun ini hingga 2026, dan Biasiswa Yayasan Mendaki-Saleh dan Gato Motiwalla dari tahun ini hingga 2025.
Ini akan memberi manfaat kepada 38 pelajar ITE dan politeknik.
Setiap pelajar ITE akan menerima $1,000 setahun bagi dermasiswa itu manakala pelajar politeknik pula akan dianugerahi $2,500 setahun bagi biasiswa tersebut.
Encik Motiwalla berkata anak-anak hari ini mempunyai kemahiran dan minat istimewa yang perlu dipupuk.
"Keluarga kini membantu anak-anak mereka secara langsung, namun bagi mereka daripada keluarga yang menghadapi cabaran, tangan yang menghulurkan bantuan perlu lebih besar dalam sokongan sosial dan kewangan.
"Saya gembira dapat menyumbang kepada pelajar ini dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat mereka," kata beliau.
Persatuan ND - yang menyelaras pengurusan Pusat Warisan India Muslim Nagore Dargah - dengan kerjasama Masjid Jamae (Chulia) dan Masjid Al-Abrar telah mendermakan $150,000 dari tahun ini hingga 2024 bagi Dermasiswa ETF-Jamae Kalvi, yang akan memberi manfaat kepada 93 pelajar ITE, politeknik dan universiti.
Melalui dermasiswa ini, setiap pelajar ITE akan menerima $1,000 setahun; pelajar politeknik $1,500 setahun; dan pelajar universiti $2,500 setahun.
Presiden Persatuan ND, Encik Shaick Fakrudeen, berkata:
"Kerjasama dengan Mendaki ini akan membuka pintu dan mendorong pelajar kita dalam masyarakat. Kami berharap pelajar kita akan terus cemerlang dalam akademik dan menyumbang kembali kepada masyarakat pada masa depan."
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Mendaki dengan Persatuan ND baru-baru ini, berkata Dermasiswa ETF-Jamae Kalvi itu merupakan contoh bagaimana masyarakat boleh bersatu dan menyumbang ke arah satu tujuan bersama.
"Saya gembira dengan usaha Persatuan ND, Masjid Jamae Chulia dan Masjid Al-Abrar yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini untuk melihat pelajar kita mencapai kejayaan.
"Saya juga gembira para penderma akan memanfaatkan rangkaian luas mereka untuk menyediakan program bekerja sambil belajar dan peluang pekerjaan bagi penerima dermasiswa.
"Selain penderma korporat, saya ingin menggalak masyarakat kita untuk tampil ke depan dan menyokong belia kita ke arah mengejar kecemerlangan akademik," kata beliau.
Butiran permohonan bagi dermasiswa dan biasiswa tersebut boleh didapati di laman https://www.mendaki.org.sg/ dan https://my.mendaki.org.sg/.
"Saya gembira dengan usaha Persatuan ND, Masjid Jamae (Chulia) dan Masjid Al-Abrar yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini untuk melihat pelajar kita mencapai kejayaan.
Saya juga gembira para penderma akan memanfaatkan rangkaian luas mereka untuk menyediakan program bekerja sambil belajar dan peluang pekerjaan bagi penerima dermasiswa."
- Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
BANTUAN LAIN BAGI PELAJAR MELAYU
Biasiswa Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) - Yayasan Mendaki baru telah dilancarkan bagi pelajar Melayu Singapura yang berminat menceburi kerjaya dalam industri kewangan.
Ia merangkumi yuran tuisyen bagi kebanyakan program ijazah sarjana muda di Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Di bawah biasiswa ini, GIC akan menawarkan peluang bekerja sambil belajar berstruktur; penggiliran pekerjaan; menjalin rangkaian dan pementoran bagi penerima biasiswa. Penerima juga boleh menjangka kerjaya menarik dan bermakna bersama GIC apabila tamat pengajian.