SEBANYAK 1,931 jangkitan baru Covid-19 dilaporkan di Singapura pada Sabtu (20 Nov), meningkat daripada 1,734 kes pada Khamis, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan Covid-19 juga mencapai 0.78, meningkat sedikit daripada 0.77 pada Khamis.
Kadar pertumbuhan jangkitan berada di bawah 1.0 selama lapan hari berturut-turut.
Angka tersebut merujuk kepada nisbah kes masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.
Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang konsisten di bawah 1.0 menunjukkan bahawa bilangan kes Covid-19 mingguan baru semakin berkurangan.
Kadar penggunaan ICU juga telah merosot sejak dua minggu lalu.
Angka itu mencapai 56.8 peratus pada Sabtu, merosot daripada 57 peratus pada Jumaat.
Pada 4 November lalu, angkanya mencapai 70.2 peratus, walaupun bilangan katil unit rawatan rapi berbeza-beza waktu itu - antara 398 dan 430.
Terdapat 13 orang berusia antara 62 dan 98 tahun meninggal dunia akibat komplikasi yang dikaitkan dengan Covid-19, kata MOH.
Kesemuanya, kecuali kes yang tidak divaksin, mempunyai pelbagai masalah perubatan.
Kematian terbaru menjadikan jumlah kematian di Singapura kepada 654.
Jangkitan baru pada Sabtu terdiri daripada 1,867 kes dalam masyarakat, 58 di asrama pekerja asing dan enam kes diimport.
Dalam kalangan kes masyarakat, seramai 333 ialah warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
Jumlah kes di Singapura kini berjumlah 250,518.